Hakikat hidup yang hakiki

Manusia secara khususnya yang bergelar seorang muslim seharusnya mengekalkan kehidupan yang berlandaskan kepada asas-asas Islam. Seperti yang kita tahu, manusia di zaman kini lebih suka untuk mengikuti trend jahiliah yang tiada padanya faedah malah lagi merosakkan.

Sebagai seorang Muslim yang berwibawa, menjadi kewajipan kepada kita untuk menitikberatkan fitrah lahiriah iaitu melawan, mencegah dan menghalang hawa nafsu daripada menguasai diri sehingga mengakibatkan diri terjebak ke dalam kancah jahiliah. Dengan hidupnya ruh Islam di dalam jiwa seorang Muslim, maka kebarangkalian besar untuk jatuh ke dalam lembah hawa nafsu adalah tidak mustahil.

Antara ciri ruh seorang muslim seharusnya meletakkan di dalam hatinya Al-Quran dan As-Sunnah. Seperti yang kita tahu di dalam Hadis dan Al-Quran ada menyebut;

 

“Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah; dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya.”

[Al-Hasyr : 7]

Dari Katsir bin Abdullah dari ayahnya dari pakciknya RA, berkata : Rasulullah SAW pernah bersabda : “Aku telah meninggalkan pada kamu sekalian dua perkara yang kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang teguh kepada keduanya, yaitu : Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya”.

[Hadis riwayat Ibnu Abdil Bar]

 

Berdasarkan kepada dalil ayat di atas, maka sebagai seorang Muslim kita perlu meletakkan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan yang utama dalam kehidupan seharian, tetapi adakah manusia hari ini meletakkan dua panduan utama ini sebagai rujukan?

Selain daripada itu, seorang Muslim yang mahu menjadikan kehidupan  dirinya berada di dalam kehidupan yang hakiki, tidak boleh tidak, perlu mengikuti jejak langkah para sahabat dan anbiya. Antara contoh yang ditunjukkan oleh para sahabat Nabi adalah, menjadikan amar makruf dan nahi mungkar sebagai langkah pertama kepada asas pembentukan amal dalam diri mereka. Mereka juga menjadikan wahyu sebagai asas akidah kepada Allah SWT.

Antara tokoh seorang sahabat yang terkenal ialah Mus’ab Bin Umair yang termasyhur sebagai seorang yang kaya raya, pemuda kacak dan seorang yang sangat gemar memakai wangi-wangian sehinggakan jika beliau melalui satu lorong, sudah tentu lorong itu akan dipenuhi dengan bau haruman wangian beliau. Namun, begitu keadaan sebegini adalah sebelum Islam membuak di dalam ruh rijalnya.

Selepas kedatangan Islam, neraca pandang beliau telah berubah. Kita boleh lihat hakikat ini ketika mana Rasulullah mengutuskan beliau ke Yathrib sebelum dibuka menjadi Kota Madinah untuk beliau menyampaikan Islam. Dikhabarkan bahawa tiada satu rumah pun yang tidak disinggah olehnya, malah ketika beliau mati syahid di medan Perang Uhud, diriwayatkan bahawa kain kafan tidak cukup untuk menutupi jasadnya yang mulia.

Dalam pada itu, contoh lain adalah seperti sahabat baginda Rasul, Sa’ad Bin Abi Waqas yang sanggup menolak ugutan ibunya semata-mata untuk mencari kehidupan yang hakiki. Suatu hari dalam hidupnya, beliau didatangi seorang sahabat yang unggul peribadinya, Abu Bakar As-Siddiq yang dikenali sebagai seorang yang peramah. Beliau mengajak Sa’ad Bin Abi Waqas menemui Nabi di sebuah bukit berdekatan Mekah. Pertemuan itu mengesani Sa’ad Bin Abi Waqas yang pada saat itu baru berusia 20 tahun. Beliau pun segera menerima undangan Nabi Muhammad SAW untuk memeluk Islam. Sa’ad Bin Abi Waqas menjadi salah seorang sahabat yang pertama memeluk Islam.

