Aku Syahid, kau siapa?

Perkarangan Dewan Utama Universiti Putra Malaya mulai lenggang memandangkan waktu kuliah sudah lama tamat. Anak tangga didaki. Dia meneruskan langkah menuju ke perpustakaan utama. Assignment perlu disiapkan segera. Akhir bulan ini, dia akan menyertai misi bantuan kemanusiaan.

*****

Kotak bungkusan ubat-ubatan dikira dengan teliti. Bungkusan makanan juga disusun rapi di dalam kotak kayu. Guni beras di dalam lori dipindahkan ke bilik operasi untuk sementara.

“Satu, dua, tiga!”
Tiga guni beras yang terakhir menunjukkan tugas mereka hampir selesai.

“Ahmad! Dah selesai buat kiraan?” tanya seorang lelaki dewasa yang merupakan ketua misi kali ini. Bajunya kuyup bermandi peluh mengangkat barang-barang sumbangan daripada masyarakat dari utara dan semenanjung timur.

“Sudah, tuan!”, balas Ahmad seraya memberi sebotol air mineral kepada beliau. Air botol Aquafina bertukar tangan. Tuan Kamal tidak menunggu lama. Air mineral terus diteguk menghilangkan kehausan dan kelelahan.

Tuan Kamal tercari-cari kelibat seseorang. Sebaik sahaja pandangannya jatuh pada seorang pemuda persis mat saleh, terus dipanggilnya agar menghampiri kepada pemuda tersebut.

“Kenalkan, ini Syahid. Seorang pelajar dari Universiti Islam Antarabangsa. Dari negara Syria. Sekarang dia tengah cuti semester. Bila dia dapat tahu tentang misi kemanusiaan ini, dia terus tawar diri untuk jadi sukarelawan,”Tuan Kamal memperkenalkan sambil menepuk-nepuk bahu Syahid.

Dua tangan berjabat erat.
“Aku Syahid. Kamu?”
“Aku Ahmad. Selamat berkenalan,”ujar Ahmad lalu menghadiakan sebuah senyuman.

*****

Berita mengenai Rohingya terus dikemaskini. Kisah pelarian, anak gadis dirogol, diseksa, dihalau dari rumah sendiri, tempat tinggal dimusnahkan dan penindasan menjadi perhatian dunia. Tinggal di negara sendiri ibarat menunggu bahaman Raja Rimba.

Beribu etnik Rohingya di Wilayah Rakhine ditindas dan dizalimi oleh rejim tentera dan segelintir pelampau Buddha di Myanmar. Mereka melarikan diri ke negara sempadan jiran atau menjadikan laut sebagai tempat berlindung. Bagi yang tidak mampu lari, hanya sekadar menjadi pelarian di negara sendiri atau menunggu maut.

“Kenapa Rohingya?” ujar Syahid memecahkan kesunyian sepi malam. Mereka berjaga malam untuk mendapatkan berita terkini dari bumi Rohingya dan menyebar luaskan kepada orang ramai.

“Apa maksud kau?”
“Cuba bayangkan, saudara muslim kita ada di mana-mana. Bahkan Myanmar terlalu dekat dengan negara Malaysia. Apakah tiada perhubungan erat sesama dua negara ini dalam mengambil tahu khabar berita tentang hal ehwal negara mereka?”ujar Syahid yang berkerut dahi.

“Soalan yang sama aku tujukan kepada engkau, wahai orang Syria. Kenapa kalian tidak bisa membebaskan Palestin yang sedang bergolak yang begitu hampir dengan negara kalian?”

Masing-masing terdiam. Memikirkan solusi sebenar.

“Hanya satu sahaja jawapannya…sebab kita semua jauh dengan ini,”jawab Syahid seraya memegang mushaf kecil al-Quran berwarna hitam. Mereka saling berpandangan.

*****

Malam kelihatan cantik dihiasi bulan purnama. Bintang-bintang yang bertaburan di sekitarnya menghiasi langit yang tiada bertiang. Subhanallah!

Syahid tidak bisa melelapkan matanya. Dia melirik kepada Ahmad yang sudah lama lena dibuai mimpi. Lalu dia bangkit dari tempat tidurnya menuju ke bilik air untuk mengambil wudhu’.

Ya Allah! Ampunilah kami, kaum mukminin dan mukminat, muslimin dan muslimat. Persatukanlah hati kami. Perbaikilah hubungan diantara kami dan menangkanlah kami atas musuh-Mu.
Ya Allah! Cerai beraikanlah kesatuan mereka. Goyahkanlah langkah-langkah mereka dan turunkanlah atas mereka siksa-Mu yang tidak akan Engkau jauhkan dari kaum yang berbuat jahat.

Ya Allah! Muliakan Islam dan orang Islam. Ya Allah! Hinakan syirik dan musyrikin. Ya Allah! Tolonglah saudara-saudara kami yang muslim dan mujahidin dan golongan-golongan lemah, di Palestin, di Lubnan, di Iraq dan di semua tempat dan di semua masa.”

Aduan seorang hamba yang sarat dengan harapan saat mendengar firman Tuhan, “Berdoalah kepada-Ku,akan Ku perkenankan doamu.”

*****

Hujan gerimis membasahi bumi. Misi bantuan kemanusiaan Food Flotilla For Myanmar sudah selamat tiba. Para aktivis terus rancak memulakan misi sebaik sahaja tiba di kem pelarian penduduk Rohingya. Lori kotak makanan dikerumuni orang ramai.

