Pasca Ramadhan

4 (1)

Oleh:Lubabah binti Muhsin, Tahun 2, Kuliah Syariah Islamiyah, Universiti Al-Azhar, Kaherah

NAGOYA COLLECTION

“ Tauke, saya mahu kain ini 4 meter. Embroidery pattern untuk buat baju kurung. Satu lagi, kain siffon, full lining. ” Seorang lelaki berkemeja biru segera mencapai pembaris panjang dan mengukur kain.

“ Angah, sini. Pilih hendak kain warna apa. Corak Paisley ok?”Tanya Mama. Pandangan Mama berkalih ke arah Angah yang sibuk menjawab Sodoku.

Angah mengangkat kepala. Pandangannya jatuh pada gulungan kain di Nagoya. Tangannya meraba-raba jenis kain untuk dipilih. Lalu kain lembut corak bunga bertanahkan warna putih menjadi pilihan.

“ Satu sahaja? ”

“ Ini satu. Satu lagi, corak Paisley warna peach. Dua-dua buat baju kurung moden. Ok tidak Mama? ”

Mama menganggukkan kepala tanda setuju. Pandangannya dialih kepada anak bujangnya yang sibuk bermain gadget.

“ Along? Nak pilih kain untuk buat baju Melayu? ”

No, thanks Mama. Nanti Along beli baju Melayu siap, ” balas Along tersenyum. Mama cuma menjungkitkan bahu lalu terus menuju ke kaunter untuk membuat bayaran.

“ Huish. Raya ini baju baru lagi, ” usik Along. Angah cuma mengangkat tangan di paras bahu.

“Along kenal Mama, bukan? ” Angah membetulkan kacamata jenama Arkansas. Along cuma mengiyakan. Bungkusan baju segera bertukar tangan sebaik sahaja Mama tiba di tempat mereka.

“ Jom balik. ”

Along dan Angah terpaksa melajukan langkah mengejar Mama yang sudah ke depan.

*****

VILLA BOUGAINVILLEA

“ Mama, Angah hendak tanya sesuatu boleh? ” Angah membetulkan duduk menghadap Mama yang sedang membelek Majalah Solusi.

“ Tanyalah. Apa dia?”

“ Kenapa kita buat persediaan untuk Raya awal sangat? Ramadhan belum tiba lagi bukan? ” Angah menggaru kepala yang tidak gatal. Mama mengangkat kepala.

“Bukan untuk persediaan Raya, Angah. Untuk persediaan Ramadhan, ” balas Mama bersahaja. Angah cuma terkebil-kebil mendengar jawapan Mama.

“ Ok. I need an explanation, ” ujar Angah tidak puas hati. Bantal kecil di sisinya dipeluk erat. Badannya ditegakkan menghadap Mama. Bibir Mama terlukis senyuman.

“ Mama ada dengar talk pasal persediaan menyambut Ramadhan. Ustaz ada beritahu, sebenarnya persediaan untuk sambut Ramadhan harus lebih hebat berbanding sambutan Raya. Macam mana kita beriya-iya, bersemangat untuk sambut Raya sepatutnya kita lebih beriya-iya sambut Ramadhan. ”

Such as? ” Tanya Angah tidak sabar.

Helaian Majalah Solusi dibelek lalu Mama menyambung lagi, “ Kemas dan hias rumah, beli baju baru untuk solat terawih, beli baju siap-siap untuk Raya juga supaya waktu Ramadhan tidak sibuk dengan shopping, senaraikan hendak buat apa di rumah untuk meriahkan suasana Ramadhan. Misalnya nanti Mama hendak jemput kawan-kawan Mama berbuka puasa dan solat terawih di rumah. Along jadi Imam, Angah tolong Mama masak untuk makanan berbuka.”

Angah menutup mulutnya yang ternganga mendengar penjelasan Mama.

“ Terbaik Mama! Angah dan Along 100 peratus sokong dari belakang. Nanti kita senaraikan sama-sama hendak buat apa Ramadhan ni. Erm, Papa buat apa? ” Angah mengerutkan dahinya.

“ Papa beri tazkirah. Nanti kita buat mesyuarat keluarga, untuk isi planner Ramadhan sama-sama, ” balas Mama sambil tersenyum.

“ Wow! Ada planner Ramadhan? Mama terbaiklah! Sayang Mama lebih kali ini. Terima kasih sebab jadi Mama yang terbaik buat kami, ” ucap Angah semangat seraya menghadiahkan sebuah ciuman di pipi Mama. Mama tersenyum hingga menampakkan giginya yang putih.

