Bangkitlah!
Oleh: Madeeha Syaheedah Hishamudin, Tahun 4 Fakulti Perubatan, Universiti Al-Azhar Kaherah
Bukan mudah mengubat umat, sedang jiwa dambakan rehat.
Hati sakit melihat maksiat, tapi jasad takutkan penat.
Aku boleh melihat, kerana aku ada mata.
Aku mendengar, kerana telinga masih ada.
Aku tak bisu, mulut mampu berbicara.
Alhamdulillah, semua anggota masih berdaya.
Aku nampak kejahilan di mana-mana.
Manusia, tak lagi segan meminta-minta.
Mungkin kerana sukakan cabaran, maka fitrah mereka lawan,
Atau mungkin tiada iman, tidak lagi takutkan tuhan.
Aku luahkan kerana aku takut menjadi mangsa,
Mangsa tuduhan di hadapan tuhan,
Bila mereka didakwa kerana dosa,
Aku disabit kerana tak bersuara.
Aku lihat sekeliling,
Tak tahu bagaimana nak mula,
Bisikan hati mula berdetik,
Cukuplah diri sendiri jadi baik,
Buat apa nak bersakit bersusah,
Kalau usaha, tak siapa kisah.
Dalam diam tak ku nafikan,
Jiwa ini semakin tertekan.
Korupsi, jahiliah semakin membeban,
Kawan dan keluarga jadi sasaran,
Kucapai al-Quran memujuk diri,
Kalam tuhan menyentap hati.
“Tatkala mereka melupakan apa-apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang kejahatan dan Kami seksa orang-orang yang zalim dengan azab yang keras, disebabkan mereka fasik.” (Al-A’raf 7: 165)
“Maka sepatutnya ada di antara umat yang telah dibinasakan dahulu daripada kamu itu, orang-orang yang berkelebihan akal fikiran yang melarang kaumnya dari perbuatan-perbuatan jahat di muka bumi.” (Hud 11:116)
Bencana demi bencana,
Musibah demi musibah,
Tsunami, gempa bumi, ribut, taufan
Kerana bumi tua atau manusia semakin leka?
Akal sihat cuba muhasabah,
Masyarakat yang rosak hidup bersepah,
Arus kebatilan sudah melimpah,
Kedayusan ahli ibadah kian terserlah,
Tinggallah pemuda harapan ummah,
Menjadi harapan golongan lemah,
Kalau benar,engkau takkan mengalah,
Maka pilihlah, nak bangkit atau nak rebah?
“Pemuda ialah suatu tenaga yang digunakan oleh Islam untuk membangunkan dan memakmurkan alam tetapi orang lain mempergunakan mereka untuk meruntuhkan umat manusia” – Ustaz Fathi Yakan (Generasi Pemuda dan Perubahan)
Azam dihati, menginfaq diri
Jalan tarbiah, aku tempuhi
Kata ukhti,
gerabak dakwah tetap berjalan,
Kalau tercicir, pasti terkilan.
Kata murabbi,
Jalan ini memang payah,
Kalau engkau rasa semuanya mudah,
Bererti engkau bukan di atas jalan tarbiah yang sebenar.
Kata murabbi,
Jalan ni panjang,
Destinasinya syurga,
Durasinya entah berapa lama,
Sepotong kata mengubat gulana
“Mati syahid atau hidup mulia”
Saudara seakidah mati diserang,
Sudah lali dihentam bom dan peluru senapang,
Pemuda bangkit menyeru kebenaran,
Walau nyawa jadi gadaian.
Mata dunia nampak kesakitan
Mata akhirat hanya mahu melihat wajah tuhan.
Pandangan dunia hanya nampak penindasan dan penyeksaan,
Pandangan akhirat melihat, inilah kerehatan yang diharapkan.
Tanah air ku zahirnya aman,
Namun musuh, menyerang terus-terusan.
Sunnatullah pertembungan tak mampu dinafikan,
Prinsip demi prinsip mereka cairkan,
Sensitiviti pudar disebalik teori pemikiran,
Jati diri dan agama jadi permainan,
Bertopengkan ilmu menutup kebodohan,
Ahli akademik jadi boneka murahan,
Pangkat dan harta jadi umpanan,
Nasib umat jadi taruhan.
Hai manusia yang kononnya masih punya iman!
Engkau di mana tatkala musuh menggonggong berteriakan?
Hai kalian, ahli agama!
Engkau di mana tatkala maruah Islam diinjak serata benua?
Wahai sahabat seakidahku,
Kenapa kau keliru antara musuh dan mad’u?
Wahai sahabat seperjuanganku,
Tak penatkah menafikan sunnatullah yang pasti berlaku?
Engkau tak mengaku engkau singa yang dijinakkan,
Engkau anggap musuh akan menawarkan keamanan,
Engkau lupa, tatkala keamanan yang dijanjikan berlaku,
Engkau hanyalah hamba ditanah airmu!
Hei musuh yang nyata!
Untukmu tiada khabar gembira,
Kecuali jika kau kembali memohon taubatNya,
Tinggalkan semua kepentingan dunia.
Namun jika kebatilan menjadi pilihan,
Persiapkan dirimu menghadapi kekalahan,
Ciptalah alat secanggih boleh,
Untuk melindungimu dari neraka yang pedih,
Di hari pembalasan,
Saat tiada siapa dapat memyelamatkan.
Wahai pendokong teori humanisme !
Cukuplah memusuhi agama!
Dengarlah dan terimalah hakikat,
Kalian takkan mampu pergi jauh,
Kerana masih ada segolongan kecil,
yang tahu agenda pembodohan yang kalian ciptakan,
Kalian mempermainkan al-Quran untuk menyesatkan,
Tapi mereka jadikan al-Quran sebagai panduan,
Satu hakikat yang aku ingin kongsikan,
Kebenaran akan tetap tertegak,
Kebatilan akan merangkak,
Itu kepastian yang Allah janjikan,
Seperti kejadian malam dan siang yang tiada siapa dapat menahan.
“Dan persiapkanlah dengan segala kemampuan untuk menghadapi mereka dengan kekuatan yang kamu miliki dan dari pasukan berkuda yang dapat menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya, tetapi Allah mengetahuinya” (Al anfal : 60)
Cukuplah firman Allah menjadi taujihat,
Untuk menghadapi musuh yang sesat dan jahat.