Daie berjiwa besar

 

Susur gajah sudah mulai lenggang. Asma’ berjalan laju ke asrama perempuan. Hari ini dia pelajar yang paling lambat pulang dari sekolah. Semalam dan sebelumnya pun dia.

“Rasanya esok pun aku perlu balik lambat juga.”

Pintu dormitorinya yang sudah ternganga seolah-olah menyambut kepulangannya. Beg dan buku-buku yang digendong dilepaskan di atas katil. Bahunya terasa ringan. Mahu sahaja dia berbaring sebentar, namun ada satu perasaan yang menghalangnya dari berbuat demikian. Matanya melihat sekeliling. Penghuni asrama dilihatnya masih bersenang-lenang melakukan urusan masing-masing. Asma’melepas nafas lemah. Jam di dinding dijeling sekilas.

“Banat, waktu asar dah dekat. Kena bersiap sekarang.”Dia meninggikan suaranya sedikit.

“Akak, sekejaplah. Kitorang penat ni. Baru balik sekolah. Nak rehat-rehat sekejap,”sahut salah seorang adik dorm.

“Sudah…Jom ambil wudu’”.

Tanpa berlengah lagi Asma’ mendahului mereka.Harapannya adik-adik tadi menuruti dia. Tidak lama kemudian azan Fardhu Asar berkumandang.Barulah beberapa orang pelajar perlahan-lahan bergerak menuju ke tempat wudu’. Exco disiplin asrama sudah mula bising mengetuk pintu,mengejut pelajar yang sedang tidur.

Asma’ menutup mushaf. Sudah tiga helaian al-quran dibaca. Baru tiga orang pelajar yang ada di dalam musolla. Jam 5 petang nanti dia ada usrah dengan adik-adik tingkatan Dua. Kalau lambat mula solat,lambat jugalah usrah akan bermula. Selepas itu,dia mahu membaca bahan kerja kursus dan menanda nota penting. Kepalanya ligat menyusun agenda untuk hari ini.

*****

“Adik-adik semua sihat ke?”

Kelesuan wajah mereka mencuit hatinya. Asma’ cuba tersenyum memandang mereka. Otaknya ligat berputar mencari ilham untuk menarik perhatian mereka.

“Nampak lembik je, ok ke tidak? Dah sedia nak dengar cerita?” Asma’ cuba menghidupkan suasana yang hambar.

“Cerita apa, akak?” soal Maryam teruja. Dia suka mendengar cerita.

“Haa.. tapi sebelum itu kita main game dulu.”

“Akak, boleh tak saya nak ke tandas sekejap?” ujar salah seorang dari mereka. Asma’ memberi izin.

“Jangan lama-lama tau.Kita tak ada masa banyak ni.”

“Okay. Baik kak.”

*****

Asma’ merenung folio di atas meja belajarnya. Wajahnya kelihatan kelat. Suasana bilik belajar yang agak bising hanya kedengaran seperti lebah yang berterbangan. Dia merenung jendela yang terbuka. Pandangannya jatuh ke rimbunan pohon hijau.

“Asma’, kenapa duduk termenung macam ni? Cuba gerak sikit, baca bahan tu cepat.Nanti kena buat karangan bahasa Arab pula.”

Hasanah mencuit lengannya, kemudian kembali menanda isi penting buku folio.

Asma masih begitu.

“Asma’! Fikir apa ni Asma’? Ya Allah! Dah macam Menteri Besar awak ni!”

Asma senyum hambar.

*****

“Mana Salma ni akak? Lamanya pergi tandas.Nak dengar tazkirah ni..”rungut Maryam.

“Sabar ye. Akak pergi tengok sekejap.”

Asma’ melangkah laju ke tandas. Apabila terserempak dengan Fatihah, laju dia bertanya tentang Salma.

“Tadi nampak dia turun bawah.Tak tahulah ke mana.”

