Antara dua pandangan

Alhamdulillah,segala puji bagi Allah s.w.t yang mengurniakan kita nikmat-nikmat yang kalau dihitung dan dikira dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara tidak akan dapat dihitung .Allah s.w.t berfirman:

وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا ۗ إِنَّ اللَّهَ لَغَفُورٌ رَحِيمٌ

“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”(surah an-nahl:18)

Penulis ingin berkongsi sedikit daripada ilmu yang diperolehi dan ianya sangat berkesan jika betul-betul diamalkan dalam kehidupan seharian. Penulis ingin berkongsi mengenai nikmat mata. Pada hari ini,kita semua disajikan dengan pelbagai gambaran pemandangan dunia dan ianya sangat melazatkan, pemandangan dunia yang membawa manusia kepada alam yang melalaikan, mendekatkan diri kepada nafsu, dan secara tidak sedar mengurangkan nilai iman yang ada pada diri seterusnya kita terlupa akan Allah s.w.t.

Mata akan membuatkan diri kita melihat sesuatu sebelum kita berfikir akannya, lalu kita mula mencuba untuk mendekatinya, lalu kita terjebak ke dalam gejola nafsu yang membuai angan-angan kita. Mata merupakan titik kelemahan kerana ia mudah jatuh pada godaan dan merupakan saluran yang paling mudah ke hati .

يَعْلَمُ خَائِنَةَ الْأَعْيُنِ وَمَا تُخْفِي الصُّدُورُ

“Allah mengetahui pengkhianatan (penyelewengan dan ketiadaan jujur) pandangan mata seseorang, serta mengetahui akan apa yang tersembunyi di dalam hati.”(surah Ghafir:19)

Mata yang sering mementingkan nilaian dunia akan membuatkan hati lebih cenderung kepada isinya . Apabila hati sudah melekat pada dunia maka mudah sahaja untuk tertipu dengan fitnah dunia termasuk pangkat, harta,kekayaan dan wanita . Bahkan,perkara yang sangat bahaya ialah hati akan tertarik pada zina.

Allah s.w.t berfirman :

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.”(surah an-nur:30)

Mata kita perlu dijaga dan dipelihara daripada melihat perkara-perkara yang telah diharamkan ke atas kita. Mereka yang beriman perlu menjaga matanya daripada melihat perkara-perkara yang haram. Mereka yang menuntut ilmu perlu menundukkan pandangan mereka, mereka yang keluar di jalan Allah juga perlu menjaga pandangan mereka dan khususnya diri kita yang mengaku beriman kepada Allah s.w.t.

Mari kita bertaamul sebentar dengan kalam Allah s.w.t.Banyak kalam-kalamNya yang kita baca yang berkaitan dengan perkataan melihat dengan tujuan akhirnya kita mengunakan mata untuk memikirkan kebesaran Allah supaya hati kita makin dekat denganNya.

أَلَمْ تَرَ إِلَىٰ رَبِّكَ كَيْفَ مَدَّ الظِّلَّ وَلَوْ شَاءَ لَجَعَلَهُ سَاكِنًا ثُمَّ جَعَلْنَا الشَّمْسَ عَلَيْهِ دَلِيلًا

“Tidakkah engkau melihat kekuasaan Tuhanmu? bagaimana Ia menjadikan bayang-bayang itu terbentang (luas kawasannya) dan jika Ia kehendaki tentulah Ia menjadikannya tetap (tidak bergerak dan tidak berubah)! Kemudian kami jadikan matahari sebagai tanda yang menunjukkan perubahan bayang-bayang itu.”(surah al-furqan:45)

أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ أَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَتُصْبِحُ الْأَرْضُ مُخْضَرَّةً ۗ إِنَّ اللَّهَ لَطِيفٌ خَبِير
لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ ۗ وَإِنَّ اللَّهَ لَهُوَ الْغَنِيُّ الْحَمِيدُ ٌ

“Tidakkah engkau melihat bahawa Allah telah menurunkan hujan dari langit, lalu menjadilah bumi ini hijau subur (dengan sebabnya)? Sesungguhnya Allah Maha Halus serta lemah-lembut (urusan tadbirNya), lagi Maha Mendalam pengetahuanNya (akan hal-ehwal sekalian makhlukNya). Segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaanNya. Dan sesungguhnya Allah, Dia lah jua Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.”(surah al-hajj:63-64)

أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ سَخَّرَ لَكُمْ مَا فِي الْأَرْضِ وَالْفُلْكَ تَجْرِي فِي الْبَحْرِ بِأَمْرِهِ وَيُمْسِكُ السَّمَاءَ أَنْ تَقَعَ عَلَى الْأَرْضِ إِلَّا بِإِذْنِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ بِالنَّاسِ لَرَءُوفٌ رَحِيمٌ

“Tidakkah engkau melihat bahawa Allah telah memudahkan apa yang ada di bumi untuk kegunaan kamu, dan (demikian juga) kapal-kapal yang belayar di laut dengan perintahNya? Dan Ia pula menahan langit daripada runtuh menimpa bumi, kecuali dengan izinNya; sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihanNya dan rahmatNya kepada umat manusia.”(surah al-hajj:65)

سَنُرِيهِمْ آيَاتِنَا فِي الْآفَاقِ وَفِي أَنْفُسِهِمْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُ الْحَقُّ ۗ أَوَلَمْ يَكْفِ بِرَبِّكَ أَنَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ

“Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?”

Dan banyak lagi tanda kekuasaan Allah s.w.t yang boleh kita lihat dalam ayat -ayat al-quran. Sepatutnya apa yang kita lihat perlulah mendekatkan kita dengan Allah kerana Dia yang telah mencipta segala yang ada di muka bumi ini. Segala yang wujud di alam ini adalah atas kekuasaanNya. Maka alangkah baiknya sekiranya kita melihat sesuatu itu membuatkan kita ingat kepada pencipta yang maha berkuasa .

Akhir sekali, usahakanlah mata kita supaya dapat menangis mengenang dosa-dosa yang telah kita lakukan, mohonlah pada Allah agar dikurniakan kekuatan untuk bangun pada dua pertiga malam agar kita dapat kecapi kasih sayangNya, menangis dan mengadulah pada Allah dalam semua perkara yang menjadi permasalahan pada kita,kerana kita yakin Allah s.w.t sentiasa bersama hambanya yang lemah.

   وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ

“….Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku adalah dekat.” (surah Al-Baqarah: 186)

photo_2017-02-21_15-30-00

Penulis: Muhammad Iqbal Syazwan bin Yusuff

Kuliah lughah Al-Azhar tahun 1

Comments

comments

Leave a Comment