Khemah kesihatan juga tidak kurang sibuk dengan misi merawat penduduk Rohingya yang terluka akibat ditembak oleh rejim tentera mahupun dibelasah dengan parang oleh penganut pelampau Buddha di Myanmar.

Apabila tiba waktu solat fardu, mereka diajak untuk solat berjemaah beramai-ramai. Kesempatan untuk menambah ilmu agama diambil. Para aktivis bergilir-gilir menjalankan tugas. Mereka dibenarkan untuk berada di kem pelarian hanya dua minggu.

Ahmad merapati Syahid yang sedang membaca al-quran. Di sampingnya, kanak-kanak mengelilingi. Suara merdu sahabat Syria ini dalam mengalun kalam Allah menarik perhatian. Ahmad turut menyertai mereka.

Saat perkenalan mereka terimbau kembali,

“Kenapa nama kau Syahid?” tanya Ahmad ingin tahu.

“Kerana aku nak syahid di jalan Allah,”balas Syahid yakin.

Lamunan Ahmad segera mati. Dia memandang wajah polos temannya yang ceria.

“Firman Allah ada menyebut; “Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan ‘Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun. Mereka mendapat ampunan dan rahmat Allah dan mereka mendapat petunjuk.”

Ahmad tidak mahu ketinggalan. Dia turut menambah, “Bahkan Baginda s.a.w. pernah bersabda: Alangkah mengagumkan keadaan orang yang beriman, kerana semua keadaannya (membawa) kebaikan (untuk dirinya), dan ini hanya ada pada seorang mukmin; jika dia mendapatkan kesenangan dia akan bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya, dan jika dia ditimpa kesusahan dia akan bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”

“Jadi, kita kena bersabar?”tanya si kecil Malik.

“Ya. Kerana sabar itu indah. Dan Allah akan bagi hadiah bagi orang yang bersabar,”balas Syahid.

“Hadiah? Hadiah apa?” Malik teruja! Matanya bersinar-sinar.

“Hadiahnya ada di Syurga. Mintalah apa-apa di syurga. Nak aiskrim, nak rumah, nak mainan, semuanya ada…”

“Macam mana nak sabar? Kami sudah tiada rumah, sudah tiada keluarga, hidup dalam ketakutan,”tanya Malik sayu sambil menguis tanah.

Ahmad memeluk bahunya dengan erat. Bahkan kanak-kanak yang lain juga dipeluk.

“Allah itu Maha Adil. Dia Maha Berkuasa. Kalian kena banyak berdoa. Semoga Allah beri banyak pahala dan beri balasan yang setimpal pada orang jahat,”ujar Ahmad memberi semangat. Malik mengesat air matanya.

*****

Hujan turun dengan lebat. Khemah-khemah hampir roboh disebabkan angin ribut yang agak kuat. Bunyi petir dan guruh berselang-seli. Para aktivis menenangkan penduduk Rohingya yang ketakutan terutama kanak-kanak yatim piatu.

Syahid meredah hujan lebat. Dia ingin memastikan semua orang berlindung di dalam khemah.

“Mana Malik?” tanyanya sebaik sahaja tiba di khemah yang menempatkan anak-anak yatim.

Semua orang menggeleng tidak tahu. Masing-masing dalam ketakutan. Syahid meneruskan pencarian.

Dari jauh, dia ternampak kelibat seseorang. Kelibat itu mula jauh dari kem pelarian. Syahid mengejarnya.

“Malik! Malik!” jeritnya kuat melawan angin ribut.

Langkah kecil itu terhenti. Dek kerana pohon besar yang tumbang terkena panahan petir. Syahid tidak menunggu lama. Tubuh kecil itu terus dipeluk. Dia meronta-ronta minta dilepaskan.

“Kamu mahu ke mana hujan lebat begini?”

“Ke Syurga!”jeritnya kuat.

Dummm! Petir memanah pohon besar yang berhampiran. Pohon itu tumbang berdekatan dengan mereka.

“Malik! Lari ke khemah! Bahaya!” Mereka lari dengan pantas.

Namun nasib tidak menyebelahi Syahid. Batang pohon besar itu jatuh menghempap badannya. Tubuhnya rebah ke bumi.

“Allahu akbar!”

Malik tergamam. Tubuhnya tertolak ke hadapan. Dia tersungkur ke tanah.

Malik bangkit perlahan-lahan. Dia menoleh ke belakang.

“Abang Syahid!!!”

Tubuh itu telah kaku. Darah memercik dengan banyak. Syahid telah menemui Pencipta-Nya di situ juga.

Malik dirangkul dari belakang. Ahmad memeluknya erat. Tangisan dan raungan Malik ditenggelami bunyi guruh. Ahmad juga tidak terkecuali. Beberapa orang lain menghampiri Syahid untuk memastikan keadaannya. Malik dibawa pulang ke khemah sementara menunggu hujan reda.

Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun. Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami kembali.”

 

“Kenapa nama kau Syahid?” tanya Ahmad ingin tahu.

“Kerna aku nak syahid di jalan Allah,”balas Syahid yakin.

Penulis: Lubabah bt Mohamad Muhsin
Kuliah: Syariah Islamiyah Tahun 3

 

Comments

comments

Leave a Comment