Alamak, Dia Datang Lagi !

again2

 

Oleh : Sumaiyah bt Rushdan, Tahun 1, Kuliah Perubatan Al-Azhar, Kaherah.

 

“Selamat datang, dah lama kami tunggu!”

Agaknya, apa yang tetamu kita rasa apabila kedatangannya dirai seramah ini ? Tentulah dia juga rasa teruja untuk masuk ke rumah kita, bukan?

Namun, cuba kalau bunyi sahaja loceng atau salam yang diberi, kita sengaja melambat-lambatkan untuk membuka pintu. Hati membentak disampuk rasa amarah. Sambil bergumam, ‘Haisy,siapa pula yang datang ni! Orang tengah rehat-rehat. Aduhai…’

Itu belum lagi aksi, bilamana pintu rumah dibuka ; “Waalaikumussalam. Hurm, ada apa? Ahmad tak ada. Dia keluar”

Tup.

Dengan pantas, pintu ditutup. Kemudian kita kembali melaksanakan rutin yang tergendala.

Tetamu tadi menekan loceng sekali lagi. Kita buat tidak endah. Sengaja, memasang lagu kuat-kuat. Loceng ditekan sekali lagi dan berkali-kali. Sampai satu tahap, kita mengalah. Kalau ikut adab dan adatnya, tetamu mesti dijemput masuk.

Lantas, kita bangun dengan malas dan bermuka toya. Mencapai tombol dan membuka pintu.

“Saya datang nak ziarah kamu. Saya bawa buah yang kamu suka”, tetamu itu senyum lebar, selebar-lebarnya.

Hurm, masuklah, buat macam rumah sendiri.”

Kita suruh dia duduk di ruang tamu. Tetamu kita tidak senang duduk. Mana tidaknya, sunyi tanpa dirai. Layanan tuan rumah seperti acuh tak acuh menerima kehadiran dia. Sedang kita, selaku si tuan rumah pula sibuk dengan persoalan; ‘Bila kau nak balik, ha?

Setelah beberapa minit, tetamu itu pohon untuk mengundurkan diri.

“Erm, alang-alang keluar, boleh kau tolong buang sampah ni ke tong dekat bawah sana tu?”, kita cuba memohon pertolongan.

Agaknya, apa perasaan tetamu kita tadi ? Sudahlah menerima layanan sedemikian rupa. Kemudian diminta bantu.

Adakah dia akan membantu kita?

 

Refleksi

Bagaimana pula dengan persiapan kita menyambut ‘tetamu’ yang paling dinanti-nanti ; Ramadhan

Dia bukan ‘tetamu’ sembarangan. Dia bakal membawa pergi dosa-dosa kita yang lalu jika kita sambut kedatangannya dengan penuh iman dan  perhitungan.

Dari Abu Hurairah R.A dari nabi S.A.W bersabda : “ Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh iman dan perhitungan maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”

 

Saya rasa kita sudah matang dan cerdik untuk merefleksikan kisah analogi diatas tadi dengan situasi kita selaku khalifah penghuni bumi sebagai si tuan rumah dan Ramadhan sebagai tetamunya.

 

Sudah 5 hari Ramadhan !

Ya, Ramadan sudah menjelma. Jadi, bagaimana kita meraikannya ?

Lampu lip-lap sudah pasang ? Fanus sudah dibeli ? Poster-poster Ramadhan sudah ditampal ?

Itu semua persiapan fizikal. Bagaimana pula dengan persiapan mental dan iman kita ?

Sudahkah kita raikan sepenuhnya ‘tetamu’ yang belum pasti kan bersua lagi kelak ?

 

Jangan sia-siakan peluang!

Para sahabat sangat bersemangat untuk menyambut bulan Ramadhan.

Diriwayatkan bahawa apabila tibanya bulan Rejab, maka Rasulullah akan berdoa ‘Ya Allah berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan’ (Riwayat Al-Bazzar, At-Thabrani, Al-Baihaqi).

Kita pula bagaimana?

Dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah S.A.W pernah naik mimbar kemudian berkata : “ Amin,amin,amin”

Beliau bersabda : “ Sesungguhnya Jibril ‘alaihissalam datang kepadaku, dia berkata : “ Barangsiapa yang mendapat bulan Ramadhan tetapi tidak diampuni dosanya maka akan masuk neraka dan Allah akan jauhkan dia, katakan : Amin , maka aku pun mengucapkan : Amin.”

 

 

Selamat beramal!

Comments

comments

Comments are closed.