Umat pertengahan

UMAT PERTENGAHAN

 

‘’Bagaimana hidayah itu boleh sampai kepada mereka melalui umat Islam, umat pertengahan yang hanya menyimpan Islam di poket masing-masing?’’ bisik hati kecilnya.

Tidak seperti malam-malam biasa, malam itu Iskandar tidak mampu pejamkan mata. Teman-temannya yang lain sudah lama dibuai mimpi yang lena. Perlahan dia menutup kitab Riyadhus Solihin yang dibacanya dari tulisan Sayyidul Mursalin karangan Abi Zakaria Muhyiddin Yahya An-Nawawi.

Sebatang pena tegak berdiri menunggu ilham dari Ilahi. Akalnya ligat berlegar memikirkan soal ummah. Perihal itu mencuit hatinya untuk menukil sesuatu. Moga kalam itu menjadi saham akhirat untuknya.

Iskandar berharap nukilan dari pena mindanya mampu menjadi sebab kepada pembangunan dan kebangkitan ummah yang semakin hari dilihat semakin lemah. Lantas bismillah dibaca lalu pena menari bersama mindanya mengukir kalam buat ummah. Sekali lagi, coretan baru akan muncul.

….…………………………………………………………………………………………………………………………………………

  ‘’Dan demikian pula kami telah menjadikan kamu (umat Islam) ‘’umat pertengahan’’ agar kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu’’. (Al-Baqarah ; ayat 143)

 

Apabila kita berada di dalam situasi orang tengah, kita berperanan sebagai saksi yang mengetahui kebenaran dan berperanan memberikan keterangan di mahkamah.

Bolehkah kita berpura-pura buta, pekak, dan bisu apabila diminta menjadi saksi kepada orang lain?

Jika kita telah bersaksi bahawa karipap sardin yang di jual di warung Mak Ngah itu sedap, pastinya kita tidak malu-malu untuk mempromosikannya di alam maya dan kepada orang di sekeliling kita. Kita akan bersungguh-sungguh mempromosikan karipap sardin Mak Ngah.

Mengapa sampai begitu ? Ya, kerana kita tahu betapa sedapnya karipap sardin Mak Ngah dan mahu semua orang merasai kenikmatannya sebagaimana yang kita rasakan.

Sedarkah kita? Bahawa pada saat itu kita adalah ummat pertengahan , di antara karipap sardin Mak Ngah dan orang di sekeliling kita.

Begitu juga di dalam sebuah peristiwa jika kita pernah terserempak dengan penyanyi Korea yang menjadi pujaan ramai peminat Malaysia, Tuna Montana di stesen LRT minggu lepas. Kita pun ikut sama bergambar dengan beliau 3 jenis pose. Walaupun gambar itu tidak menjadi kerana kita tidak pandai nak set up ISO, Kita tetap akan kongsikan dengan semua rakan sama ada realiti mahupun dunia maya. Bukankah itu perlakuan seorang umat pertengahan walaupun tanpa kita sedari atau buat-buat tidak sedar.

Namun mengapa apabila disebut umat pertengahan dalam konteks lslam atau dakwah, semua orang geleng kepala seolah-olah sedang menolak ajakan promoter di tepi-tepi jalan.

Kata mereka, “Biarlah ustaz- ustazah yang buat, kami tidak cukup ilmu . Kita jaga diri sendiri sudahlah.”

Kamu telah terserempak dengan orang minyak yang sedang membersihkan dirinya di belakang semak rumah Haji Kudin. Maka, pada saat inilah kamu tahu bahawa orang minyak yang selama ini merosakkan kehormatan gadis-gadis kampung ialah Lemang, anak tauke minyak di kampung seberang.

Pada saat Lemang di tangkap, kamu memilih untuk menjadi saksi walaupun kamu tidak begitu kenal dengan Lemang. Ini terjadi bila mana kamu punya pengetahuan tentang sesuatu, maka kamu menyampaikan apa yang kamu bersaksi padanya. Walaupun kamu tiada ilmu tentang keseluruhan hidup Lemang.

Dan sekali lagi, mengapa ?

