Syahadah Syawal

41

Oleh:Khairun Najwa Adnan, Graduan Fakulti Perubatan, Universiti Ain Shams, Kaherah

Hati-hati orang mukmin pasti merindui Ramadhan yang baru sahaja berlalu pergi. Rindu pada ibadah puasa yang menyubur sifat sabar dan melatih diri mendidik hawa nafsu. Rindu pada suasana malam yang hidup dengan solat-solat sunat, tilawah al-quran dan zikrullah. Rindu melihat suasana semua orang berlumba-lumba melakukan kebaikan, saling berpesan-pesan pada kebenaran dan kesabaran, saling tolong menolong, bersedeqah, dan menahan diri daripada kata-kata dan perbuatan yang sia-sia.

Satu nasihat Dr. Yusuf Qardawi yang cukup popular tentang Ramadhan ;

Barangsiapa yang beribadah kerana Ramadhan, maka Ramadhan telah pun berlalu, barangsiapa yang beribadah kerana ALLAH s.w.t maka Dia kekal ada mendengar doa-doa hambaNya.

Ya, kita mahu menjadi hamba Rabbani, yang ikhlas mengabdikan diri kepada ALLAH selagi nafas belum berhenti. Kita tidak mahu menjadi hamba Ramadhani, yang meninggalkan ALLAH sebaik sahaja Ramadhan pergi, lalu menjadi orang yang rugi. Bulan Syawal adalah bulan pertama selepas Ramadhan untuk menguji adakah kita hamba Rabbani, atau Ramadhani.

Menuai Hasil Taqwa

Menjadi hamba yang bertaqwa adalah matlamat puasa di bulan Ramadhan yang ALLAH sendiri nukilkan di dalam ayat 183 Surah Al-Baqarah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“ Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sepertimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu mudah-mudahan kamu bertaqwa “

Apakah taqwa? Apakah kayu ukur untuk kita menilai ketaqwaan diri sendiri? Rasulullah s.a.w. pernah menjelaskan hakikat taqwa dengan sabda baginda yang bermaksud :

“Mentaati Allah dan tidak mengingkari perintah-Nya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupainya, bersyukur kepada-Nya dan tidak mengkufuri nikmat-Nya”. ( Riwayat Imam Bukhari dari Abdullah bin Abbas rha. )

Saidina Umar r.a. pernah bertanya kepada seorang sahabat yang lain bernama Ubai bin Ka’ab r.a. makna taqwa. Lalu Ubai bertanya kepada Umar : “Adakah engkau pernah melalui satu jalan yang berduri? Jawab Umar: “Ya”. Tanya Ubai lagi: “Apakah yang kamu lakukan untuk melalui jalan tersebut?”.
Jawab Umar : “Aku melangkah dengan waspada dan berhati-hati”. Balas Ubai : “Itulah yang dikatakan taqwa”

Taqwa menjadikan kita sentiasa berhati-hati di hadapan ALLAH s.w.t. Kita sentiasa mengharapkan rahmat ALLAH. Sentiasa mengharapkan ALLAH menerima segala amal kebaikan yang kita lakukan.Dalam masa yang sama kita tetap merasa takut kalau ALLAH tidak menerimanya lalu menjadikan kita tidak putus-putus berdoa dan mengharap dariNya.

Alangkah beruntungnya bagi sesiapa yang keluar dari madrasah Ramadhan dan menemui bulan Syawal dengan taqwa. Taqwa yang merupakan fitrah sekeping hati. Taqwa yang menjadi bekal sehingga menemui Ramadhan yang akan datang. Pasti Hari Raya Aidilfitri pada 1 Syawal jadi sangat beerti. Meraikan kemenangan dan kegembiraan yang hakiki ketika mana ramai manusia lain masih keliru dan mencari-cari erti sebenar kegembiraan di Aidilfitri.

Betapa banyak dalam al-Quran ALLAH menyebut-nyebut ganjaran bagi hambaNya yang bertaqwa, bukan sahaja di dunia malah ganjaran yang sangat hebat di akhirat.

1) Allah menjadikan bagi hambaNYA jalan keluar dan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ
“ Barangsiapa yang bertaqwa kepada ALLAH nescaya Dia membukakan jalan keluar baginya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. ” (Surah At-Talaq : 2-3)

Dalam menempuh perjalanan hidup seharian pasti kita bertemu pelbagai bentuk ujian yang kadang-kadang menyesakkan dada dan mengalirkan air mata. Bagi orang-orang yang bertaqwa dia selalu meyakini bahawa pertolongan ALLAH sangat dekat lalu mengalirlah rasa ketenangan dalam hatinya. Ayat-ayat kasih sayang dari ALLAH di dalam al-quran memujuk hatinya. Hadis-hadis Rasulullah s.a.w menguatkan jiwanya.

2) Dihapuskan kesalahan-kesalahan dan dilipatgandakan pahala.

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يُكَفِّرْ عَنْهُ سَيِّئَاتِهِ وَيُعْظِمْ لَهُ أَجْرًا
“ Barangsiapa bertaqwa kepada ALLAH, nescaya Dia akan menghapuskan kesalahan-kesalahan
dan melipat gandakan pahala baginya.” ( Surah At-Talaq : 5) ”

Siapalah kita untuk tidak merasa perlu kepada pengampunan dari ALLAH s.w.t ? Rasulullah saw yang maksum dari dosa tetap menangis beristighfar kepada ALLAH swt. Apatah lagi kita yang setiap hari tidak lepas dari melakukan kesalahan.Selain daripada pengampunan ALLAH swt kt juga mengharapkan pahala daripadaNya sebagai bekal menuju negeri akhirat, alangkah beruntungnya orang bertaqwa kerana ALLAH melipatgandakan pahala baginya.

