Kenapa masih Gerhana Khilafah?
Sepanjang bulan yang lalu, bumi telah disapa dengan dua peristawa besar. Yang pertama adalah fenomena gerhana matahari yang berlaku pada tarikh 9 Mac, dan yang kedua adalah ulang tahun ke-92 kejatuhan sistem pemerintahan teragung, di mana belum pernah disaksikan oleh sejarah peradaban manusia selainnya, sistem khilafah. Sekiranya kita melihat kedua-dua peristiwa ini secara penuh teliti dan prihatin. Kita akan dapat melihat kaitan antara keduanya dari satu sudut yang sama. Kedua-duanya menyebabkan bumi tenggalam dalam kegelapan. Namun tidak sama antara kegelapan yang dibawa oleh gerhana matahari dan kegelapan yang dibawa oleh kejatuhan khilafah Islamiah.
Apabila berlaku gerhana maka perjalanan kehidupan haiwan menjadi sedikit terganggu, serangga seperti pepatung akan bersembunyi di bawah daun, semut akan kembali ke koloni mereka manakala belalang pula akan berhenti berbunyi. Seakan-akan seluruh alam bingung dan keliru tentang kejadian yang berlaku. Mereka hairan terhadap apa yang berlaku seolah-olah kitaran alam terganggu di mana sepatutnya waktu itu cahaya matahari tersinar cerah namun ketika gerhana seolah-olah matahari telah hilang entah ke mana. Mereka merasa terganggu terhadap apa yang berlaku, rasa tidak tenang, resah gelisah menyelubungi mereka, wujud disebabkan oleh ketidakbiasaan yang mereka alami. Begitulah juga apa yang sepatutnya kita sebagai kaum muslimin merasa sewaktu bila sistem khilafah sudah tiada di alam ini.
Mereka hairan terhadap apa yang berlaku seolah-olah kitaran alam terganggu di mana sepatutnya waktu itu cahaya matahari tersinar cerah namun ketika gerhana seolah-olah matahari telah hilang entah ke mana
Pada tarikh 3 mac 1924 di mana termansuhnya pentadbiran Khilafah Uthmaniah maka bermulalah zaman kegelapan Islam yang sehingga kini masih berkekalan. Kehilangan ini bukan sahaja melibatkan kejatuhan empayar Uthmaniyah, bahkan ia meliputi kejatuhan empayar Islam secara keseluruhannya, empayar yang mana suatu ketika dahulu pernah menaungi dua per tiga dunia.
Peristiwa yang perit ini terjadi gara-gara angkara musuh Allah yang bertopengkan manusia iaitu Mustafa Kamal Atartuk laknatullah. Dia juga adalah orang yang bertanggungjawab dalam merancang kejatuhan khilafah melalui empat teknik rahsia iaitu kaedah hutang, melalui revolusi Arab 1911, Perjanjian Skyes-Picot dan juga melalui kekalahan Jerman dalam perang Dunia Pertama. Semua faktor ini amat berkait rapat dengan kejatuhan sistem khilafah. Sama ada kita sedar ataupun tidak, semua kejadian ini merupakan sebuah konspirasi yang dirancang rapi. Tidak perlu kita bincang lebih mendalam dari sudut sejarah bagaimana perkara ini berlaku, cukuplah kita mengambil pengajaran dan cari langkah seterusnya untuk kembalikan sinaran Islam.
مَا أَصَابَكَ مِنْ حَسَنَةٍ فَمِنَ اللَّهِ ۖ وَمَا أَصَابَكَ مِنْ سَيِّئَةٍ فَمِنْ نَفْسِكَ ۚ وَأَرْسَلْنَاكَ لِلنَّاسِ رَسُولًا ۚ وَكَفَىٰ بِاللَّهِ شَهِيدًا
Apa saja nikmat yang kamu peroleh adalah dari Allah, dan apa saja bencana yang menimpamu, maka dari (kesalahan) dirimu sendiri. Kami mengutusmu menjadi Rasul kepada segenap manusia. Dan cukuplah Allah menjadi saksi. (Surah An-Nisa : 79)
Pertama sekali kita harus sedar dan terima hakikat bahawa segala keburukkan dan malapetaka yang menimpa kita di bumi ni adalah hasil daripada perbuatan kita sendiri. Kecelakaan yang menimpa kaum muslimin pada hari ini bukanlah terhasil dari kemunduran umat Islam semata-mata atau disebabkan oleh kelemahan ekonomi sesebuah negara Islam ataupun disebabkan ketidakstabilan politik sahaja.