Kerana kamu tahu, jika kamu tidak menyampaikan kebenaran, kelak penjahat akan berleluasa dan boleh jadi merosakkan adik, kakak, rakan malah diri kamu sendiri. Bayangkan kerosakan yang berlaku kepada masyarakat jika kamu tidak menyampaikan kebenaran tentang Lemang.

Ketahuilah, ‘’Sedang mereka saling melihat. Pada hari itu, orang yang berdosa ingin sekiranya dia dapat menebus (dirinya) dari azab dengan anak-anaknya. Dan isteri dengan keluarganya. Dan keluarga yang melindunginya (di dunia). Dan orang-orang seluruhnya, kemudian mengharapkan (tebusan) itu dapat menyelamatkannya’’. (Al-Maa’rij:11-14)

 

“Ya-Allah, dia tahu Lemang tu orang minyak, tapi dia tidak beritahu pun. Kami rosak kerananya. Salah dia Ya-Allah!’’kata penduduk kampung.

“Ya-Allah, kalau dia membiarkan aku di tangkap dahulu, tentu aku sudah bertaubat dan menjadi manusia yang lebih baik. Masukkan dia ke dalam neraka, Ya-Allah!’’kata Lemang.

“Ya-Allah, dia ini dulu ada dalam friendlist Facebook aku tapi dia tidak pernah berkongsi kebaikan dan beri peringatan. Azablah dia sekali, Ya-Allah!’’

“Ya-Allah, aku jumpa dia hari-hari tapi tak pernah sekalipun dia mengajak aku ke arah kebaikan. Dia baik seorang diri sahaja. Masukkan dia ke dalam neraka bersama kami, dan azabkanlah dia berlipat kali ganda ,Ya-Allah!”

Bukankah ini sangat menakutkan ? Ternyata, kita tidak boleh baik seorang diri. Islam itu bukanlah bersifat ‘darwisy’(mengasingkan diri). Rasulullah S.A.W dan para sahabat sendiri tidak duduk di suatu tempat dan beribadah semata-mata.

 

Zalimnya orang yang menyembunyikan identiti Lemang sebagai orang minyak sebagaimana zalimnya orang yang tidak memberitahu tentang keenakan dan kerangupan karipap sardin Mak Ngah kepada orang lain dan melihat sahaja mereka makan karipap kosong tanpa rasa kasihan.

Tetapi siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang membiarkan manusia lain hidup meraba-raba dalam kegelapan kerana melanggar perintah Allah ?

Mereka adalah umat pertengahan, yang tidak meletakkan hak Allah pada tempat-NYA.

Seharusnya mereka berperanan mencegah kemungkaran dan mengajak ke arah kebaikan. Meninggikan kalimah Allah dan mentaati-Nya dengan sepenuh jiwa. Berlumba-lumba mengajak manusia membuat kebaikan dan memberatkan timbangan pahala. Sentiasa berkelakuan seperti seorang mukmin yang soleh dalam setiap tutur kata dan perbuatan.

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh. Sambil berkata, sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang berserah bulat-bulat kepada Allah!” (Al-Fussilat ;33)

 

Dan masih ingat lagikah kamu akan kisah seekor burung kecil yang berusaha memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim A.S dengan menggunakan paruhnya yang kecil untuk mengangkut air? Sungguh tidak realistik jika difikirkan. Mustahil dengan air yang sedikit mampu untuk memadamkan api yang marak menyala.

Namun burung itu sudah ada hujahnya di hadapan Allah di akhirat kelak, bahawa ia telah melakukan tugas menegakkan kebenaran semampu yang mungkin.

Apakah kita mampu memberi alasan sepertinya untuk melepaskan diri daripada azab Allah ? Masihkah kita ingin mengelak dari menjadi ummat pertengahan dalam konteks Islam dan dakwah? Bersediakah kita untuk membuat pilihan? Sama ada di Syurga atau Neraka?

….…………………………………………………………………………………………………………………………………………

Pena terhenti. Tanpa sedar, air mata Iskandar jatuh membasahi kedua-dua pipinya. Tiada esakan. Hanya aliran air mata yang mewakili kalam tersirat.

Penulis: Siti Nur Aisyah bt Mohd Razali
Kuliah Syariah Islamiyah Tahun 1

Comments

comments

Leave a Comment