Apa Makna Ramadhan Kita?

sekadartahanlapar_tablet

 

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ : عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ
Daripada Abi Hurairah r.a daripada Nabi s.a.w bersabda :“ Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu ”
[Hadith riwayat Bukhari dan Muslim]
Ramadhan 1435 hijri. Ya, tergambar didalam fikiran kita sekarang kemeriahan bulan ramadhan.

Bagi sesetengah orang :
Terawih 20 atau 8 rakaat..? Lailatul qadr tahun ini agak-agaknya malam keberapa..? berapa pula juzuk Al-Quran yang akan dihabiskan sehari semalam..? bulan yang memliki 1001 kebaikan.

Ada pula yang berfikir :
Bazar ramadhan mana yang paling best..? Nak berbuka apa hari pertama puasa nanti..? “list” lauk berbuka 30 hari telah disediakan.

Sebahagian yang lain pula berfikir “jauh” kehadapan :
Tema baju raya tahun ini warna apa ya..? “open house” kali ini nak buat raya ke berapa..? berapa jenis kuih raya..?

Begitulah Ramadhan, ada golongan yang menerima tetamu yang mulia ini dengan penuh keimanan dan ada yang biasa-biasa sahaja.

Secebis nasihat dari hati ke hati

Peringatan untuk golongan yang masih alpa dengan ketibaan ramadhan, sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ka’ab bin ‘Ujrah r.a katanya:
Rasulullah S.A.W bersabda: “Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar”. Maka kami pun berhimpun.

Lalu baginda menaiki anak tangga mimbar yang pertama, kemudian berkata: “Amin”.
Ketika naik ke anak tangga kedua, baginda berkata lagi: “Amin”.
Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, beliau berkata lagi: “Amin”.

Maka apabila beliau turun (dari mimbar) kami pun bertanya: Ya Rasulullah, kami telah mendengar dari-mu pada hari ini sesuatu yang belum pernah kami dengarinya sebelum ini.

Baginda menjawab:

“Sesungguhnya Jibril a.s telah membisikkan kepadaku, katanya: Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut. Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi: Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan salawat ke atasmu. Lalu aku pun mengaminkannya. Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi: Celakalah orang yang mendapati ibubapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam syurga. Lalu aku pun mengaminkannya.

[Diriwayatkan oleh Al-Hakim, beliau berkata: Isnadnya sahih]

Itu bagi golongan yang alpa. Namun ada yang lebih malang daripada golongan tersebut iaitu mereka yang mengetahui segala macam kebaikan bulan ramadhan namun tidak berusaha memperolehi kebaikan-kebaikan tersebut.

Perhatikanlah kata-kata Imam As-Sufyan bin ‘Uyainah terhadap golongan yang tidak mengikuti kebaikan yang diketahuinya :

“ Bukanlah orang yang berakal itu seorang yang mengetahui yang baik dan yang buruk, sesungguhnya orang yang berakal itu ialah seorang yang apabila melihat suatu yang baik,dia mengikutinya. Dan apabila dia melihat suatu yang buruk, dia menjauhinya.”

[Hilyatul Auliya’ wa Thobaqat Al-Asfiya’]

Mengetahui 1001 kebaikan bulan ramadhan sahaja tidak menjadikan kita golongan yang berakal, kecuali apabila berusaha mencapai dan mengikuti segala kebaikan tersebut.Maka berusahalah dengan penuh keimanan dan pengharapan, paling kurang memperolehi keampunan daripada dosa-dosa yang lalu.

Ramadhan bulan Al-Quran Dan Qiamullail

Firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Baqarah ayat 185 :

“Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.”

Tadabbur dengan baik ayat tersebut. Diperkenalkan bulan Ramadhan kepada kita dengan menceritakan perihal Al-Quran yang diturunkan didalamnya. Seolah-olah Allah ingin mengetuk minda dan merubah persepsi kita bahawa Ramadhan bukan semata-mata berpuasa.Ia adalah bulan yang penuh dengan hidayah daripada Al-Quran.

Frasa kedua ayat ini juga memberi maksud tersirat bahawa, orang yang menjadikan Al-Quran sebagai pasaknya di dalam Ramadhan akan keluar sebagai pembawa panji hidayah bagi sekalian manusia.

