Falsafah Bola

suqsayyarat
Kami ISMA Mesir, main bola setiap jumaat lepas subuh untuk ukhuwwah, sihat dan disiplin

Oleh: Ahmad Nawfal bin Mohamad Fathel, Tahun Tiga Kuliah Syariah, Universiti Al-Azhar Kaherah.

 

Mata masih berbinar daripada tadi. Dicubanya berkelip-kelip tapi masih tidak nampak apa-apa. Pandangan jadi samar dan berbinar. Sedang tangan memicit-micit kepala menahan sakit bingit dan bunyi nyaring yang berterusan. Telinga menangkap beberapa bunyi namun tidak dapat kesan kerana tidak jelas. Saya cuba bernafas, cuba lagi seperti biasa, namun apa sudah jadi?

 

Saya memilih untuk baring dan tidak menekan diri saya untuk membuat lebih. Harap ini dapat menstabilkan keadaan sebelum cuba lagi untuk bangun. Tapi masih tidak dapat punca apa yang terjadi.

 

Kepala yang sedang pusing, juga ligat berfikir apa yang berlaku.

 

“Sebab bola bukan sekadar bagi yang berminat. Ia adalah tanda disiplin seseorang. Ana bukan hebat sangat, tapi ana tahu ada maksud di sebalik datang awal setiap jumaat dan menyepak bola bersama ikhwah di sini..” kata Ustaz Halim dengan serak-serak basah mahal beliau.

 

“…antara yang diajar dalam permainan bola adalah ia membentuk seseorang menjadi seorang akh yang sempurna pada akh yang lain. Kalau dalam usrah, daurah ke mana boleh kita nak langgar seorang akh tu. Masa ini sahaja yang boleh kita langgar dia sebelum beri salam..”

 

Hadirin mengangkat gelak. Betul juga, pagi jumaat sahaja kita berhak untuk membantai kawan kita. Masa lain tidak begitu, masa lain haknya pada peluk dan belanja makan. Lagi, mungkin ada yang teringat ustaz Halim yang terjatuh  kerana dilanggar. Kiranya, dia cakap dan dia buat. Dia cakap dan dia dilanggar.

 

“…Selain dari membentuk disiplin dengan kehadiran awal dan tepat yang rasanya semua sudah maklum. Selain dari dua sebab, semua orang mesti turun setiap jumaat dan main bola. Suka atau tidak suka!”

 

Saya tidak tahu mana datangnya kenangan tazkirah mahal daripada ustaz Halim yang menjenguk mesir beberapa minggu lalu. Saya memaksa diri untuk tidak berfikir apa-apa pun pada waktu pening ini, tetapi automatiknya, akal berlari-berali mencari apakah dua itu

 

“musafir dan terbaring atas katil sampai tidak boleh bangun!” tegas ustaz Halim.

 

Hai, aku tengah terbaring ni. Ada siapa-siapa boleh tolong?

 

Kepalanya tidak terhenti di situ. Dia lekas merawang ke tempat lain.

 

“Kau nak main bola ke, kau nak sembang pasal bola? Apa tadi, falsafah bola?” tanya Amirul yang menahan mengah selepas mengejar bola.

 

“Main bola ni bukan sebab kena datang setiap jumaat sahaja. Disipilin datang awal satu hal. Pandai main satu hal lain. Datang awal, tapi kalau main macam tak nak main, nak jadi keeper sahaja, serupa sahaja dengan orang yang bawah selimut pagi jumaat”

“macam kau?”

 

“eh, baik sikit. Aku jadi keeper sebab orang suruh jadi keeper ya. Kalau tak aku di tengah padang tengah serabut tu..”

Bunyi sepakan bola menarik perbualan mereka. Pasukan mereka bermain baik namun masih tiada gol berjaya dijaringkan.

“jadi, falsafah apanya?” Amirul bertanya dalam mata melihat bola digelecek di kawasan pihak lawan. Kiranya bola masih di atas, tidak mengapa dia bersembang sedikit.

 

“mungkin kaitannya jauh, tetapi perkataan ‘main’ ada disebut di dalam al-Quran. Contohnya dalam surah Al-hadid;

 

“Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya”

 

“Dunia ini macam permainan, dan setiap permainan kena tahu cara mainnya. Kalau tak, kita tak dapat apa maksud sebenar permainan. Main bola kena tahu sepak, pass, tendang, serang, bertahan. Kena tahu juga bila perlu ‘hold’ serang dan bertahan. Tak semestinya setiap masa kena serang. Nah, kalau tak tahu main bagaimana nak main?”

 

Lelah dah hilang, dia mengangguk. Matanya masih di hadapan melihat bola dimainkan. Merentasi mereka, ada dua padang kecil lagi. Semua sedang rancak bermain, berpeluh, dan cuba sehabis boleh dengan kemampuan masing-masing.

 

“dunia ni macam padang bola. Tahu main, insyaAllah ke syurga. Tak tahu main, nauzubillah ke neraka lah ya” respon amirul bagi mengelakkan kekok membiarkan saya bercakap seorang.

 

“lebih kurang..”

 

Ringkas saya menjawab kerana satu counter attack laju sedang menghala ke arah kami. Kami berhenti bersembang Ada seorang di wing kiri kosong tidak dijaga sesiapa. Bahagian tengah sedang kelam kelibut dikucar-kacirkan pihak lawan.

Saya menjerit menyuruh yang pertahanan untuk turun. Yang main tengah juga saya panggil. Bahaya kalau begini, kami berdua berhadapan empat penyerang mereka. Saya jerit lagi dan kalini lebih kuat menyuruh mereka cepat.

Wing kiri mereka laju. Membawa bola melepas seorang defend kami yang baru turun. Amirul ke tengah sedikit tanpa disuruh menjaga dua orang daripada bola dapat kepada mereka. Saya setia di posisi keeper. Bagaimana jadi pun, mereka tidak boleh menjaringkan gol. Jika tidak, kami akan kalah kerana waktu sudah hampir tamat.

Bola dihantar ke tengah dengan laju. Amirul terlepas peluang menghalang dan tepat bola menghala ke seorang striker mereka. Cross yang cantik dari wing kiri mereka dan half-volley dilepaskan dekat dengan gol. Laju dan cantik permainan pasukan lawan dan..

 

BAAM!

 

Pagi sejuk di Suqsayarat dan kekecohan seperti hilang dalam sekelip mata. Deria badan saya di semua sudut seperti tidak berfungsi. Masa berlalu perlahan dan tiba-tiba kepala saya bertemu dengan batu tar. Tangan saya berpasir. Dalam kepala saya masih merisaukan adakah gol atau tak?

 

Sepakan deras dari jarak dekat menghala ke gol itu rupanya tepat lagi menghala ke muka saya. Mujur tidak pengsan, hanya beberapa minit atas tar menahan sakit. Saya dikerumuni ramai. Bising dengan beberapa orang yang cuba membangunkan saya. Terdengar juga bunyi orang meminta maaf, dan saya syak dari forward yang memang sepenuh tenaga melepaskan rembatan.

 

“terbaik pal, enta halang dengan muka enta daripada gol. Ana tabik!” jerit Amirul dalam keaadan saya masih tidak dapat membuka mata.

 

Sedikit lega mendengar pujian Amirul. Saya senyum di tengah-tengah kelam kelibut pengsan saya.

Tidak mengapalah jika hidung berdarah dan muka lebam. Janji, saya datang awal, cuba untuk bermain baik dan jadi hero pagi ini. Puas!

 

Aduh masih pening dan berbinar lah!

 

Comments

comments

Leave a Comment