Harapan Ummah


Di dalam buku Sirajul Muluk diceritakan oleh at-Tartushi bahawa Ubaidah bin Amru as-Salmani pernah datang kepada saidina Ali r.a dan bertanya kepada beliau, “Wahai Amirul Mukminin, mengapakah akan hal Abu Bakar dan Umar, manusia taat kepada mereka berdua, dan dunia pada asalnya sangat sempit ke atas mereka berdua –lebih sempit dari satu jengkal, lalu menjadi luas bagi mereka. Lalu kamu dan Uthman dilantik menjadi khalifah namun manusia tidak mentaati kamu, dan telah diluaskan dunia bagi kamu berdua lalu menjadi lebih sempit dari sejengkal tangan?”

Lalu saidina Ali ra pun menjawab padanya, “Kerana rakyat Abu Bakar dan Umar adalah orang seperti aku dan seperti Uthman, manakala rakyatku pada hari ini adalah orang seperti kamu”.

Keras sekali jawapannya!

Barangkali kita pernah mendengar kisah ini sebelum ini, namun dengan lafaz yang sedikit berbeza. Riwayat yang biasa diceritakan dengan lafaz bahawa “seorang lelaki yang keji” yang tidak disebutkan namanya pernah bertanya kepada saidina Ali ra pertanyaan yang hampir sama seperti ini dan dijawab dengan jawapan ini -seperti di dalam kisah.

Mungkin ini adalah dua peristiwa yang berbeza kerana lafaz pertanyaan dalam dua kisah ini tidak sama.

Lagi satu, ia adalah perisitwa yang berbeza, kerana, Ubaidah as-Salmani bukan seorang lelaki yang keji. Dia adalah seorang tabiin yang alim (salah seorang fuqaha’ tabiin), meriwayatkan hadith dan memberi fatwa, yang bertalaqqi dengan para sahabat besar termasuk saidina Ali ra sendiri. Beliau memeluk Islam di zaman Nabi saw pada tahun pembukaan kota Mekah namun tidak berkesempatan untuk bertemu dengan Nabi saw.

Namun yang menjadi persoalan, jika beliau adalah seorang yang alim serta thiqah, dan bukanlah seorang yang keji atau fasiq, lalu bagaimana saidina Ali ra boleh menjawab dengan jawapan seperti itu, mengatakan bahawa kelemahan dan kesempitan yang berlaku pada zamannya adalah berpunca daripada rakyatnya yang bersifat seperti Ubaidah as-Salmani. Tidak ada kelemahan yang boleh kita tahu tentang Ubaidah as-Salmani sehingga saidina Ali ra berkata sebegitu. Adakah beliau tidak cukup berjuang dan berkorban? Jika menurut para ulama’ dan para tabiin lain itu adalah satu perkara yang tidak masuk akal, kerana beliau disaksikan oleh salaf sebagai salah seorang ulama zamannya yang warak dan sangat berjaga-jaga, dan salah seorang anak murid (ashab) Ibn Mas’ud yang besar.

Kita tidak jumpa sebarang permasalahan yang boleh dirungkai dari peribadi sang tabien itu melainkan hanyalah satu perkara sahaja, iaitu pada soalan yang diajukan itu sendiri, kerana soalan itu sendiri telah menunjukkan permasalahan dalam cara fikir peribadi. Kita tidak mengkritik dan merendah-rendahkan para tabiin –kita berlindung dengan Allah dari perkara tersebut- bahkan mereka adalah sebaik-baik generasi selepas para sahabat, namun kita mahu mengambil ibrah daripada pengalaman mereka dan daripada hikmah saidina Ali ra sendiri.

MAS’ULIYYAH,BUKAN MENUNDING JARI

Syeikh Mubarakfuri dalam bukunya Raheeq Makhtum menyebutkan bahawa di antara faktor utama kejayaan, kekuatan dan thabat generasi sahabat awal di Mekah adalah kerana kesedaran serta perasaan bertanggungjawab yang penuh (asy-syu’ur bil mas’uliyah) terhadap kepimpinan dan risalah islam. Itulah yang menyebabkan mereka mempunyai kekuatan untuk menanggung beban dakwah dan menyebarkan ke seluruh alam. Bertanggungjawab, menurut Steven Covey, adalah makna bagi sifat proaktif. Apabila seseorang merasakan tanggungjawab bagi satu-satu permasalahan terletak pada bahunya, dia akan berfikir, membuat keputusan dan melaksanakan tindakan.