Punca utama jatuhnya umat Islam adalah tidak lain dan tidak bukan disebabkan oleh terpesong jauhnya umat Islam dari sumber Islam yang asli iaitu Al-Quran dan Sunnah. Maka, tidak sepatutnya kita berasa lemah atau inferior terhadap kehebatan yang ditonjolkan oleh musuh Islam kerana hakikatnya kehabatan yang mereka ada itu bukanlah bersifat hakiki. Sekiranya umat kembali kepada ajaran Islam yang sebenar sudah tentu Islam akan kembali menguasai dunia. Lihatlah bagaimana generasi awal Islam yang bermula di sebuah kawasan padang pasir yang kering kontang mampu mengalahkan dua kuasa besar dunia pada waktu itu iaitu Rom dan Parsi.
Sekiranya umat kembali kepada ajaran Islam yang sebenar sudah tentu Islam akan kembali menguasai dunia. Lihatlah bagaimana generasi awal Islam yang bermula di sebuah kawasan padang pasir yang kering kontang mampu mengalahkan dua kuasa besar dunia pada waktu itu iaitu Rom dan Parsi.
Maka tidak mustahil sekiranya kita mengatakan bahawa kita akan kembali menguasai dunia, namun satu-satunya cara untuk kembalikan kegemilangan kita adalah melalui kembalinya kita kepada ajaran Islam yang sebenar. Iaitu ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah. Inilah punca utama kenapa gagalnya umat Islam untuk kembalikan kehebatan Islam sedangkan telah berlalu 92 tahun sejak kejatuhan khilafah. Iaitu mereka merasakan bahawa untuk mengembalikan kegemilangan khilafah, cukuplah kita memajukan negara dari sudut ekonomi, politik dan sosial lalu mengabaikan Islam yang sebenar.
Jadi bagaimana?
Kita harus sedar bahawa untuk menyelamatkan umat ini, bukanlah dengan kita melihat kehebatan musuh Islam dan cuba untuk mengalahkan mereka dari sudut tertentu. Tetapi satu-satunya cara untuk kembali gemilang ialah dengan kita kembali kepada asas dalam perjuangan Islam itu sendiri iaitu amar ma’ruf dan nahi munkar (mangajak kepada kebaikan dan menghalang kemungkaran). Mungkin ada sesetengah yang merasakan bahawa ini adalah urusan yang kecil di mana sepatutnya kita melihat kepada isu yang lebih besar iaitu keadaan ekonomi, politik mahupun sosial umat, sedangkan hakikatnya adalah isu ketirisan dalam amar ma’ruf dan nahi munkar adalah pokok utama dalam permasalahan umat kini. Lupakah kita bahawa Allah pernah berfirman :
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ
Kita adalah umat terbaik yang telah Allah pilih khas untuk kaum manusia sekalian bukanlah kerana kemajuan teknologi kita, kehebatan kuasa politik kita atau kekayaan ekonomi kita. Tetapi kerana kita adalah umat yang menyeru kepada kebaikkan serta mencegah kepada kemungkaran dan yang paling penting sekali kita adalah umat yang beriman kepada Allah s.w.t. (Al Quran, Surah Ali-Imran : 110)
Menyeru kepada kebaikkan
Bila disebut ‘amar ma’ruf’ atau dalam bahasa Melayu-nya menyeru kepada kebaikkan, apa yang dimaksudkan di sini bukanlah sekadar kita mengajak rakan-rakan kita untuk solat dhuha, puasa hari Isnin dan Khamis atau bersedekah semata-mata. Tetapi juga diguna untuk perkara yang besar seperti mengajak untuk sama-sama berusaha mengembalikan Islam ke atas puncak pimpinan dunia melalui jalan-jalan yang telah ditetapkan oleh sesebuah harakah. Inilah yang menjadi permasalahan apabila terdapat sesetengah masyarakat lebih gemar sekadar mengajak manusia melakukan kebaikkan dari sudut amalan sunat ibadah yang zahir sedangkan amalan kebaikkan yang wajib pula mereka tinggalkan atas dasar sebab mereka merasakan bahawa itu adalah satu perkara yang berat untuk mereka sampaikan.
Berapa ramai dari kita yang merasa malu untuk mengajak rakan kita menyertai ISMA?, sedangkan dalam masa yang sama kita berasa selesa sekadar mengajak rakan kita melakukan amalan-amalan sunat sahaja. Sedangkan tiada beza dari segi tuntutan kedua-dua kebaikkan tersebut malah boleh jadi kebaikkan yang awal lebih utama dari kebaikkan yang kedua atas sebab-sebab tertentu. Namun tidak timbul masalah sekiranya kita mengajak kepada kedua-duanya dan itu adalah cara yang terbaik. Kenapa kita malu sedangkan kita yakin kita dalam kebaikkan?