3) Mendapat kemenangan di akhirat

إِنَّ لِلْمُتَّقِينَ مَفَازًا حَدَائِقَ وَأَعْنَابًا وَكَوَاعِبَ أَتْرَابًا وَكَأْسًا دِهَاقًا لَا يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْوًا وَلَا كِذَّابًا
جَزَاءً مِنْ رَبِّكَ عَطَاءً حِسَابًا
“ Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, disediakan syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini. (Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan, terutama anggur. Dan perawan-perawan yang sebaya umurnya. Serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman. Mereka tidak mendengar di dalam syurga itu perkataan yang sia-sia, dan tiada pula perkataan yang dusta. Sebagai balasan dari Tuhanmu, iaitu satu limpah kurnia yang dikira cukup (menurut yang dijanjikanNya)”

Begitulah istimewanya ganjaran bagi orang-orang bertaqwa di negeri akhirat nanti. Banyak lagi kelebihan-kelebihan orang-orang bertaqwa dinyatakan dalam al-quran yang tidak dapat disenaraikan semuanya di sini.. Rugilah jika kita keluar dari bulan Ramadhan tanpa taqwa.Tanpa sebarang perubahan diri yang lebih positif.

Jasad yang Satu

Kegembiraan Hari Raya Aidilfitri umat Islam pada tahun 1435 Hijriah ini sangat tercalar dengan tragedi serangan tentera Zionis Israel terhadap saudara seislam kita di Gaza, Palestin yang bermula sejak 10 Ramadhan lagi. Ketika kita sedang gembira dengan pakaian baru, berwangi-wangian menuju ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri, mereka di sana ramai yang menjadi syahid kerana bedilan roket-roket dan tembakan penjajah Israel. Ketika kita sedang enak menjamah juadah hari raya, mereka menangisi runtuhan kediaman-kediaman mereka. Kanak-kanak, wanita dan orang tua tiada yang terkecuali menjadi mangsa

Ramai di antara kita yang merasa sangat marah dan kecewa. Selalu terfikir apalah kudrat kita sebagai rakyat biasa untuk membantu mereka di sana. Perumpamaan orang mukmin itu bagaikan satu jasad seperti dalam satu hadith Rasulullah saw :

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِى تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى
“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal kasih sayang bagaikan satu jasad, apabila satu anggota badan merintih kesakitan maka sekujur badan akan merasakan panas dan demam”
(HR. Muslim).

Melalui pembacaan tentang saudara-saudara Islam di Gaza, pada hari pertama mereka tetap berusaha meraikan Aidilfitri, mereka saling mengedarkan manisan walaupun bagi mereka hari tersebut lebih sesuai disebut ‘Eid Syahid’ atau hari raya orang-orang syahid. Menakjubkan urusan orang-orang beriman, apabila mereka diuji mereka bersabar, apabila mereka mendapat nikmat mereka bersyukur.

Umat Islam di seluruh dunia diseru membantu saudara-saudara Islam di Gaza mengikut kemampuan masing-masing. Berdoa, menderma dan memboikot produk-produk yang memberi sumbangan kepada Zionis. Paling penting umat Islam mestilah kembali kepada Islam. Kembali kepada ALLAH swt dan bertaubat kerana kita takut dosa-dosa kita yang menyebabkan kemenangan ditangguhkan. Marilah kita menjadi umat yang layak menerima kemenangan.

Penutup

Istiqamah. Tanpa mujahadah yang kuat sukar untuk seorang muslim mendapatkan istiqamah. Berapa ramai yang keluar dari bulan Ramadhan kembali semula mengabaikan ibadah kepada ALLAH swt, melakukan pembaziran, berhibur di luar batasan syarak, tabarruj, tidak menjaga kata-kata, memfitnah dan pelbagai lagi sifat mazmumah yang sepatutnya sudah disingkir jauh-jauh semasa bulan Ramadhan.

Kadang-kadang terfikir mana satukah keadaan yang lebih patut kita kasihankan, saudara-saudara kita yang sedang berjuang di tanah Gaza atau masyarakat kita di Malaysia yang hanyut dalam kealpaan dunia. Mereka di sana pasti mendapat rahmat dan kedudukan yang tinggi disi-sisi ALLAH swt. Apa pula nasib kita di sini?Apakah nilai kita di sisi ALLAH s.w.t? Kita mengharapkan Ramadhan yang lalu dapat mendidik kita, lalu istiqamah dalam ketaatan, sampai datang lagi lagi Ramadhan tahun hadapan insyaALLAH kalau umur berpanjangan.Carilah segala sebab yang mampu menjaga istiqamah seperti bergaul dengan orang-orang yang soleh,menuntut ilmu dan mujahadah diri. Andai kita tidak sempat bertemu Ramadhan pada tahun hadapan, kita dapat bertemu ALLAH dengan hati yang sejahtera insya Allah.

Comments

comments

Leave a Comment