Kunci Kebangkitan Umat

Mengembalikan permata yang hilang

 

Keadaan umat kini amat mendahagakan tokoh-tokoh ilmuan dan cendekiawan islam yang mampu membimbing mereka keluar daripada kegelapan jahiliah kepada cahaya kebenaran. Sebuah hakikat yang harus kita ketahui bahawa zaman yang kita tempuhi sekarang ini  merupakan zaman fitnah akhir zaman yang mana semakin ramai orang yang jahil tentang agama Islam dan keindahannya, bahkan telah lahir pelbagai aliran pemikiran dan pelbagai tafsiran terhadap Islam sehingga berlaku kekeliruan terhadap islam. Di samping itu, musuh-musuh islam tidak pernah berhenti daripada terus menyerang umat islam dari pelbagai sudut termasuk sudut pemikiran, budaya, ekonomi, pemerintahan dan lain-lain .

Tambahan lagi, di zaman ini telah banyak berlaku perkembangan dan kemajuan teknologi dengan begitu pesat, sehingga segala maklumat boleh dicapai di hujung jari dan disebarkan dengan begitu pantas. Manusia boleh berhubung sesama manusia yang lain dari jarak jauh dengan mudah, namun semua perkara tersebut telah melalaikan manusia daripada melaksanakan tugas asasi yang ditentukan oleh Allah Taala kepada  mereka iaitu menjadi khalifah di muka bumi ini dan sentiasa beribadah kepada Nya.

Allah Taala berfirman di dalam Al-Quran :

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.[Surat Al-Baqarah 30]

Firman Allah Taala yang lain :

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. [Surat Adh-Dhariyat 56]

Segala bentuk perkembangan dan kemajuan tidak dapat menjamin kebahagiaan seseorang. Hal ini kerana kebahagiaan yang hakiki adalah bila mana seseorang itu benar-benar mengenali Allah Taala dan memahami hakikat agama secara mendalam. Perkara-perkara tersebut telah termaktub dan terkandung di dalam al-Quran al-Karim  dan sunnah Rasulullah SAW.

Oleh itu, keperluan tokoh agamawan dan cendekiawan islam serta pendakwah-pendakwah islam amat-amat diperlukan di zaman ini yang penuh cabaran. Manusia cuba mencari hakikat kebenaran tersebut melalui pemikiran dan cara hidup barat. Namun, tidak berhasil untuk mendapatkannya. Oleh itu,  tiada sesuatu yang diharapkan untuk  memastikan kebenaran tersebut tetap terus tersebar dan terus ditanamkan di dalam jiwa umat ini melainkan kebenaran itu disampaikan oleh orang-orang yang berilmu yang benar-benar mengenali Allah Taala serta memahami hakikat kebenaran tersebut .

Mari bersama-sama kita menyelusuri sejarah kegemilangan Islam pada zaman pemerintahan kerajaan Islam Abbasiah selama lebih  lima abad (752M – 1260M). Di zaman tersebut telah berlaku perkembangan yang pesat dari sudut ilmu pengetahuan dan perkembangan islam.

Ramai cendekiawan islam, tokoh islam dan ahli falsafah Islam telah lahir dengan banyaknya. Penulisan, pembukuan dan penterjemahan buku-buku dilaksanakan dengan giatnya. Banyak teori asas suatu ilmu telah muncul  dan diguna pakai di dalam perkembangan ilmu-ilmu moden sekarang serta menjadi rujukan para ilmuan sekarang.

Pada zamannya juga telah lahir banyak aliran mazhab fiqh dan perkembangan pensyariatan (tasyri’) telah mencapai pada tahap tertinggi, kitab-kitab hadis dibukukan, ulama dan cendekiawan Islam mampu berijtihad dan mengeluarkan pendapat  dan lain-lain perkembangan. Antara tokoh terkemuka pada zaman tersebut seperti Imam Malik yang merupakan pengasas Mazhab Maliki, Imam Abu Hanifah sebagai pengasas Mazhab Hanafi , Imam Syafie sebagai pengasas Mazhab Syafie, Imam Ahmad bin Hanbal pula menubuhkan Mazhab Hanbali.

