Ramadhan seorang pendosa
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Firman Allah
. اقْتَرَبَ لِلنَّاسِ حِسَابُهُمْ وَهُمْ فِي غَفْلَةٍ مُعْرِضُونَ
Telah dekat kepada manusia hari menghisab segala amalan mereka, sedang mereka berada dalam kelalaian lagi berpaling (daripadanya). (Surah Anbiya’ ayat 1)
Sama ada terasa atau tidak, hakikatnya kita sudah berada di penghujung Ramadhan. Bulan yang sangat mulia di mana padanya turun Al-Quran dan tersembunyi lailatul qadr iaitu malam yang lebih baik dari seribu bulan.
Pada waktu ini, ada mereka yang mula merancang untuk persediaan raya sama ada ingin membeli pakaian baru, open house, perjalanan pulang ke kampung. Tidak kurang juga terdapat mereka yang muhasabah amalan mereka sepanjang Ramadhan dan menangisi pemergiannya.
Masa adalah harta paling berharga bagi manusia, kerana harta dan kekayaan kalau hilang boleh dicari ganti, tetapi kalau masa hilang dibazirkan maka tiada pengganti untuknya. Oleh itu sama ada nak atau tidak hakikatnya Ramadhan akan tetap tinggalkan kita.
Kini yang tinggal di penghujung Ramadhan hanyalah satu soalan, bagaimana Ramadhan kita pada tahun ini? Puaskah kita dengan Ramadhan pada tahun ini?
Bagi sesiapa yang rasa Ramadhan ini sudah cukup banyak bacaan Al-Quran, telah banyak solat dan doa. Maka habiskanlah Ramadhan ini dengan amalan-amalan itu. Bagi mereka yang rasa belum cukup amalan, jangan berputus asa kerana masih ada baki beberapa hari.
Manusia dituntut untuk usaha sebaik mungkin walau selewat mana. Tiada istilah lewat bagi seorang hamba untuk beramal melainkan sekiranya telah cabut nyawanya atau terbitnya matahari dari arah barat. Sepertimana sabda Rasulullah dalam satu hadith
إن قامت الساعة وبيد أحدكم فسيلة، فإن استطاع أن لا يقوم حتى يغرسها فليفعل
“Sekiranya berlaku kiamat sedangkan di tangan salah seorang kamu ada benih tamar dan dia berupaya menanamnya sebelum berlaku kiamat, maka hendaklah dia menanamnya. (Dengan itu dia akan mendapat pahala).” -Hadis Riwayat Ahmad-
Pengajaran dari hadith ini bukanlah suruhan untuk kita menanam tamar secara literal. Namun begitu ia adalah bertujuan untuk menyuruh kita beramal walaupun esok kiamat. Kerana boleh jadi disebabkan amalan itu yang menyebabkan kita masuk ke dalam Syurga Allah.
Kepada sesiapa yang merasakan bahawa Ramadhan kali ini bukanlah Ramadhan terbaik mereka, maka beramal lah pada waktu baki yang masih tersedia ada. Berdoa dan bertaubatlah kepada Allah dengan sebenar-benar taubat. Tiada guna amal sebesar dan sebanyak mana selagi mana tiada keihklasan dalamnya seperti mana Firman Allah dalam surah Al-Bayyinah ayat 5.
وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ
Dan tidaklah mereka disuruh melainkan untuk beribat kepada Allah dengan ikhlas
Marilah kita sama muhasabah Ramadhan kali ini khususnya dari satu sudut sahaja. Bukan pada berapa banyak bacaan Al-Quran dan bukan juga pada berapa banyak jumlah rakaat solat kita. Tetapi muhasabah lah kepada betapa ikhlasnya taubat kita atau azam kita untuk berubah ke arah kebaikkan demi Allah.
Kita sering fokuskan bulan Ramadhan kepada amalan-amalan pahala tanpa memikirkan tentang taubat kita. Walhal taubat dan amalan pahala itu sepatutnya berjalan seiring.
Berhati-hatilah kerana pahala yang bertimbun itu tiada guna andai ia bercampur dengan dosa walau sekecil mana. Seperti mana Firman Allah
فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ, وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ
Barangsiapa yang mengerjakan kebaikansekecil apa pun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatansekecil apa pun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya pula. (Surah Al-Zalzalah ayat 7-8)
Percayalah wahai pembaca sekalian, azab Allah itu sangatlah pedih. Hatta sekecil mana dosa kita pasti Allah akan balas, dan sudah tentu kita tidak inginkan azab Allah timpa kepada kita.
إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
(Sesungguhnya azabku sangatlah dahsyat) Surah Ibrahim ayat 7
Bertaubatlah!
Akhirkanlah Ramadhan kita ini dengan taubat nasuha agar kita menjadi seperti bayi yang baru lahir tanpa dosa pada syawal nanti. Sesungguhnya Allah itu maha pengampun dan maha penyayang, maka mintalah keampunan kepadanya dengan hati yang ikhlas. Tiada dosa yang lebih besar dari rahmatnya, percayalah rahmat Allah itu lebih luas dari sebesar dosa yang telah kita lakukan.
Allah telah berfirman dalam ayat Al-Quran
قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah Az-Zumar ayat 53)
Tiada yang lebih benar janjinya melainkan Allah.
Lihat pula Hadith dari baginda
(( إِنَّ اللهَ يَبْسُطُ يَدَهُ بِاللَّيْلِ لِيَتُوْبَ مُسِيْءُ النَّهَارِ وَيَبْسُطُ يَدَهُ فِيْ النَّهَارِ لِيَتُوْبَ مُسِيْءُ اللَّيْلِ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ مِنْ مَغْرِبِهَا ))
“Sesungguhnya Allah membentangkan tangan-Nya pada malam hari agar bertaubat orang yang berbuat jahat di siang hari dan Dia membentangkan tangan-Nya pada siang hari agar bertaubat orang yang berbuat jahat di malam hari, sehingga matahari terbit dari barat (Kiamat).” (HR. Muslim)
(مَنْ تَابَ قَبْلَ أَنْ تَطْلُعَ الشَّمْسُ مِنْ مَغْرِبِهَا تَابَ اللهُ عَلَيْه (رواه مسلم.
“Barangsiapa bertaubat sebelum matahari terbit dari barat niscaya Allah menerima taubatnya.” (HR. Muslim).
(إِنَّ اللهَ يَقْبَلُ تَوْبَةَ العَبْدِ مَالَمْ يُغَرْغِرْ ( رواه الترمذي.
“Sesungguhnya Allah menerima taubat seseorang hamba, selama nyawanya belum sampai di kerongkongan.” (HR. At-Tirmidzi)
قَالَ الله تَعَالَى: يَا ابْنَ آدَمَ، إِنَّكَ مَا دَعَوْتَنِيْ وَرَجَوْتَنِيْ غَفَرْتُ لَكَ عَلَى مَا كَانَ مِنْكَ وَلاَ أُبَالِيْ، يَا ابْنَ آدَمَ لَوْ بَلَغَتْ ذُنُوْبُكَ عَنَانَ السَّمَاءِ ثُمَّ اسْتَغْفَرْتَنِيْ غَفَرْتُ لَكَ وَلاَ أُبَالِيْ، يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ لَوْ أَتَيْتَنِيْ بِقُرَابِ الأَرْضِ خَطَايَا ثُمَّ لَقِيْتَنِيْ لاَ تُشْرِكْ بِيْ شَيْئًا لَأَتَيْتُكَ بِقُرَابِهَا مَغْفِرَةً .
“Allah Ta’ala berfirman: “Wahai anak Adam, sesungguhnya jika engkau memohon dan mengharap kepada-Ku, niscaya Aku ampuni dosa-dosamu yang lalu dan aku tidak peduli. Wahai anak Adam, seandainya dosa-dosamu sampai ke awan langit, kemudian engkau memohon ampun kepada-Ku niscaya Aku mengampunimu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, sesungguhnya jika engkau datang kepada-Ku dengan dosa-dosa sepenuh bumi dan kamu menemui-Ku dalam keadaan tidak menyekutukan-Ku dengan sesuatupun, niscaya Aku datangkan utukmu ampunan sepenuh bumi pula.” (HR. At-Tirmidzi)
Masih belum terlambat untuk kita memanfaatkan Ramadhan kali ini. Moga Allah terima segala amalan kita dan moga Allah menerima taubat kita dan juga moga Allah permudahkan jalan kita untuk memperbaiki diri.
Penulis: Muhammad Hafizuddin bin Nordin
Kuliah : Syariah tahun 1