Mencegah kepada kemungkaran
‘Nahi Munkar’ atau mencegah kepada kemungkaran pula adalah lebih berat bagi kaum muslimin jika dibandingkan antara amar ma’ruf dan nahi munkar. Inilah masalah besar umat Islam apabila wujud juga golongan awal yang hanya menyuruh kepada kebaikkan, tapi tinggalkan kemunkaran berleluasa di bumi. Mereka lebih gemar memilih kemudahan dari kesusahan. Kemunkaran yang dimaksudkan pula tidaklah sekadar terbatas dari sudut aspek dosa-dosa zahir yang dilakukan manusia sahaja seperti meninggalkan solat, mencuri dan membunuh. Malah kita sering menutup mata dalam kemunkaran yang terbesar pada waktu kini iaitu tersebarnya jahiliyyah di seluruh sudut dunia. Bagaimana jahiliyyah kita merosakkan kaum agama melalui agenda-agenda yang telah dirancang dan dilaksanakan oleh mereka. Kenapa kita hanya fokus kepada maksiat yang zahir sedangkan maksiat yang lebih mudarat dibiarkan bebas begitu sahaja? Wajib untuk kita turun ke medan amal dan mencegah kemunkaran yang dibawa oleh musuh dari semua sudut. Sama ada tuntutan COMANGO satu ketika dahulu, LGBT yang kian di hangat-hangatkan, mahupun ajaran yang dibawa oleh puak liberal yang kian menular.
Pengakhiran?
Namun di sini tidak dapat dinafikan juga bahawa pentingnya kita focus kepada kebaikkan seperti amalan sunat dan mencegah kemunkaran yang zahir, kita tidak nafikan walau sedikit kepentingan kedua-duanya. Cuma kita perlu jelas juga bahawa di situ terdapat juga perkara besar yang harus dititikberatkan. Dan kaedah ini boleh disimpulkan dengan bahasa mudah melalui satu formula yang pernah disebut oleh orang-orang terdahulu sebelum kita iaitu ; perbaiki diri dan mengajak orang lain. Inilah formula kebangkitan Islam yang kita perlukan untuk mendapat asbab kemenangan. Dan inilah caranya untuk kita kembalikan kegemilangan islam seperti dahulu kala. Satu formula yang ringkas, tetapi amat payah untuk direalisasikan.
Maka dengan ini janganlah kita berasa bahawa seolah-olah mustahil untuk Islam kembali menguasai dunia, kerana ini adalah suatu perkara yang telah dijanjikan oleh Allah. Kebangkitan Islam itu adalah pasti. Maka yakinlah dengan jalan ini, dan teruskan melangkah. Bukanlah urusan kita untuk menentukan bila Islam akan menang, tetapi kewajipan kita adalah untuk memastikan bahawa kita tergolong dari golongan yang memenangkan Islam. Cukuplah kita simpulkan dalam beberapat ayat Al-Quran, Hadith dan kata-kata orang terdahulu :
عَنْ حُذَيْقَةَ بْنِ اْليَمَانِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: وَالَّذِيْ نَفْسِيْ بِيَدِهِ لَتَأْمُرُنَّ بِاْلمَعْرُوْفِ وَلَتَنْهَوْنَ عَنِ اْلمُنْكَرِ اَوْ لَيُوْشِكَنَّ اللهُ اَنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عِقَابًا مِنْهُ ثُمَّ تَدْعُوْنَهُ فَلَا يُسْتَجَابُ لَكُمْ قَالَ اَبُوْ عِيْسَى هَذَا حَدِيْثٌ حَسَنٌ
Dari Huzaifah bin al-Yaman, dari Nabi SAW ia bersabda: “Demi Zat yang diriku ada dalam genggaman kekuasan-Nya, sungguh hendaklah kalian memerintahkan yang ma’ruf dan melarang kemungkaran atau sungguh Allah mempercepat kiriman seksaan terhadap kalian kemudian kalian memohon kepada-Nya, maka tidak diijabah bagi kalian”. Abu Isa berkata, hadis itu hasan. (HR At-Tirmidzi)
Dalam satu hadis yang lain,
“Sentiasa akan ada satu golongan dari umatku yang menegakkan kebenaran. Mereka tidak akan tergugat oleh sesiapa pun yang menentang mereka, sehingga datanglah hari Kiamat dan mereka tetap di dalam keadaan mereka” (Sahih Muslim).
Firmna Allah,
”Mereka berkehendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang yang kafir tidak menyukai. Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (dengan membawa) petunjuk (Al Qur’an) dan agama yang benar untuk dimenangkan-Nya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukai”.
(maksud kepada ayat ke-32 dan ke-33 daripada Surah At-Taubah )
Orang yang hidup bagi dirinya sendiri akan hidup sebagai orang kerdil dan mati sebagai orang kerdil. Akan tetapi, orang yang hidup bagi orang lain akan hidup sebagai orang besar dan mati sebagai orang besar

Hafizuddin Nordin merupakan aktivis Isma Mesir syukbah Hayyu Sabie. Beliau kini menuntut di Markaz Bahasa Al-Azhar, Kaherah.