*****

MASJID AS-SOFA

” Ya Allah, sesungguhnya kami letakkan Engkau di batang leher musuh-musuh kami, dan kami berlindung denganMU dari kejahatan mereka. Ya Allah, hancur leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka! Kacau-bilaukan persatuan mereka! Cerai-beraikan pakatan mereka! Goncangkan pendirian mereka! Hantarkan ke atas mereka anjing-anjing Kamu! ”

“ Wahai Tuhan Yang Gagah Perkasa, Wahai Tuhan Yang Bersifat Murka, Wahai Tuhan Yang Maha Menyiksa, Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah. Wahai Tuhan yang menurunkan Al-Quran, wahai Tuhan yang menggerakkan awanan, wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera Ahzab, kalahkanlah mereka, menangkanlah kami ke atas mereka… “

Para makmum mengaminkan doa qunut nazilah yang dibacakan oleh Syeikh Ismail. Pengharapan terhadap Rabb Yang Maha Berkuasa terlalu melangit tinggi. Moga kemenangan milik Islam semakin hampir!

Seusai solat terawih, Angah mengambil tempat di sudut masjid. Mushaf Al-Quran dibuka. Surah al-Baqarah, ayat 153 hingga 157 dihayati sungguh-sungguh.

‘ Wahai orang-orang yang beriman. Mintalah pertolongan dengan sabar dan solat, kerana Allah beserta orang-orang yang sabar. Dan janganlah kalian katakan terhadap orang yang terbunuh di jalan Allah bahwa mereka mati. Bahkan mereka hidup, tetapi kalian tidak merasa.Dan sesungguhnya Allah akan memberi hambaNya ujian dari sudut ketakutan, kelaparan dan kekurangan harta benda, jiwa dan buah-buahan. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar iaitu orang-orang yang apabila menimpa kepada mereka suatu musibah, mereka berkata: Sesungguhnya kita ini dari Allah, dan sesungguhnya kepadaNya­lah kita semua akan kembali. Mereka itu, akan dikurniakan anugerah-anugerah, rahmat dan petunjuk dari Tuhan.’

Mulut Angah mengomel membaca tafsiran surah Al-Baqarah. Dia termenung sejenak.

‘ Adakah aku tergolong dalam kalangan orang yang sabar? ’. Hatinya pilu mengenangkan saudara Islam di bumi perjuangan Bumi Terjajah, Syria, Iran, Iraq, Singapura dan seluruh Negara. Betapa mereka berusaha menjadi hamba yang sabar menerima ujian.

Matanya terpaku melihat seorang anak kecil memasukkan sejumlah duit ke dalam tabung masjid. Keluhan kasar dilepaskan.

Dari jauh kelihatan kelibat Along, melambaikan tangan memanggil pulang ke rumah. Mushaf al-Quran dikucup lalu dipegang erat. Tidak lupa duit not merah dimasukkan ke dalam tabung masjid. Langkah diatur menuju ke kereta.

*****

MADRASAH IMANIYAH

Angah memanjangkan leher menjenguk kawasan sekitar sekolah lamanya. Hampir 6 tahun dia meninggalkan tapak pembinaan jiwa ini. Setahun lagi dia bakal menamatkan pengajian jurusan perubatan di universiti tempatan.

IMBAS KEMBALI

“ Awak tipu saya! Mana janji awak hendak ke menara gading bersama-sama saya? ”. Bahu Aqilah ditolak kasar. Gadis berjubah hitam bertudung litup di hadapannya menutup muka. Esak tangis kedengaran.

“ Aminah, saya minta maaf. ” Aqilah hanya tunduk memandang lantai.

“ Maaf? Awak akan tinggalkan saya! ” Bentak Aminah.

“ Tidak! Saya bukan tinggalkan awak. Kita sama-sama sedang berjuang. Cuma sekarang kita akan berbeza jalan. Saya perlukan sokongan awak. Tolong jangan begini… ” Aqilah memandang sayu teman baiknya itu. Aminah membalas pandangannya. Matanya merah. Dia mengetap bibir.

“ Saya akan ambil jurusan perubatan. Saya minta maaf sebab tidak dapat bersama-sama awak dalam jurusan agama. Kita tetap akan jadi seorang doktor. Saya merawat pesakit, awak merawat jiwa umat. Perjuangan kita masih sama, bukan?  Aqilah masih memujuk. Janji mereka untuk sama-sama merawat jiwa manusia akan diteruskan walaupun berbeza cara.