Perhatikan frasa ini :“Petunjuk bagi sekalian manusia”, bagaimana ia mampu menimbulkan persoalan di dalam benak seorang muslim; siapa yang akan membawa dan berkongsi pentunjuk ini bagi mereka yang tidak merasainya di luar sana..? sudah pastilah kita.Kita yang akan membawanya hasil dari madrasah Ramadhan ini.

Hakikat inilah yang difahami para salafussoleh.Diriwayatkan bahawa Imam As-Syafi’e rahimahullah telah mengkhatamkan Al-Quran sebanyak 60 kali didalam bulan Ramadhan.Namun, adakah ia semata-mata “khatam”..? Tidak sama sekali.Daripada madrasah “60 kali khatam” inilah lahirnya seorang ulama’ yang saban hari mendidik masyarakat dengan syariat islam.Menghabiskan setiap detik umurnya memelihara syariat islam untuk generasi seterusnya.Bukan semata-mata membentuk sebuah mazhab, tetapi sebagai petunjuk bagi sekalian manusia”

Persoalan yang seharusnya timbul di dalam diri seorang pendamba kebaikan adalah bagaimana untuk keluar dari madrasah Ramadhan kali ini dalam keadaan dirinya semakin dekat dengan Al-Quran ? Dan bagaimana Al-Quran mampu memberikan hidayah kepada dirinya dan orang lain?

Kemudian Qiamullail,

Sabda Ar-Rasul s.a.w :

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ « مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ ».

Daripada Abi Hurairah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda :“ Barangsiapa yang mendirikan malam di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu. ”
[Hadith riwayat Bukhari ]

Mendirikan malam pada hari-hari dalam bulan Ramadhan merupakan kemuncak ibadah seorang muslim.Seolah-olah puasa, zikir, solat,sedekah, bacaan Al-Quran yang dilaksanakannya di siang hari merupakan persediaan untuk bertemu dengan Allah s.w.t pada sebelah malamnya dengan hati yang suci daripada keinginan duniawi. Menghadap Penciptanya dengan hati yang betul-betul tulus dan ikhlas.

Dan kemuncak bagi malam-malam tersebut adalah “Lailatul Qadr”.Malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Firman Allah di dalam surah Al-Qadr :

[1] Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,
[2] Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?
[3] Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
[4] Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);
[5] Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

Sabda Ar-Rasul s.a.w :

عَنْ عَائِشَةَ – رضى الله عنها – قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم-«تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِى الْعَشْرِ الأَوَاخِرِمِنْ رَمَضَانَ».

Daripada Aisyah r.a beliau berkata : Nabi s.a.w bersabda :“Carilah Lailatul Qadr pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. ”
[Hadith riwayat Muslim ]

Di dalam tafsir Di Bawah Naungan Al-Quran ada menyatakan  :

“ Dinamakan malam itu dengan Lailatul Qadr mungkin bermakna penentuan dan pengaturan dan mungkin bermakna bernilai dan berkedudukan. Kedua-dua makna itu bersesuaian dengan peristiwa alam yang besar, peristiwa Al-Quran,wahyu dan risalah. Tidak ada peristiwa yang lebih besar dari peristiwa-peristiwa semesta ini, juga tidak ada yang lebih jelas petunjuknya dalam menetukan dan mengatur kehidupan manusia. Oleh kerana itu malam itu lebih baik daripada seribu bulan.”

Kemudian beliau menyambung :

“ Kadang-kadang kerana kejahilan dan pendeknya pemikiran, manusia lupa terhadap kadar kemuliaaan malam itu, hakikat peristiwanya, serta keagungan perkara ini, maka semenjak manusia tidak mengetahui serta melupakannya, hilanglah kurniaan Allah s.w.t yang paling membahagiakan dan paling indah kepada mereka. Mereka kehilangan kebahagiaan, keselamatan dan kesejahteraan hakiki yang diberikan oleh Islam iaitu kesejahteraan hati nurani, keluarga dan masyarakat ”

Sungguh! Kenyataan yang menyentap jiwa-jiwa yang lalai.

Bilakah lagi, sekiranya kita tidak mengambil peluang di dalam bulan Ramadhan ini untuk menghidupkan hati dengan solat malam..? Belum tibakah waktunya..? Tidak cukupkah segala kebaikan yang dijanjikan di dalam bulan Ramadhan menjadi penolak untuk kita melaksanakannya..?