Namun jika dia tidak merasa bertanggungjawab, dia akan mencari orang untuk ditunding jari sebagai “punca” permasalahan. Istilah yang selalu diguna pakai, blaming game. Barangkali inilah kesalahan cara fikir Ubaidah as-Salmani, sebelum ditegur oleh saidina Ali. Beliau merasakan bahawa kehuru-haraan (fitnah) yang berlaku pada zaman itu adalah permasalahan “milik” saidina Ali ra, dan bukan permasalahan mereka bersama. Seolah-olah tanggungjawab risalah dan kepimpinan ini terletak hanya pada bahu seorang khalifah, manakala pengikut atau rakyat secara umum tidak perlu bertanggungjawab, hanya bersiap sedia untuk menerima kebajikan dan hasil mahsul daripada sang ketua.

Mengapa menyalahkan era pemerintahan? Mengapa tidak melihat kepada diri, dan bertanya, apa dan bagaimana sepatutnya aku berperanan? Mengapa kita tidak merasakan kegawatan yang berlaku adalah kerana keculasan dan kemalasan kita sendiri? Tidak rasa bertanggungjawab adalah satu penyakit bahaya yang membunuh para daie. Bukan sahaja kepada daie, bahkan kepada dakwah itu sendiri. Justeru saidina Ali ra mengatakan bahawa rakyat yang bersifat seperti itulah menjadi punca ketidak-stabilan di zamannya, walaupun mereka secara umumnya baik pada dirinya sendiri.

Bani Israel, ketika nabi Musa as telah menyelematkan mereka daripada perhambaan di bawah regim Fir’aun, mereka berkata pada nabi Musa as, “Kami ditindas (hina) sebelum kamu datang kepada kami dan sesudah kamu datang kepada kami (dengan risalah tauhid)”(al-a’raf 129). Sebenarnya mereka tidak menyedari bahawa kehinaan penindasan itu adalah berpunca daripada kefasikan diri mereka sendiri seperti yang diterangkan oleh Allah taala, kerana “..sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik” (zukhruf, 54). Namun begitulah apabila jiwa lemah, maka seseorang itu akan mencari orang lain untuk dipersalahkan. Menunding jari kerja yang mudah. Semua orang boleh buat. Jika seseorang mencari orang untuk dipersalahkan, pastilah dia akan jumpa, tentu ia adalah kesalahan semua orang kecuali dirinya sendiri, kerana syaitan akan menunjukkan padanya seluruh orang lain yang bersalah, sehingga dia tidak perlu bertanggungjawab untuk membuat apa apa perubahan dan tindakan.

Barangkali kerana itulah as-Sarri al Baghdadi pernah berkata, seperti yang disebut oleh Ahmad ar –Rashid, “Aku tidak pernah lihat satu perkara yang lebih menghapuskan amalan, lebih merosakkan hati, paling cepat membawa kepada kehancuran seorang hamba, paling berkekalan sedihnya, paling dekat dengan kemurkaan Tuhan, paling pasti terhadap cinta pada sikap menunjuk-nunjuk(riya’), bangga diri (‘ujub), dan suka kepimpinan; daripada sedikitnya pengetahuan hamba terhadap dirinya sendiri, dan tumpuannya hanya terhadap kelemahan manusia lain.”

Bacalah apa yang ditulis oleh ar-Rashid tentang kisah rojul soleh bernama Abdullah bin ‘Ukaim, yang mengatakan “Aku selamanya tidak lagi akan membantu dalam menumpahkan darah amirul mukminin selepas pembunuhan Uthman”. Maka manusia tentulah pelik bagaiamana syeikh ini boleh berkata begitu, lalu ditanya “Adakah engkau membantu terhadap pembunuhannya?” Maka beliau menjawab, “Aku melihat bahawa menyebut kekurangan seseorang adalah satu bantuan dalam pembunuhannya”. Ini kerana beliau pernah menyebut kekurangan saidina Uthman ra dalam nasihatnya yang dilakukan secara terang-terangan, namun telah diambil oleh para munafik sebagai jalan untuk membuat kerosakan.

