Buka Akaun Baru

 Oleh: Nurhanisah Baharuddin, Tahun 4, Kuliah Usuluddin Al-Azhar.

Berkata mengenai akaun, tentu akan terlintas di fikiran ‘akaun’ apa?

Akaun semasa? Akaun simpanan? Akaun perniagaan?

Dikaitkan pula dengan  ‘buka’ dan ‘baru’, semestinya membuka serta memulakan catatan baru dan menutup yang lama.

Persoalannya disini, apakah definisi sebenar ‘buka akaun baru’ ?

Adakah buka akaun ini terhad kepada akaun-akaun perniagaan sahaja?

 Definisi Perakaunan

 Perakaunan adalah bahasa perniagaan yang mana  ia merupakan satu proses mengenalpasti, merekod dan mengkelas, meringkas, melapor, mentafsir maklumat kewangan kepada pengguna-pengguna luaran dan dalaman.

 Dalam perlaksanaan atau pengurusan perniagaan, apa yang dikehendaki adalah keuntungan kewangan. Untuk mengira keuntungan, seseorang usahawan itu harus mempunyai rekod mengenai aktiviti perniagaan tersebut. Tanpa rekod atau catatan aktiviti perniagaan, usahawan hanya mampu menganggarkan sahaja jumlah keuntungan yang diperolehi. Maka jelaslah bahawa akaun sangat penting bagi seorang usahawan. Dengan akaun, kita dapat menilai kualiti perniagaan yang dijalankan sama ada menguntungkan atau tidak. Kita akan berpuas hati jika hasil penilaiannya mendapat keuntungan yang besar.

 Usahawan akhirat

 Akan tetapi, tidak semua orang menceburkan diri dalam bidang keusahawanan. Tanpa penglibatan, maka tiadalah kaitan dengan akaun.

 Di sebalik keuntungan dunia, sedarkah kita bahawa di sana ada juga keuntungan yang lebih menguntungkan seorang usahawan. Bukan hanya usahawan, bahkan siapa sahaja boleh mendapatkan keuntungannya.

 Firman Allah swt : Wahai orang-orang yang beriman, mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih? (Surah As-Soff : 10)

 Rupanya kita juga boleh menjadi usahawan. Usahawan akhirat.

 Persoalannya, bagaimana mahu menjadi usahawan akhirat? Akaun apa yang perlu dibuka? Terjaminkah keuntungannya?

 Proses perniagaan ini sangat mudah dan hanya memerlukan minat serta kesungguhan untuk menjadi seorang usahawan akhirat.

 Firman Allah swt : Iaitu kamu beriman kepada Allah dan rasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui. (Surah As-Soff : 11)

 Akaun simpanan amalan

 Dalam perniagaan ini hanya perlu membuka akaun simpanan amalan sahaja. Keuntungannya lebih terjamin.

 Firman Allah swt : Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, mereka itu penghuni syurga. Mereka kekal di dalamnya. (Surah Al-Baqarah : 82)

 Usah di persoalkan isu kelayakan bagi memiliki akaun ini. Setiap anak Adam itu layak untuk memilikinya. Bagaimana mahu memanfaatkan akaun ini?

 1) Mengenalpasti produk-produk amalan dalam perniagaan yang menguntungkan.

 Di sana terdapat banyak amalan yang boleh menghasilkan keuntungan yang besar. Biarpun dengan sekecil-kecil produk amal dapat menghasilkan keuntungan yang berlipat ganda dengan amalan yang berterusan. Berbanding amalan yang besar tetapi ia hanya membuahkan keuntungan yang sedikit sahaja kerana tidak berterusan mengamalkannya.

 Firman Allah swt : Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan; maka mereka akan mendapat pahala yang tidak ada putus-putusnya. (Surah At-tin : 6)

2) Merekod setiap hasil dari produk amalan dan mengkelaskannya mengikut mingguan atau bulanan.

 Berhati-hatilah dalam merekod kerana ditakuti bisikan riya’ berjaya menenangkan hati.

 Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahwa Rasulullah SAW telah bersabda, “Seandainya salah seorang di antara kamu melakukan suatu perbuatan di dalam gua yang tidak ada pintu dan lubangnya, maka amal itu tetap akan bisa keluar (tetap dicatat oleh Allah) menurut keadaannya”. [HR. Bukhari dan Muslim]

 

3) Meringkas dengan mempuratakan secara keseluruhan dalam peratus bagi setiap produk amalan.

 4) Membuat penilaian bagi setiap setiap produk amalan.

 5) Mentafsir maklumat dari hasil penilaian bagi mengenalpasti sebab-sebab keuntungan atau

kerugian.

 6) Memperbaiki dan mempertingkatkan kualiti produk amalan.

 Tuntasnya, akaun ini bukanlah satu pilihan kerana tidak boleh tidak ia tetap akan dipersembahkan pada yang khaliq. Tanpa disedari, pencatat akaun amalan kita tidak pernah berhenti mencatat walau sesaat. Namun manusia sering alpa tentang kewujudan mereka di sisinya.

 Firman Allah swt : “Dan sesungguhnya bagi kamu ada (Malaikat-malaikat) yang mengawasi (pekerjaanmu).  Yang mulia (disisi Allah) dan mencatat (pekerjaan-pekerjaanmu itu). Mereka mengetahui apa yang kamu kerjakan” [Al-Infitar: 10-12]

  Selamat membuka akaun baru dan sentiasalah bermuhasabah serta menilai untung rugi akaun anda sebelum dibentangkan pada Al-Hakim. Semoga keuntungan yang lebih besar menjadi milik kita.

Comments

comments

Comments are closed.