Erti Sebuah Pengorbanan
“Kita tidak rela berkorban untuk hidup kerna kita gusar terkorban dalam kehidupan. Percayalah pada janjiNya. Berkorbanlah! “
IHAB menakrifkan erti pengorbanan;
“Berkorban ialah menyumbang jiwa dan harta, masa dan nyawa serta segala-galanya demi mencapai matlamat. Di dunia ini tiada jihad yang tidak menuntut pengorbanan. Segala pengorbanan yang disumbangkan demi gagasan ini tidak akan disia-siakan sebaliknya akan dibalas dengan ganjaran yang lebih besar dan pahala yang lebih baik. Sesiapa yang tidak mahu berkorban bersama kita dia akan menanggung dosa”
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka.”(Taubah: 111)
Sepanjang kita hidup, saya percaya kita sudah melalui pelbagai ujian dan cabaran. Ada kala kita di uji dengan harta. Ada kala kita di uji dengan keluarga. Ada kala kita di uji dengan masa, cinta dan sebagainya. Namun, apakah bentuk pengorbanan yang kita cari dalam menjalani kehidupan kita sebagai seorang hamba pada Maha Pencipta ?
Tiada kesungguhan yang menuntut kepada sebuah pengorbanan. Sejauh mana pengorbanan itu memberi manfaat kepada kita ataupun memberi kemudaratan dan sia-sia sahaja. Ada orang diuji dengan kekayaan dan kemewahan. Harta melimpah ruah. Rumah besar, kereta mewah dan sebagainya.
Namun adakah mampu untuk kita menyumbang sebahagian daripada harta kita untuk keperluan dan kegunaan agama Islam. Sebahagian kita, dengan harta mereka mampu mengeluarkan zakat harta malahan derma dan infaq untuk golongan fakir dan anak yatim. Sebahagiannya pula, terus tenggelam dengan kecintaan pada harta dan dunia sehingga lupa akan perintah Allah s.w.t. Sesungguhnya berat seksaan bagi orang yang ingkar.
“Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat kepada kamu dan jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amat lah pedih. “(Ibrahim: 7)
Dan Allah juga berfirman :
“Katakanlah : Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum keluargamu, harta kekayaanmu yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu risau akan kerugiaannya, rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari pada Allah dan rasulNya dan dari berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya. Dan Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.”(Taubah: 24)
Antara yang kita boleh ambil sebagai contoh dan pengajaran, pengorbanan yang dilakukan oleh Saidina Ab Bakar r.anhu. Beliau dikenali dengan gelaran As-Siddiq. Beliau sanggup berkorban hartanya demi Islam. Sebagai contoh dalam Perang Tabuk, Rasulullah s.a.w. telah meminta kepada sekalian kaum Muslimin agar mengorbankan hartanya pada jalan Allah. Datang Saidina Abu Bakar r.anhu. membawa seluruh harta bendanya lalu meletakkannya di antara dua tangan Baginda s.a.w..
Melihat banyaknya harta yang dibawa oleh Saidina Abu Bakar r.anhu, bagi tujuan jihad itu maka Rasulullah s.a.w. menjadi terkejut lalu berkata kepadanya: “Wahai sahabatku yang budiman, kalau sudah semua harta bendamu kau korbankan apa lagi yang akan engkau tinggalkan buat anak-anak dan isterimu? Pertanyaan Rasulullah s.a.w. itu dijawab oleh Saidina Abu Bakar r.anhu dengan tenang sambil tersenyum, ujarnya. “Saya tinggalkan buat mereka Allah dan RasulNya.
Bukan sekadar itu sahaja, kita juga di tuntut untuk berkorban jiwa dan tenaga. Para sahabat dahulu berkorban jiwa dan raga sehinggakan mereka mati syahid mempertahankan Islam. Setiap dari kita pernah melakukan detik-detik sukar dalam kehidupan. Sejauh mana kita berjuang dengan diri, harta, keluarga demi agama kita, Islam? Sedangkan Allah s.w.t menawarkan kepada kita satu perdagangan denganNya. Jika kita ikuti, keampunan dan syurga bagi kita.
Allah berfirman :
“Wahai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan satu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih ? iaitu kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, lalu kamu berjuang di jalan Allah dengan harta dan diri kamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu andaikan jika kamu mengetahuinya. Allah akan mengampuni dosa-dosamu, dan Allah akan memasukkanmu ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan tempat tinggal yang baik di dalam surga. Itulah Keuntungan ( kemenangan dan kejayaan ) yang besar.”( As-Saf: 10–12)
Beriman kepada Allah dan RasulNya. Berjuang untuk Islam dengan harta dan diri kita. Inilah pengorbanan yang Allah s.w.t tawarkan kepada kita untuk kita perolehi dua nikmat;
Keampunan (dosa-dosa)
Dimasukkan ke dalam syurga Allah.
Allah berfirman :
“ Dan belanjakanlah hartamu di jalan Allah, dan janganlah kamu melemparkan diri kamu ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, karena sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik. “( Baqarah : 195 )
Apakah pengorbanan yang ingin kita lakukan untuk kehidupan kita ini? Adakah hanya pengorbanan kepada cinta monyet antara dua manusia yang tidak ada ikatan yang sah? Ataupun berkorban demi kemungkaran agar ianya terus di lakukan. Berhenti seketika, dan berfikir sejenak. Apa yang kita telah korbankan sepanjang hidup kita ini untuk Allah dan RasulNya? Adakah kita banyak mengeluh dan terlalu ikutkan nafsu dan penat lelah? Berapa banyak yang telah kita korbankan?
Persoalan-persoalan ini timbul untuk kita sama-sama fikirkan. Fikirlah demi agama Islam. Semoga Allah memandu kita semua supaya terus sabar dan tsabat dalam perjuangan dan berkorban demi agama Islam, bangsa dan negara.
Abdul Rauf Badrul Hisham
Tahun 4, Kuliah Pergigian
Universiti Tanta, Mesir
Ahli ISMA Mesir dan Aktivis I-Medik Mesir