Bagaimana Islam memandu Feminist

Hari Wanita Sedunia: “Mengangkat Fitrah Wanita Muslimah.”

Sebuah slogan baru yang perlu diangkat di masa kini dan disebar luaskan menembusi alam maya. Tulisan ini saya tujukan buat seluruh wanita Muslimah di seluruh dunia.

Saudaraku,

Sebuah realiti

(i)

Bumi Anbiya’, Mesir, menjadi saksi perbahasan usul fasal ketujuh Konferens Missionaris Kaherah 1906 berbunyi:

“Peningkatan kemasyarakatan dan kejiwaan dalam kalangan wanita Islam (Muslimah)”

Begitu juga fasal kelapan yang menkhususkan ke arah penghasilan karya – karya kewanitaan.

(ii)

Mesir juga menjadi pencetus kepada semangat ‘hak asasi’ wanita pertama yang diasaskan di tanah milik umat Islam. Huda Sya’rawi, yang baru pulang dari sebuah konferens wanita antarabangsa di Rom telah mencabut tudungnya di stesen keretapi Kaherah, sebagai tanda ‘perasmian’ kebebasan dan hak asasi wanita Muslimah. Sekaligus beliau dinobatkan sebagai ketua persatuan feminis di Mesir.

(iii)

Penindasan hak-hak wanita di Barat dari aspek ekonomi, politik dan sosial mengakibatkan tercetusnya sebuah demonstrasi pada 8 Mac 1857, di salah satu fabrik tekstil yang terletak di New York, Amerika Syarikat.

Slogan ‘Bread and Peace’ pula diangkat pada 8 Mac 1917 di Rusia bersempena dengan hak kebebasan bersuara wanita yang telah diiktiraf oleh pemimpin Rusia sendiri.

Pada 1974, Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu mengumumkan bahawa 8 Mac merupakan Hari Wanita Sedunia bagi menghargai keberhasilan kaum wanita dari segala aspek.

Sejak 2010, Hari Wanita disambut dengan pelbagai slogan-slogan yang mengangkat ‘hak wanita’ di mata dunia. Berikut merupakan slogan – slogan Hari Wanita Sedunia:

2010 : Equal Rights,Equal Opportunities: Progress for All

2011 : Equal Access to Education,Training and Science and Technology : Pathway to Decent Work for Women

2013 : A Promise is a Promise : Time for Action to End Violence against Women

2015 : Make it Happen

2016 : Pladge for Parity

 

Helah: pemikiran separuh masak

Ada pihak yang mencanangkan bahawa mereka mengangkat ‘hak asasi’ wanita, padahal merekalah yang cuba merosakkannya.

Sebuah pencerahan dan pendedahan telah dibongkarkan sendiri oleh seorang misionaris Kristian, Chatelier, di dalam bukunya Serbuan ke Dunia Islam bahawa Fasal ke-7 yang diusulkan dalam Konferens Kaherah 1906 yang saya sebutkan sebelum ini iaitu istilah “Peningkatan kemasyarakatan dan kejiwaan dalam kalangan wanita Islam (Muslimah)” yang cuba dibawa merupakan sebuah ideologi yang cuba ditanam bagi ‘meraikan’ perasaan – perasaan wanita bermula dari isu-isu teras seperti gaji dan hak berkerja sehinggalah isu-isu yang melibatkan maruah dan agama seperti hijab, poligami dan sebagainya.

Kemudian lahir pula usul kedua Konferens Missionaris Locknow di India 1911 yang berbunyi:

“Pembangkitan Semangat untuk Meluaskan Jangkauan Pengajaran para Missionaris Kristian dan pengajaran kaum wanita”

Hasilnya terbentuknya kelompok Huda Sya’rawi yang membawa arus feminisme dalam negara Mesir dan tersebarlah ideologi separuh masak yang mencampurkan kehendak manusia dengan wahyu Allah; sudah pastinya kehendak manusia yang didominankan!

Begitu juga slogan-slogan licik Hari Wanita Sedunia yang dieksploitasi para feminis. Tuntutan-tuntutan dan perjuangan-perjuangan yang tampak molek luarannya ternyata mengandungi kebobrokan kerana manifestasinya adalah ke arah kesama rataan gender tanpa batas agama; batasan fitrah manusia.

Di Malaysia, terdapat juga pertubuhan seperti Sister in Islam dan Projek Dialog yang cuba membawa fahaman separuh masak ini. Mereka kononnya menurut Al-Quran dan As-Sunnah, rupanya menolak sebahagian hukum Allah yang lain. Mereka mengaku Al-Quran mengangkat darjat wanita, tetapi tidak mengakui hijab yang diperintahkan Allah terhadap mereka. Mereka mencanang-canangkan hadis Hindun mengadu kepada Rasulullah mengenai nafkah yang tidak mencukupi dari Abu Sufyan tetapi mereka tidak mengakui hak untuk berpoligami buat suami.