Seandainya seseorang itu melihat pada dirinya beban tanggungjawab untuk membuat islah, pastilah dia akan sibuk daripada melihat kekurangan manusia. Begitulah ulama menyebut “Pada diri ini sudah menyibukkan daripada hal (remeh) manusia lain”. Rentetan merasa diri bebas dari tanggungjawab atau permasalahan, lalu seseorang itu pasti cenderung melihat kekurangan orang, perkara itu kemudian membarah menjadi penyakit kronik dalam masyarakat dan akhirnya membawa kemelut kepada dakwah dan seluruh negara islam. Benarlah hikmah saidina Ali ra! Konflik memang sentiasa datang, namun ia akan merebak menjadi fitnah adalah kerana sikap berlepas diri dan menunding jari pada mukmin, atau pada unsur luar yang lain. . Kalau hari ini dakwah kita berhadapan dengan kegawatan, ini mungkin kerana, si jundinya adalah seperti kita!

PENUTUP

Wahai Ikhwah! Jadilah seperti saidina Abu Bakar ra di saat dunia menjadi sempit dan hari menjadi gawat, beliau tidak berjiwa pengecut mahupun melihat-lihat kepada orang lain, namun beliau berkata pada dirinya dengan keras,

“Adakah akan mundur agama ini, sedangkan aku masih hidup!?”

أينقص الدين وأنا حي!؟

Inilah lafaz yang menjadi sumbu kepada jiwa setiap mujaddid yang hidup di zaman kejatuhan agama. Janganlah menoleh kepada orang-orang lain, ambillah semangat dari syair kegemaran Hasan al-Banna oleh Torofah bin Abd yang mengajar jiwa ini makna kepimpinan dan kelakian ;

إذا القوم قالوا من فتى خلت أنني عنيت فلم أكسل ولم أتبلد

“Tatkala bangsa (ini) bertanya, siapakah pemuda (yang akan menjalankan misi, dan menyelesaikan kemelut), cukuplah bagiku dengan aku berkehendak (untuk menjadi orang yang dimaksudkan) lalu aku tidak bermalasan dan tidak aku berpeluk tubuh”.

Janganlah jadi seperti bani Israel yang lari daripada tanggungjawab tatkala diajak oleh Nabi Musa as untuk berjuang, dengan berkata “Pergilah kamu dan Tuhan kamu dan berperanglah kamu, kami di sini duduk (tidak mahu sertai perjuangan)”. Namun jika datangnya kemenangan setelah dikerahkan segala pengorbanan orang-orang ikhlas, tentulah mereka mahu bersama menikmati kemanisan dan hasil mahsul perjuangan. “Dan jika datang pertolongan daripada Tuhanmu, nescaya mereka akan berkata : Sesungguhnya kami bersama-sama kamu.”(al-ankabut 10)

Tidakkah kita malu dengan diri kita sendiri? Sahutlah seruan perjuangan sepertimana pengikut nabi Isa ketika beliau bertanya, siapakah penolongku (ansar) di jalan Allah? Mereka menjawab dengan penuh tekad, kamilah Ansarallah! Jika kita menghadirkan kesedaran di dalam diri, pasti kebangkitan bangsa akan datang seperti kebangkitan di zaman talut dan nabi daud as, yang telah dicetus oleh beberapa orang yahudi mukmin yang merasa bertanggungjawab terhadap nasib kaumnya yang menghadapi krisis kewujudan. Fikirlah tentang diri ini apakah peranan dan tugas yang dilakukan untuk menyampaikan islam dan menggerakkan islah pada masyarakat, bangun dan pergilah berjumpa manusia dan sampaikanlah, semoga ia akan menjadi sumbu kepada kebangkitan dan menjadi bekalan yang menyelamatkan kita di hari akhirat kelak. وَقُلِ

اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ وَسَتُرَدُّونَ إِلَى عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ

Ustaz Zaid
Penulis: Ustaz Zaid bin Zainurrashid
Kuliah : Syariah tahun 3

 

Comments

comments

Leave a Comment