Rahsia di sebalik Beauty and The Beast yang anda perlu tahu

 

Berakhir sudah episod perang dingin antara Lembaga Penapisan Filem Malaysia dengan Disney. Persetujuan telah dibuat, iaitu filem Beauty and The Beast yang telah diperbaharui versinya oleh Disney dengan dukacitanya lulus untuk ditayangkan di Malaysia tanpa ada sebarang potongan.

Filem itu telah mencetuskan kontroversi apabila terdapat watak gay dan juga adegan gay di dalamnya. Pengarah filem tersebut, Bill Condon secara terus terang dengan berani menyatakan kepada media bahawa watak LeFou adalah seorang gay dan akan ada beberapa adegan gay akan ditunjukkan.

Malaysia telah cuba untuk memotong adegan gay tersebut, namun tidak mendapat lampu hijau daripada pihak Disney. Disney telah memberikan pilihan samada meluluskan totonan penuh dengan adegan gay ataupun Malaysia mengharamkan terus filem ini daripada ditonton oleh rakyat Malaysia. Disney malah menangguhkan tarikh tayangan sehingga 30 Mac untuk Malaysia membuat keputusan.

Akhirnya setelah mendapat tekanan dalaman daripada masyarakat awam sendiri yang terlalu ingin untuk melihat filem tersebut, setelah beberapa siri pergaduhan netizen di lama sosial serta organisasi LGBT dan Hak Asasi Manusia yang mengkritik pihak berkuasa, filem itu akhirnya diluluskan untuk ditayangkan tanpa sebarang potongan.

Normalisasi Budaya

“Apa masalahnya? Adakah jatuh kafir bila kita tengok orang melakukan gay? Tak kan lah nak tengok filem saja-saja nak seronok pun tak boleh.Bukan nak gay pun. Inilah Islamis, sikit-sikit haram, sikit-sikit tak boleh”. Begitulah suara-suara masyarakat Malaysia yang tunjuk hebat memperjuangkan logik akal pendek mereka sendiri.

Golongan sebegini ternyata telah tertutup pintu hati mereka daripada membuat sebarang kenyataan yang relevan. Mereka cuba menimbulkan logik-logik dan persoalan yang boleh mempengaruhi masyarakat dalam menerima kerosakan akhlak dan agama yang berlaku di negara ini. Akhirnya masyarakat menjadi normal dengan perkara-perkara teruk sebegini yang dulu tidak pernah timbul pun persoalan samada boleh atau tidak.

Arus globalisasi yang dibawa oleh barat berusaha menjadikan masyarakat dunia menerima golongan Lesbian, Gay, Bisexual dan Transgender (LGBT). Mereka menggunakan hak asasi manusia dengan alasan mereka ini termasuk dalam golongan yang tertindas.

 

Oleh itu, mengikut mereka, bagi mengelakkan masyarakat terus menindas mereka, golongan seperti ini mestilah sering dipamerkan dan ditonjolkan dalam mana-mana industri. Industri hiburan adalah satu tempat lonjakan yang tepat bagi merealisasikan propaganda tersebut.

Filem ini telah berjaya memecahkan box-office dalam masa tidak sampai seminggu, malah dijangkakan mampu mencapai satu billion dollar jualan tiket. GLAAD, sebuah organisasi media LGBT telah menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada filem ini. Malah menganggap kejayaan filem ini sebagai kejayaan mempromosi LGBT dan medan bagi mendidik kanak-kanak untuk menerima golongan LGBT.

Perubahan dunia ke arah semakin menerima golongan ini berada di tahap yang sangat merisaukan.Mungkin sebelum ini terdapat beberapa karakter dalam filem yang boleh dikatakan sebagai gay, tetapi LeFou dalam filem ini adalah watak pertama yang diisytiharkan terus terang sebagai gay oleh pelakon yang melakonkannya dan juga pengarah filem tersebut. Sebagai contoh watak Albus Dumbledore dalam silsilah Harry Potter tidak melakukan apa-apa adegan spesifik yang menunjukkan dia adalah gay dan juga tidak dinyatakan oleh pengarah sehinggalah diakui oleh J.K Rowling pada satu sesi temu bual dengan media bahawa dia adalah gay.

Hal ini kerana masyarakat dunia dahulu masih relevan pemikirannya dalam menilai golongan gay ini. Susah untuk mereka menerima penyakit yang melanda manusia tidak normal seperti itu. Namun sekarang industri hiburan dan dunia secara umumnya secara tidak segan silu mengisytiharkan penerimaan golongan gay. Itulah yang dipanggil sebagai normalisasi budaya.