Hakikat

Perkara – perkara ini membuktikan bahawa Barat sebenarnya sedikitpun tidak mengendahkan wanita dan peranannya dalam masyarakat sehingga memerlukan kepada hari khusus sebagai tanda peringatan jasa dan pengorbanan mereka sedangkan Islam telah menperjuangkan hak – hak wanita sejak 1400 tahun yang lalu.

Lebih menggerunkan apabila eksploitasi Hari Wanita bertujuan sebagai medium penyampaian mesej – mesej berbentuk liberalisme, pluralisme dan menyama ratakan gender tanpa batas agama sehingga menuntut hak wanita berkahwin 4 atau wanita boleh menjadi imam kepada lelaki! Dengan ini, umat Islam terutamanya wanita Muslimah yang merupakan ibu kepada umat ini telah jauh dari agama.

 

Acuan fitrah hanya Islam

Islam punyai penyelesaiannya yang tersediri.

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ ۗ وَمَنْ يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ

Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam. Tidaklah berselisih orang-orang yang telah diberi Al-Kitab, kecuali setelah mereka memperoleh ilmu, karena kedengkian di antara mereka. Barangsiapa yang ingkar terhadap ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah sangat cepat perhitungan-Nya.” [Ali ‘Imran: 19]

Islam lah yang merupakan hak-hak wanita sebenar.

Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang muslim, laki-laki dan perempuan yang mu’min, laki-laki dan perempuan yang tetap dalam keta’atannya, laki-laki dan perempuan yang benar, laki-laki dan perempuan yang sabar, laki-laki dan perempuan yang khusyu’, laki-laki dan perempuan yang bersedekah, laki-laki dan perempuan yang berpuasa, laki-laki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar”  (Q.S Al-Ahzab:35)

Ayat di atas membuktikan bahawa Islam tidak membezakan ganjaran pahala yang di perolehi oleh wanita mahupun laki-laki.

Surah Al-Mujadalah juga menjadi bukti bahawa Allah Yang Maha Mendengar telah mendengar aduan Khaulah binti Tha’labah mengadu kepada Rasulullah mengenai suaminya Aus bin As-samit yang telah menziharkannya.

Bahkan ada sebuah surah dalam Al-Quran yang dinamakan khas sebagai surah ‘wanita’ ataupun Surah An-Nisa’!

Perang terhadap Yahudi Bani Qainuqa juga berlaku setelah seorang wanita Islam Ansar dipermainkan kehormatannya oleh Yahudi Bani Qainuqa ketika ke pasar kemudian dibela oleh seorang lelaki Muslim yang selepas itu mati dibunuh para yahudi tersebut.

Bukti – bukti di atas menunjukkan bahawa Islam sangat menjaga kehormatan dan peranan wanita. Hukum – hakam dan undang–undang mengenai wanita dan kekeluargaan sebenarnya semuanya bagi memastikan kesejahteraan wanita itu sendiri dan juga kemenjadian masyarakat. Sentimen – sentimen Barat hanyalah sebagai syaitan; yang cuba mewas-waskan kita dengan Islam. Cukuplah dari Konferens Missionari Kristian Kaherah (1906) dan Locknow, India (1911) sebagai bukti.

Seruan saya kepada seluruh wanita Muslimah bersempena Hari Wanita Sedunia, marilah kita kembali kepada fitrah muslimah. Fitrah yang telah dipandu oleh ayat-ayat Allah yang diturunkan kepada Nabi utusan terakhir, Muhammad s.a.w. Tuhanlah yang menerangkan padamu tentang kejadian alam dan penciptaanmu. Tuhanlah yang telah menyempurnakan hak dan fitrahmu sebagai wanita berharga dan bermaruah di hadapan umat dunia.

Dengan fitrah Islam, maruahmu terpelihara. Pada wanita, di situlah bermulanya sebuah umat maka pembentukan kita bukan menggunakan pembentukan Barat, tetapi pembentukan Islam, agama fitrah. Mari kita menggunakan slogan kita sendiri! Selamat Hari Wanita Sedunia; Mengangkat Fitrah Wanita Muslimah!

Penulis: Sumaiyah bt Rushdan
Kuliah Perubatan Uni Al-Azhar,Tahun 4
Jawatan: Timb HED

Comments

comments

Leave a Comment