Merdekakan mindamu

Mahasiswi Mesir, Sambutlah Seruan Kemerdekaan!

Menjadi lumrah hidup di negara orang seperti hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri, begitu lah juga suasana kemerdekaan yang dirasai di negara luar. Jarang jiwa kemerdekaan itu berkibar seperti berkibarnya Jalu Gemilang di bumi indah Malaysia. Malah ada juga yang tidak ingat kemerdekaan kali ke berapakah tahun ini. Sungguh malang sekali.

Lebih menyedihkan, setelah 60 tahun Malaysia merdeka, setelah berpuluh tahun mahasiswa dan mahasiswi dihantar belajar di bumi Anbiya’, setelah berpuluh ribu mungkin beratus ribu graduan Mesir pulang membawa segulung ijazah, keadaan Malaysia masih tidak berubah. Malah, gejala sosial dalam kalangan anak muda semakin membimbangkan.

Usahkan kes cerai dan kes anak luar nikah, kisah-kisah haruan makan anak dan budaya seks songsang semakin diangkat dan dinormalisasikan di dalam dada-dada akhbar serta majalah harian Malaysia. Ada juga yang menjadikannya sebagai tajuk-tajuk utama di muka hadapan sebagai tarikan pembaca.

Usah persoalkan pihak atasan semata. Sepatutnya persoalan-persoalan yang pertama sekali perlu diajukan adalah kepada diri kita. Tidak mencukupikah graduan-graduan asatizah dari Azhar menangani semua itu?! Masih kurangkah lepasan ‘MBBCh’ ( Ijazah Perubatan ) dari seluruh pelusuk universiti tempat lahirnya Nabi Musa a.s untuk membentuk masyarakat yang lebih tinggi taraf hidupnya; agama, sosio ekonomi, akhlak dan budaya?!

Bersama ISMA Mesir, saya selalu membuat tinjauan. Setiap kali kami membuat aktiviti temuramah mahasiswi Mesir dalam menyampaikan mesej berbentuk aqidah dan kesatuan bangsa Melayu mempertahankan Islam di Malaysia atau apa saja bentuk mesej Islam yang cuba di bawa, isu lapuk pula cuba dihangatkan. Isu ‘bina masjid baru’, ‘rumah lama rosak, kenapa tak baiki, kenapa nak buat rumah baru’, ‘kapal yang berbalahan antara satu sama lain tak mampu menuju ke destinasi’ dan macam-macam lagi yang menyentuh isu kepelbagaian Jemaah atau nama terkenalnya ‘Taadud Jama’ah’. Ini biasa kami jumpa dan dengar. Boleh katakan 3/5 responden cuba membangkitkan isu ini.

Saya tidak mahu mengulas lanjut dan mendalam mengenai hukum kepelbagaian Jemaah dalam sesuatu tempat. Saya rasa sudah banyak kajian-kajian ulama yang dikeluarkan. Tinggal cari dan baca sampai habis. Bukan separuh-separuh!

Saya mahu mengajak kita semua sebagai mahasiswi khususnya berfikir sejenak, masih relevankah isu tersebut dihangatkan setiap kali datang pelajar baru ke Mesir atau setiap kali hadir seruan bersatu dibawah naungan aqidah walau berbeza persatuan? Adakah sudah merdeka kita dari membawa ketepuan dan pemeraman manusia agar memilih kebaikan untuk dirinya?

Tidak cukupkah kisah Abu Lahab yang di abadikan dalam Surah Al-Lahab dan Walid al-Mughirah di dalam awal surah al-Qalam?

Terlalu payahkah kita bersepakat dalam hal-hal yang membawa manfaat kepada Islam. Jangan tutup mata kalian daripada kebejatan-kebejatan sosial yang semakin hari semakin menggigit anak muda Malaysia di bumi Mesir ini. Jangan lari dari kesalahan tidak menyeru masyarakat ke arah kebaikan yang lebih utama iaitu aqidah Islam kerana ia bukan isu furu’!

Tidak terdetik kah kita bahawa kita lebih menyibukkan diri dengan perbezaan-perbezaan kecil daripada bersama memperbaiki kualiti graduan dari bumi ini? Atau usrah kita hanya bersembang perihal politik, taadud jamaah, baitul muslim, kemudian tamat ‘bulatan gembira’ kita goyang kaki, tengok ‘movie’, gossip sana-sini, pendek kata, usrah hanya rutin?!

Kemana kita mahu bawa Malaysia dengan ilmu dan pengalaman di bumi yang terselindung mutiara-mutiara tarbiyah ini? Layakkah kita mewariskan kemerdekaan Malaysia dengan statikasi diri kita?

Saya juga mahu mengajak mahasiswi kembali berfikir, adakah kita belajar semata-mata untuk diri kita atau untuk anak-anak generasi pewaris negara? Jika cara fikir anda berfikir setakat anda, keluarga terkini anda, kucing anda dan sewaktu yang berkitar masa kini semata, rugilah anda kerana telah memendekkan hayat walaupun anda mungkin hidup berabad-abad!

“Demi masa (1) Sesungguhnya manusia di dalam kerugian (2) Melainkan yang beriman dan beramal soleh dan yang berpesan-pesan dengan kebenaran serta kesabaran (3)” (Surah Al-Asr: 1-3)

Kita wanita, kita mahasiswi, dari kita akan lahir generasi. Baik buruk, itulah hasil cetakan dan didikan kita. Bagaimana mungkin kita mampu mencetak generasi yang hebat kalau kita berfikir tentang diri kita sahaja? Mustahil!

Ada juga yang takut untuk bersusah-susah, cukuplah dia yang sedia ada. Ada juga yang anti sosial, cukuplah saya seorang yang solehah. Ada juga yang merasa cukup, ‘google’ saja untuk tarbiyah. Ada juga yang malu untuk menegakkan, kita bersaudara walau berbeza persatuan!

“Jika kalian berbuat baik, sesungguhnya kalian berbuat baik bagi diri kalian” (Al-Isra:7)

“Sebaik – baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain” (Hadith Rasulullah s.a.w)

“….Jadilah kalian hamba-hamba yang bersaudara…” (Hadith Imam Nawawi ke – 35)

Wanita diciptakan penuh dengan perasaan, namun orang yang bijak mampu memilih kebaikan dan kefahaman mengatasi perasaan.

Ayuh, dengan kefahaman aqidah yang sejahtera, kita kembalikan kesopanan, ke’iffahan, keilmuan mahasiswi Mesir. Ayuh, dengan kefahaman aqidah yang sahih, kita bina kesatuan merentas kepelbagaian persatuan! Ayuh, dengan aqidah yang mantap, kita bina generasi pewaris kemerdekaan!

Oleh hal yang demikian, tepat dengan seruan Perjuangan Menegakkan Aqidah sebagai slogan kemerdekaan ISMA Mesir kali ini agar setiap dari kita khususnya mahasiswa bersatu dalam hal-hal aqidah kerana isu aqidah bukan isu cambah. Tahniah kepada pihak yang menyahut seruan kami untuk pertahankan aqidah. Cukuplah ini sebagai pemula kesatuan kita agar Malaysia kelak akan sejahtera.

 

 

Comments

comments

Leave a Comment