“Salma, pergi mana petang tadi? Lama kitorang tunggu dalam musolla. Sampai habis main game,”Asma’ sempat bertanya anak buah usrahnya selepas solat Isya’. Memang dia mahu tercari-cari budak itu.

“Maaf akak.Saya..saya lupa yang kita ada usrah.”

“Habis tu awak pergi mana?”

“Em…”

*****

“Asma’! Hey.Fikir apa ni?” Hasanah masih setia di sebelahnya. Sedari tadi dia menggoncang bahunya. Asma’ menoleh.

“Saya sedih lah Hasanah.Adik usrah saya..”

“Adik usrah lagi? Asma’, awak jangan buang masa. Kerja kursus ini lagi penting tahu. Ini masa depan awak. Nanti awak dah habis STAM kat sini, awak tak perlu jumpa budak-budak itu lagi.”

Asma’ memerhati temannya. Kata-kata tadi tak memujuk perasaannya. Betul boleh jadi nanti dia sudah tidak perlu bertemu mereka. Tapi, itu sahajakah yang dia mahu? Perasaannya memberontak! Da tidak mahu begitu! Namun tidak pasti apa yang dia mahu.

Asma’ bangun dari kerusi plastik, meninggalkan bilik belajar. Buku folio dibiarkan terbuka begitu sahaja.

*****

“Sebenarnya aku tak minat sangat pun benda-benda macam tu. Lagi-lagi kakak yang jadi naqibah aku. Bosan!”

Terngiang-ngiang ucapan Salma. Entah bagaimana ucapan itu boleh menusuk ke telinganya. Waktu itu dia sedang turun ke tingkat bawah mencari Salma. Mahu diajak kembali menyertainya dalam bulatan kecil mereka.

“Nanti dia marah kau macam mana?”

“Dia tu mana pandai marah orang. Kalau dia datang sini nanti aku naiklah balik.”

“Ya Allah, maafkan aku. Aku tak kuat…” Air matanya mula bertakung.

Di koridor belakang dorm yang kosong disinggahi. Memerhati keindahan malam sebagai hadiah dari Ilahi. Bintang bersinar dengan banyaknya. Hatinya terpujuk. Perasaan mazmumah dalam diri ditepis sejauh yang mungkin.

“Lagi-lagi kakak yang jadi naqibah aku.Bosan!”

Bergema lagi kata-kata itu di mindanya. Hatinya terluka. Pedih.

“Mungkin selama ini aku masih tidak bersungguh-sungguh mengajak mereka. Mungkin aku sendiri yang tiada usaha sehingga mereka tak nampak apa yang aku nak dari mereka sebenarnya..”

Air matanya mula menitis di pipi. Dibiarkan sahaja. Dia ingin meluahkan perasaan yang terbeban.

“Aku hanya nak bimbing mereka pada-Mu,Ya Allah. Bukan untuk aku. Jadi,kenapa aku mesti sedih?” Dia memujuk hatinya sendiri.

“Kalau dia datang sini nanti aku naiklah.”

“Asma’, sia-sia lah kebaikan yang awak buat selama ini kalau sekadar nak jaga hati orang.”

Bisik hati dia. Tidak mampu ditafsirkan perasaannya saat itu. Bagai  empangan pecah, matanya tak berhenti menyimbah hijabnya. Beginikah begitu lemah jiwanya? Bukankah daie itu mesti kuat,mesti berani menghadapi cabaran?

“Berhentilah,Asma’! Cukup,cukup!”jerit batinnya.

Dia menanam tekad, malam ini dia mahu mengadu semahu-mahunya pada Pemilik Jiwa.

“Esok,aku nak hubungi Zahra.”

*****

“Ya Allah, jahatnya aku ni,semalam tidur mati! Tak sedar langsung, sedihnya” Jiwanya meronta-ronta. Kakinya melangkah longlai menuju ke kelas. Asma’ berpaling ke arah kantin, berkira-kira mahu ke sana. Tiba-tiba kelibat seseorang melintasi ruang pandangannya. Dari jauh dia sedang enak menikmati sarapan pagi bersama kawan-kawannya.