Moga-moga firman Allah s.w.t ini mampu menyedarkan diri yang sering alpa dan lalai ini:

“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik – derhaka.”

[Al-Hadid : 16 ]

Ramadhan, Mujahadah & Pengorbanan

Sesetengah orang menganggap Ramadhan hanyalah bulan mujahadah ibadah (solat, sedekah, terawih,). Ibadah dalam bentuk yang difahami oleh sebahagian muslim. Padahal, hakikatnya yang sebenar jauh lebih luas daripada apa yang difahami oleh umat Islam pada hari ini. Hakikat sebenar sebagaimana yang difahami dan ditonjolkan oleh para salafussoleh. Lihat sahaja berapa banyak siri-siri peperangan di antara umat islam dengan pihak musuh berlaku didalam bulan Ramadhan. Sejarah telah membuktikan bahawa lebih daripada 10 peperangan telah berlaku di dalam bulan ini.Badar Al-Kubra, Perang Ain Jalut, Perang Hittin, Perang Yakhliz, Perang Zallaqah, Perang Arab-Israel dan lain-lain yang telah dilakar sejarah.

As-Syahid  IHAB sendiri telah memaparkan hakikat ini apabila beliau menyelesaikan perbalahan yang berlaku di antara penduduk kampung ketikamana mereka bertelingkah dalam soal menetukan bilangan rakaat solat terawih. Sekiranya beliau tidak memahami hakikat ini, maka beliau akan membiarkan sahaja perbalahan tersebut berterusan dan menyibukkan diri dengan beramal sendirian. Begitu juga para panglima Islam yang tetap teguh mempertahankan islam dan umatnya daripada serangan musuh Allah s.w.t. di dalam bulan Ramadhan.

Ia adalah bulan mujahadah dalam menentang musuh Allah s.w.t, menyelesaikan permasalahan umat, bulan mengorbankan harta, tenaga, masa bahkan nyawa demi umat ini. Jika tidak mampu sampai ketahap ini, paling kurang bermujahadahlah dalam merubah diri sendiri ke arah yang lebih baik supaya memberi manfaat kepada orang lain.

Harapan (Penutup)

فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَاز

“ Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya”

(Al-Imran : 185)

Tiada harapan yang lebih besar bagi seorang muslim apabila melangkah ke dalam bulan Ramadhan melainkan pembebasan daripada azab api neraka.

Sabda Ar-Rasul s.a.w :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” إِذَا كَانَتْ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ، صُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ، وَمَرَدَةُ الْجِنِّ، وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ، فَلَمْ يُفْتَحْ مِنْهَا بَابٌ، وَفُتِحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ، فَلَمْ يُغْلَقْ مِنْهَا بَابٌ، وَنَادَى مُنَادٍ: يَا بَاغِيَ الْخَيْرِ أَقْبِلْ، وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقْصِرْ، وَلِلَّهِ عُتَقَاءُ مِنَ النَّارِ، وَذَلِكَ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ “

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa salam bersabda: “Jika telah datang malam pertama bulan Ramadhan, maka para setan dan jin pembangkang dibelenggu, pintu-pintu neraka ditutup tanpa ada satu pintu pun yang dibuka, pintu-pintu surga dibuka tanpa ada satu pintu pun yang dibuka, dan ada seorang (malaikat) yang menyerukan: ‘Wahai orang yang mencari kebaikan, bersegeralah! Wahai orang yang akan melakukan keburukan, tahanlah’. Dan Allah memiliki hamba-hamba yang dibebaskan dari api neraka, dan hal itu terjadi pada setiap malam (bulan Ramadhan).”

[Hadith riwayat At-Tarmidzi, disahihkan oleh Imam Albani rahimahullah]

Rebutlah peluang yang telah dijanjikan oleh Allah s.w.t dan Rasul-Nya.Moga kita tergolong dalam kalangan hamba-hamba yang dibebaskan daripada api neraka pada malam pertama bulan Ramadhan tahun ini!

Ramadhan Kareem
Allahu Akram.

Wallahua’lam.

 

Oleh: Muhammad Izzat bin Husman, Tahun 3 Kuliah Usuluddin Jabatan Tafsir dan Ulum Quran, Universiti Al-Azhar Kaherah

Comments

comments

Leave a Comment