Istanbul, Aku Datang!

Oleh: Nurul Farhana Ismail, Tahun 5, Kuliah Perubatan, Universiti Ain Shams.

Kringg!

Pelajar-pelajar tingkatan 5 Brains meletakkan pena masing-masing. Ada yang diam, ada yang tersenyum. Malahan, ramai juga yang menongkat dagu.

Mata mereka tidak lepas daripada mengekori lenggokan pengawas SPM, mengutip wajibat Bahasa Arab Tinggi.

Muadz menyilangkan tangan. Mata bundarnya sering kali berkedip, merenung jauh- tatkala otaknya sedang berpusing 3600.

Neurotransmitter di kepalanya bergerak aktif. Dia tersengih sendirian.

Naufal menepuk bahu Muadz secara tiba-tiba. Momentum drastik Naufal, membuatkan dia terlompat daripada kerusi. Muadz menjerit separuh sedar,

“ Istanbul, aku datang!”

Iklim kelas yang bingit dengan sorakan kegembiraan, bertukar sunyi tidak semena.
Ibarat malaikat lalu.

Naufal mengoyak senyuman. Dia geli hati melihat lagak sahabat nya, mengelamun tidak ingat dunia.
Muka muadz, merona merah. Perasaan malu menjalar di seluruh nadi.

***

Encik Musa mengocak kesunyian malam dengan berkata,

“ Kami akan menghantar Muadz ke kampung untuk menghabiskan waktu cuti.”
Muadz tersedak. Tangannya cepat-cepat mencapai jag merah, lalu dituang cecair kristal itu di dalam cawan.
Dia memperlahan kunyahan, ekor matanya sempat membalas renungan mereka. Encik Musa dan Puan Durrah, resah seketika.

Tangan Aishah menguis-nguis sayur di dalam pinggan. Sang kecil itu, meningkah perbualan orang tua. “ Abang Muadz hendak pulang ke kampung, berapa lama? ”

Encik Musa memaniskan muka, lantas berkata, “ 3 bulan, adik. Abi sayang Muadz, sebab itu abi hantar ke Kedah bagi menemani Atuk Ali yang keseorangan, di sana.”

Puan Durrah mengusap rambut Muadz, nalurinya cuba memujuk. “ Ibu call atuk, kelmarin. Dia juga sudah tidak sabar untuk bersua dengan cucunya.”

Muadz terdiam. Sisa makanan yang berbaki di pinggan, dihabiskan segera. Mulutnya terkulat-kulat menelan mee, sambil fikirannya ligat mengatur bicara.

Ujar Muadz penuh harapan, “ Abi, along sudah berjanji dengan Naufal untuk menemaninya ke Turki. Kami mahu menjejaki sejarah keruntuhan Khalifah Turki Uthmaniyyah.”

Muadz sempat menatap kebeningan raut wajah orang tuanya. Dia tidak mengalah, segala impian perlu direalisasikan.

“ Ayah Naufal akan menanggung semua perbelanjaan kami di Istanbul. Tambahan lagi, along sudah mengumpul sejumlah wang daripada tabung tahunan, untuk kegunaan di sana. Jadi, abi dan ummi tidak perlu risau.”
Pipi Encik Musa, sedikit kemerahan. Dia mendobrak kepala, lantas bersuara dengan tegas.

“ Mengapa tidak berbincang dengan abi, dahulu?”

Muadz berasa serba salah, mengangguk-angguk atas kealpaannya dalam meminta istisyar. Dia menundukkan wajah, lantas bermonolog sendirian.

“ Ya Allah, apakah rencam dugaan Mu, kali ini? Aku benar-benar mahu mengkaji sejarah Turki. Penangan aura Muhammad Al-Fateh, semakin membara di dalam jiwa. Mengapa orang tuaku, tidak memahami hasrat murni daku.”

“ Maafkan abi. Kami tekad untuk menghantar Muadz ke kampung. In sha Allah esok hari, abi akan beli tiket.
Hati Muadz luluh. Jiwanya mula memberontak.“ Bagaimana dengan janji along pada Naufal?”
Jeda seketika. Encik Musa hanya membalas, pendek.
“ Abi akan berjumpa dengan pak cik Zaid untuk menjelaskan segalanya.”

Kalimah itu, menyentap sanubari Muadz. Kelopak matanya berat, menahan sebak.
Dia beristighfar, cuba untuk menenangkan diri.

Muadz mengurut dada. Dia bermonolog hiba, “ Duhai hati, bersabarlah. Thiqoh dengan keputusan itu, pasti Allah redha.”

Kaki Muadz dirasakan ringan sahaja, untuk memberontak pergi.
Namun, sisa iman di hati, mengajarnya untuk beradab pada orang tua.

***

Pak Cik Idris menyapa Atuk Ali. “ Di mana Muadz, atuk? Saya tidak nampak bayangnya, hari ini.”
Atuk Ali menggeliatkan badan lantaran pinggangnya terasa perit. Dia menyapu peluh di dahi sambil berkata,

“ Oh, Muadz ke bendang untuk menebas lalang. Dia mahu menanam biji padi yang baru.”
Hari ini, genap seminggu Muadz di kampung.

