Menghitung Hari yang Pasti
Oleh: Syazana Aqilah Zulfaka, Tahun 5 Fakulti Perubatan, Universiti Iskandariah
Aku harap hari terindah dalam hidupku
Hari di mana roh terpisah dari jasad yang satu
Itulah hari bertemu Rabbku
Dalam keadaan Kau redha denganku
Dan aku redha denganMu
Hari di mana aku lihat wajahMu
Setelah lama merindu
Aku harap ‘rumah kecil’ ku
Punya jendela mengintai jannahMu
Sungguh aku mahu ke situ
Moga amalku membenarkanku
Dan rahmatMu bersamaku
Saban hari kita dihidangkan dengan berita-berita kematian samada yang terduga atau tidak terduga. Sungguh kematian itu memang peringatan yang menghidupkan. Menghidupkan hati-hati yang telah lama jauh dari Illahi lebih-lebih lagi jika melibatkan kematian orang yang tersayang.
Kita semua mengimpikan pengakhiran hidup yang baik (husnul khotimah) tapi bagaimanakah amal kita di dunia ini? Seorang tokoh pendakwah pernah berkata “ siapa yang menginginkan syahid,hendaklah ia mati dari sekarang.” Dunia ini lah tempat bercucuk tanam dan akhiratlah tempat untuk kita menuai hasilnya. Mati dari sekarang bermaksud buanglah semua kepentingan dunia dan jadilah ibarat kain buruk untuk umat ini supaya nanti bila ditanya apakah sumbangan kita,kita dapat menjawab di hadapan Allah tentang segala usaha yang telah dilakukan di dunia ini.
وَإِذْ قَالَتْ أُمَّةٌ مِنْهُمْ لِمَ تَعِظُونَ قَوْمًا اللَّهُ مُهْلِكُهُمْ أَوْ مُعَذِّبُهُمْ عَذَابًا شَدِيدًا قَالُوا مَعْذِرَةً إِلَى رَبِّكُمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَّقُون فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ أَنْجَيْنَا
الَّذِينَ يَنْهَوْنَ عَنْ السُّوءِ وَأَخَذْنَا الَّذِينَ ظَلَمُوا بِعَذَابٍ بَئِيسٍ بِمَا كَانُوا يَفْسُقُونَ“ Dan (ingatlah) ketika suatu kaum di antara mereka berkata: “ Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat keras?” Mereka menjawab: “ Agar kami mempunyai alasan (pelepas tanggung jawab) kepada Tuhanmu, dan supaya mereka bertaqwa. “ Maka tatkala mereka melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka. Kami selamatkan orang-orang yang melarang dari perbuatan jahat dan Kami timpakan kepada orang-orang yang zalim siksaan yang keras, disebabkan mereka selalu berbuat fasik. “ (QS. Al A’raf 164-165)
Oleh itu,marilah kita semua mempersiapkan diri dengan amalan-amalan yang soleh yang akan membawa kita ke syurga nanti. Moga kitalah yang dikatakan sebagai jiwa-jiwa yang tenang seperti dalam firman Allah dalam surah al Fajr 27-30.
يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ ﴿٢٧﴾ ارْجِعِي إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً ﴿٢٨﴾ فَادْخُلِي فِي عِبَادِي ﴿٢٩﴾ وَادْخُلِي جَنَّتِي ﴿٣٠﴾
Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha lagi diredhai; lalu masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku.
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, “Sesungguhnya kubur itu adalah satu taman dari taman-taman syurga dan merupakan lubang dari lubang-lubang neraka.
Moga Allah jadikan kubur-kubur kita antara taman-taman syurga dan satukan kembali keluarga dan saudara –saudara kita di dunia. Wallahua’lam.