Bibirnya mencebik, “Malaslah nak menghadap dia.”

Asma meneruskan langkah.

“Assalamualalaikum,ustazah.”

Asma’ memijak lantai karpet hijau ruang utama bilik warden. Kebetulan ustazah berada di situ pada ketika itu, dia mengambil peluang untuk meminta hajat. Kerusi yang berhampiran diduduki.

“Waalaikumussalam, Asma’. Ada apa?” ustazah Rasya menyambut mesra. Dia mengakhiri kalimat yang sedang ditulisnya dalam rekod pelajar. Beg dan buku-buku pelajar yang dibawa dari bilik guru berada di sebelahnya. Terbit rasa kagum dalam hati Asma’.

“Ustazah, saya nak hubungi Zahra, boleh tak?” dia meminta dengan penuh harap.

“Esok Asma’, hari ini hari Khamis. Penggunaan telefon terhad pada hari cuti je. Awak senior, nanti adik-adik tengok dia bagi alasan pula, senior boleh buat dia pun nak buat juga.”

“Hmm..adik-adik lagi..”rungut hati kecilnya. Namun tiada apa yang tuturkan.

“Asma’ ok tak ni? sedih ke tak boleh call?”

Ustazah Rasya mendekati Asma’. Asma’ cuba untuk senyum. Mesti beradab dengan Ustazah, lagi pun Ustazah Rasya banyak menolongnya selama ini.Tambahan pula, ustazah ini baru masuk tahun kedua bekerja. Dia sudah cukup pening dengan banyak karenah pelajar lain.

“Saja je saya tanya tadi, dah tahu kena call esok,” Asma’ tersengih.

“Asma’ nampak suram je ni. Mesti ada masalah ini, lagi-lagi bila minta nak hubungi Zahra.”

Anak matanya melirik ke kanan, melihat wajah guru terhormat di sebelahnya. Ustazah tampak menunggu jawapannya.

“Ustazah nasihatkan saya boleh? Saya memang ada masalah.” Senyumannya mati. Wajahnya kembali suram.

“Hari ini dah makan ke belum? Ustazah dah kenal enti ni”

“Tak ada mood nak makan, homework semalam pun tak terbuat. Asyik teringat je apa yang dia cakap. Susahlah macam ni Ustazah, macam tak ada kehidupan. Asyik fikir orang je.”

Asma’ bersandar mengambil kedudukan selesa.Rasa marah, geram, sedih bercampur-baur di dalam hati.

“Ya Allah, kenapa sampai macam tu? Tak macam Asma’ yang ustazah kenal. Apa yang orang buat pada Asma’ ni?” halus bicaranya. Asma’ terasa diraikan. Bersyukur kerana dipertemukan dengan ustazah hari ini. Semuanya telah disusun oleh Allah tanpa disedari.

“Saya rasa tak dihargai atas semua yang saya usahakan untuk adik-adik tu. Saya rasa sia-sia kepenatan saya untuk mereka selama ni. Malah sekarang,saya rasa perasaan negatif pada mereka lebih mengatasi. Saya tahu ini semua jarum syaitan,tapi saya tak tahu macam mana nak hilangkan perasaan ni.”

Asma’ menunduk. Entah kenapa hatinya lembut seperti tisu.Tak sepatutnya dia ada perasaan negatif sebegitu. Jiwanya sayu. Menunggu respon warden merangkap guru, meskipun tidak terzahir di mata Asma’, dia dapat merasai aura senyuman guru itu.

“Bagus enti ni Asma’. Masya Allah! Umur muda lagi enti dah fikirkan orang lain. Macam itu lah daie. Dia bukan hidup untuk diri dia sahaja.Tapi untuk orang lain,nak bawa orang lain kembali pada Allah.Cuma Asma’ kena tambah pada diri, yang Asma’ kena berjiwa besar.”