Aminah mengesat air matanya. Dia sangat terkejut mendengar keputusan teman baiknya yang ingin berpindah tempat pengajian. Daerah yang berbeza. Antara utara dan selatan semenanjung. Ramadhan ini adalah Ramadhan yang terakhir mereka bersama. Baginya, temannya yang seorang itu adalah kekuatan untuk meneruskan langkah perjuangan. Istighfar diucap berulang kali memujuk hati.

“ Kita masih seperti Nabi Musa dan Nabi Harun, bukan? Kita akan tetap akrab seperti Nabi Muhammad dan Abu Bakar, bukan? Kita akan saling menguatkan untuk tetap di jalan dakwah ini, bukan? ” Mata mereka saling berpandangan. Aminah menganggukkan kepalanya berkali-kali. Lalu temannya ditarik ke dalam pelukannya.

“ Macam inilah, kawan. Raya nanti jemput ke rumah, ” ujar Aqilah sempat berseloroh. Belakangnya ditepuk kuat. Tawa Aqilah meletus.

*****

DI RUANG TAMU

Doctor Aqilah, any suggestion medicine for courageous patient? ” Aqilah mengangkat muka. Keningnya berkerut mendengar soalan abang tunggalnya.

“ Along buat apa pula kali ini? ” Tanya Aqilah malas. Dia ingin menyambung bacaannya. Forensic case perlu dihadam cepat. Selepas Raya Eidul fitri, ada final exam menanti.

“ Along tidak buat apa-apa. Cuma Along teringatkan anak-anak jiran kita yang berani sangat main mercun tidak sayang diri. Kalau ada ubat untuk mereka bagus juga. ” Along merapikan rambutnya yang lurus. Kopiah dicapai. Azan Zohor akan berkumandang beberapa minit sahaja lagi.

“ Apa kata Along ajak mereka ke masjid? Dapat pahala solat berjemaah, bukan main berjemaah. Along jadi seperti Muhannad At-Thohir. Sepanjang jalan dia ke masjid, dia akan ajak orang-orang yang dia jumpa di jalanan termasuklah kanak-kanak. Dan dia sendiri yang mengajar kanak-kanak itu mengaji. Along kan Ustaz? ” Aqilah mengangkat kening memandang Along.

“ Cabar Along ke? Along sahut cabaran Angah. Nanti Along cerita kejayaan Along, ” ucap Along mendabik dada.

“ Perbetulkan niat, Along. ” Angah menunjukkan jari telunjuknya ke arah Along.

“ Terima kasih atas ingatan, Doktor. Along gerak dulu. ” Sepatu disarung. Along berjalan kaki ke Masjid Umar al-Khattab di taman perumahan mereka. Dari dalam rumah, kedengaran suara Along memanggil anak-anak jiran mereka ke masjid. Senyuman terukir di bibir Angah.

*****

DI RUANG SOLAT

“ Ramadhan bakal melabuhkan tirai. Aidilfitri bakal menjelma tiba. Syukur Alhamdulillah, Allah sampaikan kita kepada bulan Ramadhan hingga akhirnya. Mudah-mudahan kita berjaya mencalonkan diri di garisan pertama bertemu Rabb pada Hari Perhitungan kelak disebabkan amalan yang terbaik yang kita lakukan sebelum, semasa dan selepas Ramadhan, ” Papa membetulkan kopiah.

Pandangannya jatuh pada wajah keluarga tercinta di hadapannya. Mama, Angah, Along khusyuk memandang Papa yang segak berbaju Melayu hijau tua.

Papa menyambung, “ Esok kita akan mula takbir Raya, meraikan kemenangan umat Islam mujahadah melawan nafsu. Eidul fitri sebagai tanda meraikan fitrah, tanda persaudaraan sesama Islam, bayaran zakat fitrah dibuat sebagai tanda ingatan kepada golongan yang memerlukan.”

“ Tidak dilupakan saudara Islam di bumi perjuangan Gaza, Syria, Iraq, Iran, Myanmar, Singapura dan seluruh tempat. Sama-sama kita panjatkan doa, memanjangkan sujud terakhir solat tahajud, terus berusaha menjadi yang terbaik untuk melayakkan diri bergelar seorang Khalifah di muka bumi. Kita terus bina biah imaniyah di istana kita ini, ” ucap Papa penuh harap. Masing-masing berbalas senyuman.

Angah mengenggam jemarinya. Secarik kertas ditangannya digumpal. Perlahan-lahan kertas itu dibuka. Sepotong kalimah direnung lama;

‘ Jadilah kalian hamba Allah, bukan hamba Ramadhan. ’

Comments

comments

Leave a Comment