Emma Watson yang dipergunakan

Satu perkara yang perlu diperhatikan ialah faktor utama kemenangan suara LGBT dalam memujuk masyarakat Malaysia supaya menerima filem ini. Kemenangan mereka ini bukan hanya disorak oleh para pejuang hak asasi atau LGBT, tetapi saya yakin hanya 20 peratus sahaja yang merupakan para pejuang LGBT. Yang baki 80% lagi? Mereka adalah orang yang dibutakan dengan nafsu kecantikan wanita bernama Emma Watson.

“Gambar tiada kena mengena”

Ataupun mungkin sebahagian daripada mereka terimbau kenangan lama menonton watak Hermione Granger ketika umur masih dalam lingkungan budak hingusan satu ketika dulu. Lihatlah perdebatan tentang isu ini di laman sosial facebook, semuanya penuh dengan komen “Emma Watson my crush”. Kegilaan seperti ini lah yang dicari-cari dan dipergunakan oleh pejuang LGBT dalam menjayakan agenda mereka. Emma Watson itu sendiri adalah pejuang feminisme, bahkan duta feminisme di UN. Kononnya memperjuangkan hak wanita yang ditindas untuk mendapat hak sama rata dengan lelaki dalam semua sudut. Sudah tentu agenda LGBT ini turut disokong sepenuhnya olehnya. Mungkin akibat terlalu menghayati perjuangan Hermione dalam memperjuangkan hak house elf menjadikan dia begitu, mahu menukar fitrah kejadian sesuatu makhluk.

Sungguh licik mereka meraih sokongan masyarakat yang tenggelam dalam hedonisme hiburan melampau ini dengan hanya memperkudakan seorang wanita yang cantik. Itu lah taktik mereka yang halus. Sokongan yang diraih ini tanpa disedari oleh masyarakat tersebut membawa kepada kejayaan normalisasi LGBT dalam negara ini. Masyarakat yang dibutakan oleh nafsu syahwat mereka itu ibarat lembu yang dicucuk hidung oleh tali maksiat, dipimpin oleh para pejuang jahiliah lalu menuju ke arah kehancuran agama dalam diri dan negara.

 

Pentingnya Tajarurud

Selain pengajaran dari sudut individu, penting juga kita melihat fenomena ini dari sudut sebuah gerakan Islam.Arus globalisasi yang kuat ini tanpa disedari sedikit sebanyak menguji keutuhan prinsip sebuah gerakan Islam yang mahu dilihat relevan oleh seluruh masyarakat dunia. Janganlah mereka terikut dengan dengan arus atau terpedaya dengan seruan-seruan seperti hak asasi manusia dan sebagainya. Antara perkara yang paling bahaya dalam gerakan Islam adalah apabila mereka sudah mula terikut rentak arus dunia.

Mereka mula senada dengan arus globalisasi dengan seruang dan laungan-laungan toleransi, pembelaan golongan tertindas, penerimaan kepelbagaian dan lain-lain. Kalaulah mereka mengikut rentak ini, atau cuba menempelkan seruan-seruan ini kepada wajah gerakan Islam yang mereka bawa, bersedialah untuk menghadapi kehancuran.

Hal ini kerana mereka akan bertemu juga akhirnya dengan titik perbezaan yang akan membuatkan mereka terpaksa menbuat pilihan, samada terus mengikut syarak atau tidak. Mahu bertoleransi sehingga menerima bahawa semua agama adalah betul? Mahu meraikan kepelbagaian sehingga menganggap gay, lesbian boleh diterima di dalam masyarakat? Sebuah gerakan Islam tidak boleh tidak mesti berdiri di atas asas prinsipnya yang tersendiri lagi suci daripada sebarang tokok tambah mahupun tempelan yang datang daripada ideologi lain.

Itulah yang dikatakan oleh pengasas gerakan islam terkemuka di Mesir sebagai tajarrud. Tajarrud ini kalau diterjemah secara literalnya ialah tidak berbaju. Dari segi konteks makna di sini, sebagai seorang muslim, kita mestilah mempunyai jati diri tajarrud daripada maksiat dosa. Seperi itu juga lah sebuah gerakan Islam itu perlu berpegang kepada prinsip tajarrud daripada segala ideologi lain yang bukan datang daripada Islam.

14377709_10155318315152846_1491598887346926370_n

Penulis: Ustaz Muhammad bin Mohd Hasan

Kuliah: Usuluddin tahun 4

Comments

comments

Leave a Comment