Keperluan penukaran personaliti

Perbincangan berkaitan personaliti sudah lama dibincangkan oleh pakar psikologi daripada pelbagai latar belakang dan negara. Semuanya berkisar antara penerimaan aspek-aspek luaran dan tindak balas kepada aspek-aspek tersebut. Pandangan alam kepada cara mendiagnosis satu-satu masalah. Dalam artikel kali ini, penulis akan berkongsi pandangan peribadi penulis terhadap isu yang dinyatakan di atas.

Pertama sekali, perlu kita lihat kepada makna personaliti itu sendiri. Dalam psikologi, personaliti ditakrifkan seagai himpunan pola pemikiran dan perlakuan unik untuk seseorang dan tekal dengan masa. Personaliti juga berkait rapat dengan tindak-tanduk seseorang yang ingin menzahirkan ciri-ciri kawalan emosi dan pemikiran. Personaliti memainkan peranan penting seseorang daripada sudut pandangan luaran memainkan karakter diri. Sehubungan itu, satu daripada penyelidikan menjelaskan rupa diri dapat diukur dari dalam dan boleh dizahirkan pada luaran. Maka dapat difahami, personaliti merupakan tindak balas kepada faktor luaran berdasarkan nilaian individu yang berbeza.

Personaliti itu akan dikesani oleh beberapa keadaan antaranya keadaan formal, tidak formal, darurat dan tidak dijangka. Kesan daripada itu akan menghasilkan beberapa personaliti yang berbeza. Maka, personaliti itu adalah hasil tindak balas kepada individu-individu luaran, tempat berada, topik perbincangan semasa dan penyelarasan ketika berdasarkan tujuan-tujuan tertentu. Maka, tujuan kepada tindak balas itulah yang menyebabkan hasil tindak balas antara setiap individu berbeza. Perbincangan berkaitan tujuan tindak balas adalah sangat rumit kerana tujuan setiap individu adalah bersifat subjektif dan tidak membawa kepada jawapan yang mutlak. Nilaian daripada tindak balas itu dapat kita kategorikan sebagai agresif, submisif dan asertif.

Di sini penulis ingin meletakkan pembawakan baru yang mana penulis rasa perlu untuk dikongsikan bersama. Walau bagaimanapun, pembaca berhak untuk menerima atau menolak pembawakan ini. Penguasaan kepada diri adalah satu topik perbincangan golongan ahli falsafah, ahli psikologi dan pemikir-pemikir terdahulu dan telah dikupas oleh mereka secara lebih terperinci. Keterbatasan masa dan peluang menyebabkan penulis tidak akan menerangkan secara panjang lebar. Namun, hendaklah difahami bahawa penguasaan diri inilah yang mampu menentukan tindak-tanduk individu tersebut. Sebagai muslim, harus diakui bahawa sumber ilmu adalah pancaindera, akal dan wahyu. Pengolahan ilmu dan penentuan tindak-tanduk inilah yang menentukan sama ada diri individu tersebut mempunyai penguasaan kepada dirinya atau tidak.

Contoh mudah yang ingin penulis nyatakan, bahkan umumnya semua pembaca sudah mengetahui. Seorang individu mampu menggalaskan pelbagai tugas. Seorang lelaki boleh menjadi anak, bapa, suami, ketua, pemikir, pekerja, guru, murid, pendengar, pemerhati dan pelbagai lagi dalam satu-satu masa. Persoalannya, adakah setiap tugas ini memerlukan kepada tindak balas psikologi yang sama? Adakah seorang lelaki itu personalitinya perlu statik setiap masa? Sudah tentulah setiap tugas ini akan menjadikan seorang lagi itu berubah-ubah tindak- tanduk perlakuan balasnya. Maka di sinilah penulis ingin membawa pembaca bersama menelusuri topik perbincangan kita pada hari ini.