Namun, Atuk Ali sentiasa mencabarnya untuk mengusahakan tanah bendang yang terbiar di hujung kampung.
Atuk Ali mengorak langkah dengan laju. Dia menghulurkan sesuatu kepada cucunya.

“ Nah, ini sabit. Muadz boleh gunakan untuk membersihkan bendang.”
Muadz menepuk dahi sambil mengerutkan kening. “ Atuk, kita sudah ada jentolak, bukan? Mengapa perlu menggunakan sabit yang tumpul pula.”

Atuk Ali mengelus misai. Dia sudah menduga reaksi cucunya.

“ Sebenarnya, pak cik Halim mahu meminjam jentolak itu dengan segera. Jadi, kita harus menggunakan cara tradisional, lantaran pembersihan bendang perlu diselesaikan dalam masa 2 hari sahaja.”

Muadz banyak memerhati tindak tanduk atuk, sejak kebelakangan ini. Dia bertambah hairan.
Atuknya merupakan graduan cemerlang Syariah Islamiah, lepasan Universiti Al-Azhar. Namun mengapa orang tua itu sehingga kini, masih betah ingin bertani?

***

Pagi ini, Muadz bangun awal untuk menuju ke bendang. Dia bertekad untuk membersihkan lapan petak sawah padi, secepat mungkin.

Muadz menggaru-garu kakinya yang sedikit gatal. Kadang-kadang, dia mengomel seakan anak kecil.

“ Aduh, tajam sungguh duri ini. Calar-balar kaki aku dibuatnya.”

Atuk melihat sahaja, tanpa sebarang respons.
Muadz keletihan, lalu melabuhkan punggung di perdu pohon Melur. Sekelumit riang terpamer di wajah.

“ Alhamdulillah, bendang ini sudah terang.” Dia menarik nafas lega, sekali gus melepaskan segala lelah.
Bau haruman bunga melur, sesekali menusuk hidungnya.

Sirna bayu, mendodoi Muadz ke alam maya.

***

Muadz melontar pandangannya ke luar jendela rumah. Dia berasa bosan.

“ Atuk, along mahu ikut pergi ke pasar tani, boleh? Along mahu membeli benih padi yang berkualiti.”
Atuk Ali sedang mengunyah sirih di balkoni rumah, pantas menyahut. “ Baiklah. In sha Allah, mari kita bersiap.”

Ketika berada di pasar, Muadz leka memilih benih-benih padi yang terbaik.

Dia sempat menadah tangan ke langit, sambil menggumam doa agar padinya cepat subur.

***

Muadz meniti jarinya di kalender tahunan. Dia menjerit riang lantaran padinya yang disemai, sudah menginjak usia 2 minggu. Pasti tunas-tunas padi, sudah mekar indah di bendang.
Mata Muadz melialu-lilau mencari atuknya di dapur. Dia berteriak dengan nyaring.

“ Atuk, tolong along!” Dia bergegas menarik tangan atuknya. Mereka berlari anak, menuju ke bendang.
Muadz terduduk seketika di atas rumput. Mukanya beriak, kecewa.

“ Along rasa, kita tersilap beli benih lalang. Padinya tiada, namun lalang yang tumbuh. Apa yang patut along lakukan?”

Atuk menepuk bahu Muadz, sambil berkata, “ Tebaslah lalang itu. Kemudian, tanam padi yang baru.”

Rahang Muadz jatuh. Apakah atuk tidak punyai, sebarang perasaan.
Sudah hampir sebulan usahanya di kampung.
Semuanya sia-sia.

***

Atuk mendekati Muadz. Dia menyisir rambut cucunya, sambil menggumam, “ Mengapa along tidak mahu makan?”
Bisik Muadz, tidak bermaya. “ Along tidak ada selera.”

Hatinya masih membara. Atuk seolah-olah, tidak menghargai usaha Muadz sepanjang berada di kampung.
Tangan atuk terhenti daripada menyisir rambut Muadz. Dia terkedu seketika, lantas terus menyelamatkan keadaan.

“ Atuk mahu bercakap sedikit, boleh?”

Muadz memandang wajah atuk sambil mengetap bibir. Dia menganggukkan kepalanya, secara automatik.
Ujaran atuk, tidak semena-mena menarik perhatian cucunya. “ Apa ibrah yang Muadz dapat, sepanjang tempoh menebas lalang?”

Muadz merasakan hatinya bagai dirobek dengan pisau. Perit sekali.
Dia melepaskan hembusan nafas yang kuat. “ Muadz, penat lah atuk.”

Detikan jam di dinding seolah-olah terhenti. Atuk akur.
Atuk memegang kepala Muadz. Dia cuba memadamkan suasana tegang itu dengan bermadah,

“ Lalang diibaratkan sebagai sentimen jahiliyyah di dalam diri. Tanah itu manusia, padi itu amal, dan nasi itu adalah nikmat hasilnya. Mari kita renungi kisah lalang. Muadz hanya menebas permukaan lalang, namun akarnya masih teguh berpijak di Bumi. Apabila sampai masanya, lalang itu pasti akan tumbuh kembali. Sepatutnya, Muadz cabut lalang satu persatu bersama akarnya.”