Keislaman Sa’ad Bin Abi Waqas mendapat tentangan keras terutama daripada ahli keluarga dan anggota sukunya. Ibunya bahkan mengancam akan bunuh diri. Selama beberapa hari, ibu Sa’ad Bin Abi Waqas tidak makan dan minum sehingga kurus dan lemah. Meski dipujuk dan dibawakan makanan, namun ibunya tetap menolak dan hanya bersedia makan jika Sa’ad Bin Abi Waqas kembali ke agama lamanya.

Namun Sa’ad Bin Abi Waqas berkata bahawa meski ia memiliki kecintaan luar biasa pada ibunya, namun kecintaannya pada Allah SWT dan Rasulullah SAW jauh lebih besar. Mendengar kekerasan hati Sa’ad Bin Abi Waqas, ibunya menyerah dan mahu makan kembali. Ini memberikan bukti kekuatan dan keteguhan iman Sa’ad Bin Abi Waqas.

Antara kisah para tabi’in yang perlu kita contohi adalah sebagaimana Khalifah Umar Abdul Aziz ketika beliau dilantik menjadi khalifah. Khalifah Umar terus tinggal di Madinah sepanjang pemerintahan Khalifah Al-Walid dan Khalifah Sulaiman, yang juga merupakan sepupu Khalifah Umar yang amat mengaguminya lalu melantik beliau sebagai penggantinya walaupun ditentang oleh saudara terdekatnya yang lain.

Khalifah Umar dengan berat hati menerima jawatan tersebut walaupun telah mencuba beberapa kali untuk mengubah keputusan Khalifah Sulaiman. Khalifah Umar tidak mementingkan kekayaan dan kemegahan dan memilih untuk hidup dalam kesederhanaan.

Walaupun mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada rakyat, Khalifah Umar tetap menggalakkan rakyat supaya memilih khalifah yang baru sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan pemerintahannya. Beliau membahagikan tanah jajahan Umaiyah kepada rakyat dan amat jarang menerima hadiah kerana takut dirasuah. Beliau juga mendesak kaum keluarganya supaya mendermakan barang kemas kepada perbendaharaan awam.

Walaupun beliau seorang pemimpin,beliau tidak pernah memandang dunia itu sebagai kehidupan yang hakiki,malah harta,kekayaan dan pangkat tidak pernah mengaburi mata kasar Khalifah Umar. Jadi, adakah kita sebagai rijal generasi kini mampu untuk menjadikan diri kita tetap teguh untuk berdiri di dalam kehidupan yang hakiki sama seperti yang ditonjolkan dalam kisah kisah para sahabat dan juga para tabi’in?

Akhir kalam, kita seharusnya menjadikan hal ukhrawi lebih utama berbanding hal duniawi. Andainya dosa itu diperlihatkan kepada kita nescaya kita tidak akan meninggalkan tikar sejadah walaupun sesaat. Maka, andai iman masih di dada bahkan masih mempercayai pintu syurga masih terbuka, lakukanlah seperti sunnah perjuangan Islam.

Justeru, amat dititik beratkan kehidupan yang hakiki terletak pada akhirat dan dunia sebagai jambatan menuju kepada kehidupan yang hakiki iaitu akhirat yang kekal abadi. Apa yang ingin ditekankan di sini ialah, perlu kita ketahui bahawa musuh yang sebenar dalam mencari kehidupan yang hakiki adalah syaitan dan hawa nafsu, seperti yang termaktub di dalam kitab Al-Quran dan juga Hadis Rasulullah.

 

Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahwa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan mushibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik.

[Surah Al-Maaidah : ayat 49]

Ahmad Abbad Bin Fadzlan Shahidi kini menuntut di Kuliah Syariah Islamiah di tahun pertama. Anak kelahiran negeri Perak ini sering bergiat aktif di Isma Mesir syukbah Hayyu Sabie dan amat komited dalam menceburi bidang dakwah dan penulisan

Ahmad Abbad Bin Fadzlan Shahidi kini menuntut di Kuliah Syariah Islamiah di tahun pertama. Anak kelahiran Negeri Perak ini sering bergiat aktif di Isma Mesir syukbah Hayyu Sabie dan amat komited dalam menceburi bidang dakwah dan penulisan.

Comments

comments

Leave a Comment