Mereka yang ditawan oleh nafsu

Mereka yang ditawan oleh Nafsu Nafsu adalah makhluk yang Allah ciptakan di dunia ini sebagai salah satu daripada ujian terbesar yang muncul dalam kehidupan manusia. Dalam pelbagai situasi, nafsu sering menjadi halangan atau melambatkan manusia dalam perjalanannya menuju Tuhan. Kuasa nafsu yang hebat ini tidak terkecuali daripada sesiapa pun untuk menjadi mangsanya. Bahkan manusia daripada setiap lapisan daripada yang paling tinggi hinggalah yang paling rendah tidak terlepas daripada pujuk rayu nafsu.

Sudah tentu hanya sedikit yang terselamat. ۞ وَمَا أُبَرِّئُ نَفْسِي ۚ إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّي ۚ إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَحِيمٌ “Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Yusuf: ayat 53) Bagi seorang budak-budak yang masih bersekolah, mungkin nafsunya hanya pada ponteng sekolah, lari dari rumah, lumba motor, langgar peraturan sekolah dan sebagainya. Budak mentah, nafsunya pun tidak susah kerjanya.

Jika di peringkat kepimpinan negara pula, nafsu akan memimpin tangannya tenggelam ke lembah duit dan wang rasuah. Bermain dengan korupsi di hujung jari akan menjadi normal sedikit demi sedikit. Berapa banyak mereka yang sudah terbukti terjerumus ke lembah penuh kehinaan ini. Begitu juga para daie’. Mereka juga tidak terlepas daripada hasutan nafsu. Mereka yang sepatutnya berkorban masa dan tenaga untuk berjumpa manusia menyebarkan risalah ini akan sentiasa menemui banyak laluan yang akan menghala mereka ke arah dakapan nafsu. Cukuplah tugas nafsu itu merosakkan jiwa daie dengan menyimpan sehagian kerahan masa dan tenaga untuk kerehatan dirinya sendiri sedangkan sepatutnya ditumpahkan kepada ummat ini.

Dalam buku Al-Muntolaq karangan Muhammad Ahmad Ar-Rashed, beliau menukilkan kat-kata salafussoleh yang sangat memutuskan urat jantung para pendakwah sekiranya mereka menghayatinya dengan baik. “Demi Allah, sesungguhnya tiada kejayaan untuk dakwah ini sekiranya kita hanya memberikannya lebihan masa-masa kosong kita dan dalam keadaan kita tidak lupa kepada makan dan minum kita”. Bagi peringkat ilmuwan dan agamawan pula, nafsu ini lebih bijak tipu helahnya. Hal ini kerana mereka mempunyai banyak jalan dan cara untuk membenarkan apa sahaja kehendak nafsu mereka mengikut kaedah dan ilmu yang diketahui akalnya. Bijak akal, tetapi jiwa ditawan oleh hawa nafsu. Sebahagian mereka melakukan ijtihad yang mudah bagi nafsu diri mereka.

Ijtihad mereka ini mungkin tidak memerlukan mereka menggembleng tenaga berkorban untuk melawan jahiliah di muka bumi ini. Pendirian mereka lebih selesa dengan keadaan yang sedia ada tanpa perlu ada penentangan kepada sesiapa, baik musuh agama atau kerajaan yang zalim. Tetapi ada juga di antara mereka yang melakukan perkara ini, tetapi dalam hatinya mencela ijtihadnya sendiri. Hayatilah kisah Bisyru Al-Hafiy, seorang yang terkenal dengan kezuhudannya. Oleh kerana pengaruhnya pada masyarakat, kerajaan yang zalim ketika itu membiarkannya dalam masa yang sama menangkap Imam Ahmad bin Hanbal dan menyeksanya kerana melawan kerajaan.

Ketika itu kerajaan yang memerintah mengatakan Al-Qur’an itu makhluk, bukan kalamullah. Tatkala melihat betis Imam Ahmad yang telah disebat tujuh belas kali dengan cemeti, Bisyru Al-Hafiy memeandang betisnya sambil berkata, “alangkah buruknya betis ini. Ia tidak diikat dengan pasung untuk menolong lelaki itu (Imam Ahmad)”. Demikianlah jika kita perhatikan betapa tiada seorang pun yang terlepas daripada kongkongan nafsu. Samada beliau pemimpin, orang awam, malah agamawan bahkan daie pun menjadi mangsa kepada pelukan hawa nafsu yang halus tetapi kuat. Oleh itu siapa pun anda, janganlah cepat rasa terselamat dan cukup selesa dengan keadaan yang ada.

Tulisan ini hanyalah satu pukulan terhadap diri sendiri.
14377709_10155318315152846_1491598887346926370_n

Penulis: Ustaz Muhammad bin Mohd Hasan
Kuliah : Usuluddin tahun 4

Comments

comments

Leave a Comment