Begitu juga tokoh yang lain seperti Abdullah bin Al-Mubarak, Syeikhul Islam Ibnu Taimiah dan anak muridnya Ibnu Qayyim, Imam An-Nawawi yang merupakan ulama Mazhab Syafie, Eiz Abdus Salam dan lain-lain. Tidak dilupakan juga ilmuan islam dalam bidang selain fiqh seperti al-Khawarizmi yang merupakan seorang tokoh matematik, Ibnu Sina pula tokoh perubatan yang dikenali dengan ‘Bapa Perubatan Moden’ , al-Farabi tokoh falsafah islam, al-Biruni ahli fizik dan astronomi islam, Ibnu Batutah dan lain-lain.

Mereka semua umpama permata yang amat bernilai, suatu yang mahal dan berharga, mereka telah berusaha dengan bersungguh-sungguh dan gigih bagi memastikan ilmu ini terus berkembang  dan tersebar, mereka telah mengorbankan rehat mereka demi memastikan kebenaran terus tertegak , mereka telah mewaqafkan diri mereka untuk menuntut ilmu, sehingga segala penghasilan mereka  yang ditinggalkan untuk umat selepas mereka  benar-benar memberi kesan dan faedah yang besar.

Sumbangan mereka terhadap dakwah tidak pernah putus dan terus-menerus sehingga ke akhir hayat mereka. Hal ini kerana mereka memahami hakikat ilmu agama dengan mendalam serta mereka turut mengenali Allah taala sebagai tuhan mereka dan sebagai tempat  mereka mengadu hal dan memohon pertolongan. Mereka  tidak mengharapkan balasan dunia, bahkan mereka hanya mengharapkan keredhaan Allah Taala semata-mata, mereka tidak takut terhadap sesuatu pun melainkan hanya kepada Allah Taala, benarlah firman Allah Taala di dalam Al-Quran :

وَمِنَ النَّاسِ وَالدَّوَابِّ وَالْأَنْعَامِ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ كَذَٰلِكَ ۗ إِنَّمَا يَخْشَى اللهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ۗ إِنَّ اللهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ

Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun. [Surat Fatir 28]

Mereka para ulama tidak mewariskan harta namun apa yang mereka wariskan adalah ilmu, mereka adalah pewaris para nabi, memikul tugas dakwah dengan menyampaikan risalah dan ilmu kepada orang lain serta menyerbarkan ke seluruh alam. Seperti mana hadis nabi SAW  yang dikeluarkan oleh Abu Dawud dan yang lainnya, dari Abu Darda RA, sesungguhnya Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَطْلُبُ فِيهِ عِلْمًا سَلَكَ اللَّهُ بِهِ طَرِيقًا مِنْ طُرُقِ الْجَنَّةِ وَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا لِطَالِبِ الْعِلْمِ وَإِنَّ الْعَالِمَ لَيَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ وَالْحِيتَانُ فِي جَوْفِ الْمَاءِ وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

“Barangsiapa menempuh suatu jalan dalam rangka mencari ilmu maka Allah akan tunjukkan baginya salah satu jalan dari jalan-jalan menuju ke surga. Sesungguhnya malaikat meletakan sayap-sayap mereka sebagai bentuk keredaan terhadap penuntut ilmu.Sesungguhnya semua yang ada di langit dan di bumi serta ikan yang berada di dalam air meminta  ampun untuk seorang yang berilmu . Sesungguhnya keutamaan orang yang berilmu dibandingkan dengan ahli ibadah sebagaimana keutamaan bulan purnama terhadap semua bintang.

Dan sesungguhnya para ulama’ adalah pewaris para Nabi, dan sesungguhnya mereka tidaklah mewariskan dinar maupun dirham, akan tetapi mewariskan ilmu. Barangsiapa yang mengambil bahagian ilmu maka sungguh dia telah mengambil bahagian yang berharga.”

Oleh itu mereka telah melaksanakan tugas mereka dengan sebaiknya, mereka telah berjaya memimpin umat di zamannya, segala ilmu yang ditinggalkan adalah bukti ketokohannya, segala amalan mereka adalah pemberat (mizan hasanat) mereka dan bagi mereka jawapan untuk menjawab soalah-soalan yang bakal ditanya oleh Allah Talaa di padang mahsyar kelak.

Allah berfirman di dalam Al-Quran :

مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا

Antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.[Surat Al-Ahzab 23]

Persoalan yang timbul, bagaimanakah nasib kita? Adakah kita senasib seperti mereka ataupun sebaliknya? Oleh itu tidak sayogianya bagi kita untuk terus lalai dan membuang masa dan sepatutnya kita harus mencontohi jejak langkah mereka dan menjadi seperti mereka. Tugas kita adalah mengembalikan semula permata-permata yang telah hilang dengan cara mengerahkan segala usaha dan tenaga kita untuk melayakkan diri kita menjadi sebuah permata yang amat bernilai untuk umat ini .

