Bernilainya Aidiladha

320867_10150536655847846_1189149737_n

Aidiladha datang lagi. Salah satu daripada dua hari perayaan yang telah disyariatkan oleh Allah kepada hambaNya. Begitulah saban tahun perayaan ini datang dan pergi dan berlalu dalam kitaran tahunan seseorang yang Muslim. Pernahkah kita terfikir, adakah perayaan yang disambut ini, terutamanya Aidiladha hanyalah sebagai acara tahunan semata-mata?


Sebagai seorang Muslim yang mengetahui dan menyedari aturan yang Allah tetapkan dalam kehidupannya mempunyai nilai yang berharga, maka sambutan Aidiladha sepatutnya lebih bermakna daripada hanya sekadar perayaan yang disambut setiap tahun. Sambutan itu sepatutnya lebih daripada sekadar menonton sembelihan binatang dan melahap sup tulang beramai-ramai.

Apakah nilai yang sepatutnya dihayati oleh ummat Islam?
1. Segala arahan supaya taat kepada perintah Allah, kebaikannya adalah berbalik kepada diri kita sendiri, bukan pada orang lain. Syeikh At-Tahir Ibnu Asyur menekankan perkara tersebut dalam tafsirnya ketika menghuraikan ayat ke 37 Surah Al-Haj.

وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُمْ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ كَذَلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Perkataan كَذَلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ menunjukkan bahawa Allah langsung tidak mengambil manfaat daripada ibadah yang dilakukan oleh hambaNya, malah manfaat dan ganjaran itu adalah pada diri manusia itu sendiri. Kemudian Allah menegaskan arahan agar kita semua bersyukur.

Syukur atas semua nikmat yang telah Allah kurniakan, termasuklah nikmat berada atas jalan agama Allah yang suci daripada segala kesyirikan yang tidak masuk akal.

2. Tujuan sembelihan korban hanyalah satu, iaitu untuk mendekatkan diri kepada Allah melalui jalan keampunannya dan keredhaannya. Dalam menghuraikan ayat berkaitan korban, Syeikh Ali As-Sobuni dalam kitabnya Rawa’iul Bayan menyatakan bahawa Allah telah mengikat hubungan antara ibadah korban dan ketaqwaan dalam hati seorang Muslim.

Maka bagi seorang Muslim pada hari Aidiladha, hendaklah dia menyembelih korban dengan nama Allah, dengan semata-mata hanya kerana suruhan Allah, dan tidak disertai dengan apa-apa niat dan nama lain selain Allah S.W.T.

3. Sepertimana dalam ibadah haji, terdapat nilai penyatuan dan persepaduan yang jelas diterapkan, maka begitu juga dalam ibadah korban. Pernyatuan sesama Muslim dalam ibadah korban bukan hanya terdapat dalam gotong-royong dan agihan daging korban sesama mereka, tetapi menjangkau lebih daripada itu.

Pengarang Tafsir Fi Zilal Al-Quran telah membuat satu kesimpulan yang cukup menarik mengenai ibadah korban dan haji dalam tafsirnya ketika menghuraikan maksud ayat

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنا مَنْسَكاً لِيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلى ما رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الْأَنْعامِ. فَإِلهُكُمْ إِلهٌ واحِدٌ

Beliau mengatakan bahawa ibadah haji dan korban yang telah ditetapkan oleh Allah merupakan satu bentuk arahan kepada sebuah penyatuan. Islam telah menyatukan arah dan tujuan dalam segenap aspek kehidupan seorang Muslim iaitu semuanya mestilah ditujukan kepada Allah. Itulah nilai kesatuan sekelompok orang yang dinamakan Muslim seperti yang telah Allah ungkapkan dalam kalimah فَإِلهُكُمْ إِلهٌ واحِدٌ. فَلَهُ أَسْلِمُوا وَبَشِّرِ الْمُخْبِتِينَ. Hal ini bermakna, seorang Muslim itu mesti menghalakan segala perasaan emosi dan perbuatan, aktiviti dan ibadah, pergerakan dan kebiasaan, semuanya menuju keredhaan Allah. Dengan itu, akan terciptalah satu kehidupan yang berlandaskan kepada acuan aqidah.

Akhir kalam, hayatilah sebenar-benarnya nilai ibadah yang telah Allah tetapkan kepada kita sebagai seorang Islam. Sesungguhnya, setiap ketaatan kita kepada Allah akan sia-sia sekiranya kita melakukannya hanya kerana telah menjadi satu kebiasaan, adat atau sekadar berseronok. Muslim yang luar biasa, akan melakukan ketaatan kepada Allah dengan cara yang luar biasa dan penghayatan yang luar biasa.

 

Oleh: Muhammad Bin Mohd Hasan, Tahun 2 Usuluddin, Universiti Al-Azhar Kaherah

Comments

comments

Leave a Comment