Atuk menongkah lagi, “ Jika kita mahu merawat jahiliyyah, kekotoran itu perlu diberus dengan kefahaman dan iman hingga ke akar qalbu. Jadi, jika mahu merawat manusia, di situ lah sepatutnya kita bermula. Kembalikan hatinya, kepada pemilik yang Esa.”

Apabila atuk sudah membuka mulut, sukar mahu berhenti lagaknya.
Seperti bertih jagung sahaja.
Dia menutup nasihatnya dengan berhikmah.

“ Tugas merawati jahiliyyah, memakan masa yang sangat panjang. Kita memerlukan kesungguhan, pengorbanan, dan amal yang qowiy. Apabila kita bertangguh, hujan pasti akan turun, lantas lalang mekar kembali.”
Muadz memperkemas posisi duduknya, agar lebih dekat dengan atuk.

Dia tersihir dengan hujahan yang sangat berilmiah.
Muadz mula berfikir, “ Bagaimana dengan tanah?”

“ Tanah diibaratkan seperti hati manusia. Jika hati sentiasa disemai dengan keburukan, maka kebaikan pasti sukar untuk diamalkan. Sebenarnya, benih padi yang along pilih itu, tidak mampu tumbuh dengan baik lantaran masih banyak akar-akar lalang yang mengganggu. Sinonim dengan manusia, jika kita masih melakukan maksiat, pasti sukar untuk berubah menjadi alim.”

Muadz mengangguk faham.
Dia mengagumi corak pemikiran atuknya, yang sudah senja itu.
“ Lagi?” Muadz meminta atuknya, bercerita kembali.

Jeda yang panjang tercipta lantaran atuk membasahkan tekaknya, seketika.
Atuk kembali bersemangat. Dia meneruskan kalam.

“ Padi itu diibaratkan seperti amal kita. Benih yang ditabur adalah daripada baka yang bagus. Namun, dengan kehadiran akar lalang, pasti tidak mampu memberikan hasil yang baik. Ibarat seorang manusia yang kuat beramal, rajin bekerja, dan membantu orang. Namun, tanpa sekelumit keikhlasan, amalan kita pasti sia-sia.”

Muadz menggumam ayat yang dihafaz, “ Haba an mansura.”
Pawana iman semakin menghiasi diri.

Atuk bertahmid seketika. Dia bahagia, apabila cucunya mempamerkan wajah yang riang.
“Nasi pula adalah nikmat yang dikecapi, sebagai sumber primer kehidupan manusia. Tambahan pula, nasi yang baik tidak terhasil tanpa ada tanah yang baik, biji yang berkualiti, baja yang bermutu, dan penjagaan yang rapi.”

Atuk menggenggam tangan Muadz, sekedap yang mungkin. Dia meneruskan cerita,

“Begitu juga dengan nikmat Islam. Manusia tidak akan dapat merasainya lantaran kebobrakan dalam amalan seharian. Tanpa Iman dan Islam, manusia akan goyah. Akhirnya, hidup tidak dipandu dengan hidayah Allah.”

Muadz terkedu. Dia menggelengkan kepala, amat janggal padanya apabila atuk bersyarah sedemikian rupa.
Getus hati Muadz, “ boleh jadi Imam Muda, atuk aku ini.”

Atuk hanya tersenyum sambil mengusap kepala Muadz.
Muadz mengangkat kening. Lagaknya seperti mahu menyakat atuknya. “ Jadi, bagaimana mahu menjadi da’ie yang baik?”

Atuk pantas memegang kedua-dua bahu Muadz. Dia berbisik perlahan dengan berkata,
“ Jiddiyah. Membina manusia, ibarat menanam pokok. Tanpa keseriusan dan kesungguhan, pasti hasilnya menghampakan. Along, muliakan lah dirimu dengan menjadi sekental Sultan Muhammad Al-Fateh.”

Muadz tersentak apabila mendengar gemaan nama, Si Penakluk Constantinople. Dia hampir terlupa pada kota Turki. Malahan perkhabaran Naufal juga, sudah lama tidak diendahkan.
Anak sulung Encik Musa itu, gemar bermonolog sendirian.

“ Mana mungkin wujudnya Sultan Muhammad Al-Fateh, tanpa didikan yang padu daripada murobbi di sekelilingnya, bukan?”

Atuk meleraikan genggaman tangannya perlahan-lahan. Bibirnya basah dengan zikir, sebelum menyambung azimat.

“ Rasulullah adalah tokoh jiddiyah dalam mentarbiyah para sahabat. Nasihat baginda membumi, hingga abad ini. Kini, kita pula pewaris legasi dalam membawa arus baru, pada pemahaman umat mengenai Islam yang syumul.”

Mata muadz seakan berkaca-kaca.
“Terima kasih, atuk.”

-TAMAT –

Comments

comments

Comments are closed.