Segala perkara telah tercatat di dalam Al-Quran dan hadis nabi SAW, hanya yang tinggal usaha kita untuk membacanya dan memahaminya , menekuninya serta mempelajarinya sehingga kita memahami hakikat agama ini dan mampu untuk mengenali Allah Taala, lalu mengamalkannya serta menyebarkan kepada orang lain. Namun begitu tidak dilupakan juga usaha-usaha yang dilakukan oleh ulama dan cendekiawan Islam terdahulu, kita cuba menggali khazanah-khazanah ilmu yang terkandung di dalam kitab-kitab turath yang mereka tinggalkan untuk kita. Di sana ada perkara-perkara yang mereka telah  rungkaikan dan syarahkan serta jelaskan yang boleh diambil dan diguna pakai oleh kita. Oleh itu, kita jangan berhenti untuk terus belajar dan  menuntut ilmu.

Imam Syafie pernah  berkata : “Bila kamu tidak tahan penatnya belajar, maka kamu akan menanggung peritnya kebodohan.”

Namun kita tidak pernah menafikan bahawa setiap manusia itu pasti ada kekurangan dan tidak sempurna, namun tidak boleh dijadikan alasan untuk kita bermalas-malasan dan terus lalai. Namun kita harus mengembleng seluruh tenaga dan menggunakan sehabis daya untuk memastikan kebenaran terus tertegak, risalah terus tersebar dan berusaha untuk menjadi sebuah permata yang bernilai yang diperlukan oleh ummat.

Imam Syafie pernah berkata : “Andaikan kekurangan diri dijadikan alasan untuk tidak berdakwah, nescaya tiadanya dakwah yang akan berjalan dimuka bumi ini..”

Keyakinan kita untuk menjadi seperti mereka perlu disematkan di dalam sanubari, jangan digoyahkan dengan kekurangan diri dan masalah-masalah yang dihadapinya di zaman ini yang penuh cabaran . Berusaha bersungguh-sungguh dan bertawakal kepada Allah, sesungguhnya ulama terdahulu adalah rijal pada zaman mereka namun kita juga adalah rijal di zaman kita, di dalam perkara yang dibenarkan untuk berijtihad mereka telah berijtihad untuk ummat di zaman mereka, maka kita turut berijtihad untuk umat pada zaman kita. Ulama dan cendekiawan Islam dan tokoh ilmuwan tidak pernah berhenti dalam memenuhi keperluan umat bagi membimbing mereka daripada kegelapan jahiliyah kepada cahaya kebenaran. Keadaan ini akan berterusan sehingga lah Allah Taala berkehendak sebaliknya .

Dalam sebuah hadis yang di keluarkan oleh imam bukhari

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ اللهَ لَا يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ الْعِبَادِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالًا فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

Dari Abdullah bin ‘Amru bin Al ‘Ash berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:  “Sesungguhnya Allah tidaklah mencabut ilmu sekaligus mencabutnya dari hamba, akan tetapi Allah mencabut ilmu dengan cara mewafatkan para ulama hingga bila sudah tidak tersisa ulama maka manusia akan mengangkat pemimpin dari kalangan orang-orang bodoh, ketika mereka ditanya(tentang suatu hukum) mereka berfatwa tanpa ilmu, maka mereka sesat dan menyesatkan”.  

Oleh itu, selagi mana kita masih diberi peluang oleh Allah Taala untuk menjadi hambanya yang berilmu dan terus menyebarkan ilmu kepada masyarakat dan berfatwa dengan kebenaran al-Quran dan hadis, selagi itu kita harus mengambil peluang tersebut dan  berusaha ke arah itu. Oleh itu, permata-permata yang telah hilang harus diwujudkan kembali bagi memenuhi keperluan umat pada zaman kita dan  generasi selepas kita.

والله تعالى أعلم بالصواب

الفقير إلى الله

photo_2017-02-13_08-50-42

Mohd Qutaibah B. Ismail

Pengerusi  Majlis Ulama ISMA Mesir sesi 2017

Kuliah Darul Ulum

Universiti Kaherah

Comments

comments

Leave a Comment