Gai

552235_10151276634522846_1363063171_n

Oleh:  Lubabah Muhsin, Tahun 2 Fakulti Syariah Islamiah, Universiti Azhar, Kaherah.

“ Zaid, bila hendak datang rumah? ”
Gai…”
“ Bila exam akhi? ”
Gai…”
“ Tahu tidak bila tarikh pilihanraya Mesir? ”
“ Gai…”
“ Ya sheikh, bila Ramadhan? ”
Gai, insya Allah…”

*****

COUNTDOWN RAMADHAN

Muhammad membelek kalendar Hijrah 2014. Pen marker di tangannya membulatkan tarikh 28 Jun.

“ Ramadhan! ”

Dia teringat akan soalannya dulu pada arwah ayah tentang puasa. Kira-kira 11 tahun lepas. Umurnya kini menjangkau 20 tahun. Ayah meninggal tahun lepas akibat kemalangan jalanraya.

DI RUANG TAMU

“Ayah, kenapa kita kena puasa? Kalau tidak puasa, tidak boleh ke? Muhammad sudah lapar…” rengeknya pada Ayah yang sedang asyik membaca berita di dada akhbar. Hari itu hari ketiga Muhammad berpuasa.

Ayah menelek jam di pergelangan tangan. Baru menunjukkan pukul 2 petang. Lagi 5 jam waktu berbuka tiba. Perhatiannya dialihkan kepada Muhammad. Muhammad sudah terbaring lesu di hadapannya.

“ Muhammad, kemari. Duduk di depan ayah. ” Muhammad bangun malas menuruti arahan ayahnya.

“ Muhammad sudah lapar? ” Muhammad angguk laju.Bibir Ayah mengukir senyuman.

“ Sekejap sahaja lagi. Muhammad boleh sabar, bukan? ” Muhammad memuncungkan mulutnya. Ayah senyum lagi.

“ Muhammad ingat lagi cerita tentang anak Tanah Al-Quds yang kita tengok semalam? ”

Muhammad angguk, ” Ingat. Kasihan mereka, tiada makanan, tiada pakaian, tiada rumah.” Wajahnya bertukar riak sedih.

Ayah menyambung, “ Betul. Sebab itu kita kena puasa. Baru kita rasa apa yang mereka rasa, lapar, penat. Ujian mereka lagi hebat. Sekurang-kurangnya kita kena bersyukur sebab ada makanan, rumah, pakaian. Bahkan, perintah puasa ini Allah sudah turunkan sejak zaman Rasulullah lagi. ”

Pandangan Ayah jatuh pada wajah Muhammad. Lalu Ayah menyambung lagi, “ Kalam Allah, umat muslimin wajib berpuasa sepertimana kaum sebelumnya agar mereka bertaqwa. Kata Allah lagi, bulan Ramadhan diturunkan padanya Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia. Barangsiapa yang berada di bulan itu, maka berpuasalah. Tetapi bagi yang sakit atau sedang bermusafir, mereka dibenarkan berbuka puasa. Tapi jangan lupa ganti puasa selepas itu. ”

“ Taqwa itu apa ayah? ” Muhammad mengerutkan dahinya.

“ Taqwa sama maksud dengan Iman. Ha, apa Rukun Iman yang Ayah ajar Muhammad minggu lepas? ”

Muhammad kalut apabila dia pula yang ditanya. Berkerut-kerut dahinya cuba mengingat. Bibir Ayah terlukis segaris senyuman.

“Rukun Iman ada enam perkara. Pertama: Beriman kepada Allah. Kedua: Beriman kepada Malaikat. Ketiga: Beriman kepada Kitab. Keempat: Beriman kepada Rasul. Kelima: Beriman kepada Hari Akhirat. Keenam: Beriman kepada Qada’ dan Qadar.” Muhammad menampakkan giginya yang putih sebaik sahaja dia selesai ‘mengikrarkan’ Rukun Iman. Ayah menganggukkan kepala tanda betul.

“Di sini rupanya dua beranak ini. Puas Ibu mencari. Muhammad, sudah mengaji hari ini?” Ibu bercekak pinggang. Muhammad menggeleng laju. Serta merta dia bangkit dari kerusi.

“Ayah, ’Ustazah’ sudah panggil. Muhammad pergi mengaji dulu. Terima kasih, Ayah.” Mereka berdua berbalas senyuman. Muhammad segera mendapatkan ibunya. Pandangan Ayah menyoroti langkah mereka hingga kelibat mereka hilang daripada pandangan.

*****

COSTA COFFE

Exam tinggal lagi beberapa hari. Dia perlu bersedia awal supaya tidak menyesal. Cukuplah pengalaman lalu mengajar supaya tidak bertangguh. Semester lepas, dia banyak membuang masa. Baginya exam perkara biasa dan dia yakin akan ‘pass paper’. Tiba hari peperiksaan, dia demam. Kesudahannya, dia ‘burn paper’ untuk hari itu sebab tidak hadir.

Buku Opthalmology, Anatomy, Forensic Medicine bersepah di hadapannya. Targetnya hari ini paling kurang sudah habis jawab latihan untuk semua subjek. Dia cuba walaupun ketebalan buku latihan sangat melelahkan.

Sedang buku Anatomy diselak, sekeping nota terjatuh keluar. Kertas itu sempat disambut sebelum ia mencecah lantai. Sekeping kad berwarna biru, tertulis serangkap kata-kata.

 ” RAMADHAN IS COMING!

                     WHAT’S YOUR TARGET? “

Kad itu ditenung lama. Dia berusaha capai target untuk setiap perkara yang dibuat. Tetapi, target untuk Ramadhan? Keluhan kasar dilepaskan. Buku nota dicapai. Serta merta target Ramadhan ditulis.

 1.Tilawah 1 juzuk setiap hari serta tadabbur makna.
2.Solat Jemaah di masjid di awal waktu.
3.Qiamullail setiap hari.
4.Bacaan ilmiah 50 m/s setiap hari.
5.Hafal satu hadis setiap hari.
6.Ketuk pintu kebaikan.

*****

DI PERKARANGAN MASJID BILAL

Muhammad menghabiskan tilawah al-Quran sebelum masuk waktu fardhu Zohor. Makna Surah Ar-Rahman difahami sungguh-sungguh.

” Dan barangsiapa yang takut akan saat menghadap Tuhannya akan ada dua syurga. Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan? Kedua-dua syurga itu mempunyai aneka pepohonan dan buah-buahan. Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?  ” ( Ayat: 46-49)

Sedang terjemahan Surah Ar-Rahman khusyuk direnungi, tiba-tiba bahunya disentuh dari belakang. Bahunya terhinjut sedikit kerana terkejut seraya empunya badan member salam sejahtera. Bangku kayu di sebelahnya yang kosong serta merta diduduki.

“ Sudah habis tilawah hari ini? ” tanya Mustafa. Pandangannya jatuh pada mushaf yang dipegang Muhammad.

“ Alhamdulillah sudah. Enta? ” Muhammad menyoal kembali. Soalannya dibalas dengan anggukan.

“ Ramadhan tinggal beberapa hari sahaja lagi. Sudah ada target Ramadhan kali ini? ”

“ Insya Allah sudah ada. Doakan ana mampu capai target untuk Ramadhan kali ini, ” ucap Muhammad penuh harap.

“ Enta bagaimana? Sudah bersedia bertemu Ramadhan? Apa target enta kali ini? ” soal Muhammad kembali.

“ Owh. Ada…GAI. ” Perbualan mereka serta merta mati apabila Bilal melaungkan azan.

* GAI = akan datang

Comments

comments

Comments are closed.