Tips Imtihan Mesir

15317995_1307350965973990_6806348811804783886_n

Pengalaman saya di kuliah Syariah sepanjang 4 tahun, masa imtihan merupakan fasa yang agak kritikal bagi mahasiswa di Mesir. Fasa tawaquf memerlukan masa dan otak yang lapang untuk menghabiskan muqarrar (silibus) setiap madah. Belum lagi ditambah dengan masalah dan hal yang mendatang ketika itu yang mana perlu diselesaikan juga.

Antara perkara yang selalu saya buat menjelang imtihan adalah persiapkan alat tulis (senjata) dan jadual belajar untuk habis setiap madah. Biasanya jadual belajar perlu perincikan dengan teliti. Contohnya subjek ini memerlukan berapa hari untuk habis dan berapa jam peruntukan untuk sehari. Penting juga untuk mencari waktu atau keadaan paling sesuai untuk study. Saya yakin setiap orang di Mesir masing-masing tahu masa atau waktu terbaik untuk dia study, jadi susun jadual pada waktu tersebut untuk memaksimumkan penggunaan masa. Ini penting supaya dia tahu bila boleh rehat atau tidur untuk dapat tenaga.

Gambaran awal setiap madah sangat perlu untuk motivasi belajar. Secara mudahnya apabila seseorang mendapat ‘tasawwur’ (gambaran) ringkas bagi sesuatu madah, jadi dia akan tahu apa perbincangan secara umum dalam buku ini dan untuk perincian maka dia perlu habiskan. Bagi saya, apabila mendapat gambaran secara umum maka secara automatik minat untuk menghabiskan buku itu akan menjadi penolak untuk membaca.

Apabila dorongan minat akan menghasilkan kefahaman dan tidak cepat bosan. Kefahaman satu kenikmatan yang Allah beri. Antara perkara yang boleh kita buat untuk mendapat gambaran awal madah ialah pergi ke kelas, baca buku sebelum kelas, perbincangan dengan rakan selepas kelas (study group), kelas-kelas tutorial dan lain-lain. Saya nak sentuh berkenaan perbincangan ilmu atau diskusi semasa fasa tawaquf (study group).

Secara asasnya, saya melihat paling kurang untuk pelajar pengajian Islam dia perlu melalui atau membaca muqarar setiap madah paling kurang 2-3 kali. Ini berdasarkan pengalaman yang saya lalui. Setiap orang pengalaman mungkin berbeza. Kali pertama bacaan biasanya gambaran secara umum. Selama 4 tahun saya ada study group dengan kawan-kawan yang sama dari tahun 1 hingga tahun 4. Jadi proses study group ini membantu dalam mendapat gambaran yg baik ditambah dengan kehadiran ke kuliah.

Jadi secara tidak langsung apabila saya melalui study group boleh dikatakan sudah habis sekali bacaan. Apabila dah habis perbincangan, maka untuk mengulang kali kedua dan ketiga menjadi lebih mudah dan cepat. Setiap kali baca seolah-olah bertambah kefahaman lagi. Maka ulangan pembacaan membawa kepada ingatan kepada perkara tersebut. Sama juga apabila ke kuliah dan kelas-kelas tutorial yang dianjurkan untuk mendapat gambaran awal. Ini seolah-olah satu motivasi untuk kita mendapat keputusan yang baik di samping meningkatkan kefahaman ilmu. Di sini satu prinsip من جد وجد perlu diterapkan dalam diri. Apabila sudah fahami sesuatu topik, saya cadangkan untuk membuat nota menyusun kembali kefahaman dan kongsikan pada rakan yang lain.

Harapan Ibu Bapa
Dalam kita belajar dan berusaha, penting juga untuk jadikan harapan ibu bapa sebagai satu motivasi. Pengorbanan yang dilakukan oleh semua ibu bapa yang menghantar anak ke Mesir adalah ingin melihat anak itu menjadi manusia berguna. Jadi kita anugerahkan kejayaan kita yang tidak seberapa ini sebagai semangat buat mereka. Ini salah satu cara kita membuat mereka redha dengan kita dan akhirnya apabila kita berusaha maka tawakal itu pada Allah. Segala apa yang ditentukan ada hikmah untuk setiap perkara. Maka yakinlah itu yang terbaik, insyaallah kita berdoa dan menjaga hubungan dengan Allah serta hubungan sesama manusia.

InsyaAllah setiap perkara bermula dengan niat, maka sentiasalah tajdid niat ke arah kebaikan. Sekadar perkongsian ringkas yang terlintas dari hati.

Oleh:
Mohd Zulfariq Bin Ridzuan
Graduan Syariah Islamiah
Universiti Al-Azhar Kaherah

Comments

comments

Leave a Comment