Di dalam kehidupan bermasyarakat, setiap individu perlu mempunyai penguasaan diri supaya hubungan kemasyarakatan itu akan kekal harmoni. Kebiasaannya individu-individu yang tidak dapat menguasai diri akhirnya akan menyebabkan  beberapa isu-isu yang menggugat keharmonian bermasyarakat. Maka, antara aspek-aspek yang membawa kepada penguasaan diri individu adalah ilmu. Sepertimana yang telah dinyatakan oleh penulis sebelum ini ilmu itu sumbernya ialah pancaindera, akal dan wahyu. Ilmu itu adalah himpunan maklumat-maklumat yang telah difahami dan kemudiannya dapat diadaptasi di dalam kehidupan menatijahkan perilaku-perilaku yang membawa kepada keharmonian bermasyarakat. Penulis membawa isu kemasyarakatan kerana pada hakikatnya setiap individu  itu akan sentiasa memerlukan kepada individu yang lain. Kaedah bagi memperoleh kefahaman secara ringkasnya dapat penulis nyatakan adalah dengan sentiasa mendampingi ilmuwan atau individu yang berautoriti, meminta pandangan kenalan yang dipercayai, bersoal jawab dan menggunakan pemahaman yang sudah sedia ada.

Di samping itu, penguasaan kepada diri juga dapat diperolehi dengan latihan yang berterusan. Latihan yang penulis maksudkan di sini sudah semestinya tidak sama dengan latihan membina badan, latihan bermain bola dan lain-lainnya. Latihan penguasaan minda dapat dilakukan dengan cara sentiasa muhasabah, berusaha mengawal emosi berpandukan tindak balas semasa mengikut keperluan dan berdiam diri jika rasa diri tidak mampu menguasai diri. Latihan-latihan ini perlu dilakukan secara berterusan dan sudah tentu hasilnya tidak akan terhasil dalam masa yang singkat. Jadi, sebagai indikator penentuan tahap keberjayaan hasil latihan itu, dapat diperhatikan dalam kehidupan seharian dan tindak balas individu lain kepada diri kita dan ini sudah semestinya akan didapati hanya jika memasyarakatkan diri.

Pengamalan kepada aspek-aspek tadi adalah yang akhirnya akan membawa kepada penguasaan diri. Maka, penguasaan diri inilah yang akhirnya akan memandu kita untuk sentiasa berhikmah dalam menentukan personaliti kita pada satu-satu masa. Sebagai contoh, seseorang perlu menjadi pemarah apabila terdapat isu-isu yang menuntut untuk berperilakuan sebagai seorang pemarah, umpama seorang ayah yang memarahi anaknya apabila anaknya melakukan kesalahan adab. Dalam suatu masa yang lain si ayah tadi perlu menjadi seorang yang penyayang bilamana keadaan  memerlukan kepada beliau untuk berkelakuan sebagai seorang yang penyayang. Hasil daripada kebijaksaan si ayah dalam mempamerkan personalitinya akan membuatkan si anak hormat dan sayang kepada ayahnya.

Antara implikasi jika satu-satu individu itu gagal dalam menukar personalitinya sebagai tindak balas kepada keadaan yang pelbagai ialah akan menimbulkan salah faham. Seringkali informasi ataupun maklumat gagal untuk disampaikan secara sempurna bilamana bahasa badan, reaksi dan nada suara tidak mampu dikawal seiring dengan pola maklumat yang ingin disampaikan. Selain itu, kredibiliti individu juga boleh dipertikaikan bilamana di dalam institusi terdapat individu-individu yang tidak mempunyai penguasaan diri yang akhirnya menyebabkan kecelaruan maklumat. Segala hal ini, akhirnya mempunyai hubungkait diantara satu sama lain. Dan jika tidak dibendung, hal tersebut akan menjadi sebuah kitaran yang akan terus berulang dari masa ke semasa.

Kesimpulannya, seseorang individu itu perlulah mempunyai penguasaan kepada dirinya yang mana akan mampu mengawal perubahan personaliti. Hasilnya, tindak balas yang rasional berdasarkan situasi-situasi yang tertentu akan menghasilkan keharmonian dalam bermasyarakat, berpersatuan, pekerjaan, institusi pendidikan dan lain-lainnya. Harapan penulis agar pembaca dapat terus bermuhasabah dan menilai setiap tindak tanduk berdasarkan ilmu yang telah diperolehi. Akhir kata, ikutkan hati mati, ikutkan rasa binasa.

photo_2017-02-16_12-46-20

Nor Eiman bin Mohd Hairi,

Usuluddin Tahun 1,

Universiti al-Azhar

Comments

comments

Leave a Comment