Asma’ masih tunduk.Tidak cukup baginya nasihat sebanyak itu. Dia mahu lagi.

“Perumpamaannya air di dalam cawan, air di dalam telaga dan segenggam garam. Satu genggam garam ini kalau Asma’ masukkan ke dalam cawan,secara logiknya bagaimana rasa air itu?”

Kalam Ustazah disusuli gaya tersendiri. Asma’ mula mengangkat kepala apabila disoal.

“ Masin yang amat.”

“Macam mana pula rasa segenggam garam yang Asma’ letak dalam telaga?”

“Kalau garam tu kuat masinnya boleh jadi rasa sikit,atau sedang-sedang.Boleh jadi juga tiada rasa apa-apa.Tiada kesan pun pada air tu.”

“Ya,macam itulah daie yang berjiwa besar.”

Asma’ berkerut inginkan jawapan yang lebih lanjut.Tidak cukup jelas.

“Air ibaratnya ujian dan cabaran dalam hidup kita. Cawan dan telaga tu umpama hati Asma’.Jika Asma’ kecilkan hati seperti cawan, Asma’ akan rasa sangat perit ujian dan rintangan yang menimpa.Walaupun ujian tu cuma sedikit bak satu setengah sudu garam.”

“Tapi,kalau Asma’ besarkan jiwa seperti telaga, boleh jadi ujian yang sedikit tu tidak memberi kesan pada hati Asma’. Malah, boleh mendorong Asma’ jadi lebih kuat. Contohnya garam  meneutralkan air telaga yang pahit.”

“Rasululllah adalah contoh terbaik. Apa yang Baginda lalui lagi berat dari apa yang kita hadapi. Ustazah yakin Asma’ tahu betapa banyaknya cabaran yang menimpa Rasulullah, dengan kematian ayah dan ibu sejak kecil, dituduh gila oleh keluarga sendiri, duduk sekitar orang-orang yang bencikan Baginda malah merancang membunuh Baginda.”

“Tapi Baginda berjiwa besar. Tidak pernah timbul rasa marah, apatah lagi berdendam. Padahal bukan kecil apa yang Quraisy buat. Letak najis di atas tengkuk Nabi, baling batu, orang ejek, orang gelak. Semua yang tak baiklah senang cakap. Bila Rasulullah menang,apa yang Nabi buat? Baginda maafkan semua. Kosong kosong.”

Mata dia tidak berkelip memerhati gaya yang dimain Ustazah dengan tangan. Akalnya ligat membayangkan situasi Rasulullah dahulu. Sedikit sebanyak dia cuba meletakkan dirinya di tempat baginda. “Tak nak! Tak sangguplah…”jerit hatinya.

“Rasulullah memang dah berjiwa besar.Tapi kita yang tak berjiwa besar ini,macam mana nak berjiwa besar?” soal Asma’.

“Apa yang Asma’ lalui sekarang ini. Ujian! Ujian yang akan ajar Asma’ menjadi orang yang berjiwa besar. Tapi,mesti dengan petunjuk al-quran. Rasulullah memang rasa berat dengan apa yang dibuat oleh musuh, tapi Allah teguhkan hati Baginda dengan kalam-Nya.”

Asma’ kembali menunduk ke lantai. Dia memuhasabah diri. Kepalanya diusap lembut.

“Asma’, kalau ada orang yang tak nak dengan apa yang Asma’ bawa, masih ramai orang yang nak. Cuma mungkin Allah belum pertemukan hari ini. Boleh jadi mungkin orang itu ada berdekatan kita, Cuma kita yang tak perasan. Jadi,jangan terlalu sedih.Betulkan niat semula.” Ustazah Rasya mengakhiri kalamnya dengan seulas senyuman.

 

bersambung….

Penulis: Nik Majidah al-Mustanirah binti Nik Abdul Rahim

Kuliah usuluddin tahun 2

Comments

comments

Leave a Comment