Tambatan

stay-strong

 

Tambatan atau bahasa kamusnya orang yang dikasihi, dicintai dan menjadi harapan.

Peribahasa yang kita selalu guna adalah ayam tambatan. Tapi saya tidak berapa berminat untuk membicarakan tentang ayam pun kali ini.

Semalam, seorang sahabat mengadu pada saya satu perkara.  Ia berkaitan kelelahan dalam hidup sebagai pelajar. Kemudian dia memohon sesuatu.

“Ada tak kata-kata yang boleh naikkan semangat?”

Saya diam. Sebab saya akui, saya bukanlah orang yang tepat untuk diminta motivasi, kata-kata semangat dan yang sewaktu dengannya. Tapi, kami pernah mempunyai satu perjalanan hidup yang sama pada satu ketika. Mungkin kerana itu, kami tidak segan untuk saling adu-mengadu mengenai kelelahan dalam menjalani kehidupan sebagai pelajar Muslim.

Saya masih diam dan hanya mampu senyum. Terlintas satu pepatah Arab.

Al masyaqqah tasnau’ ar-rijal

“Maksudnya?”

“Kesusahan melahirkan rijal”

Mukanya seperti mengharapkan penjelasan yang lebih.

“Dengan kesusahan itulah lahir seorang rijal macam Nabi s.a.w. Sejak dari kecil lagi baginda susah. Akhirnya, sifat macam mama yang kita nampak pada baginda? Rijal! Rijal tu kuat, sabar, tabah….”

Dia mengangguk. Risau juga kalau bahasa yang saya keluarkan terlalu tinggi untuk diaplikasi kerana itulah hakikatnya. Susah.

Dia mengadu lagi.

“Kadang-kadang kan, rasa macam nak quit medic. Tapi bila ingat mak, ayah dan keluarga, tak sampai hati pula rasa…”

Saya menarik nafas panjang. Ya, saya akui perkara itu sering juga saya rasai.

“Kita jangan letak apa yang kita buat tu sebab orang lain nak kita buat itu. Cuba kalau keluarga kata, OK balik lah. Tukar kos. Awak nak tukar? ”

“Tak!”

“Ha, biar kita buat satu perkara itu sebab kita faham. Kita nak buat sebab kita nampak hadaf. Kenapa kita jadi doktor? Sebab kita nak menyumbang kepada umat supaya kita ada bukti depan Allah, Allah ini bukti sumbangan aku pada agama Islam memekllalui bidang ini. Ya Allah, aku dah sampaikan pada umat ini. Sebab kita kena tanya nanti. Rasul jadi saksi kepada kita Dan kita jadi saksi pada manusia lainnya bahawa individu tu dah sampaikan Islam atau tidak ( rujuk Al-Baqarah:143)”

Dia mengangguk. Saya rasa macam dah terlebih cakap. Sebenarnya saya tak sangka kalimah-kalimah itu keluar Dari mulut Dan memang saya sendiri sudah lama mencari penyelesaian untuk futur yang seumpama itu.

Alhamdulillah, saya dah jumpa penyelesaiannya. Saya perlu sentiasa ada agenda dan hadaf yang besar. Besarkan niat! kalau tidak, saya akan terganggu dengan alasan-alasan kecil dan kepenatan-kepenatan sementara serta kesusahan-kesusahan yang bakal hilang dengan bantuan dan izin Allah.

Boleh saja saya letakkan hadaf nak jadi doktor sebab saya punyai ahli keluarga yang sakit itu atau ini yang misteri. Tapi bila cita-cita itu tidak dibesarkan untuk masa depan agama, akhirnya cita-cita itu takat kerja-kerja pencarian penyakit. Ya, benar ia akan menjadi satu capaian dan rujukan manusia lainnya dan mengharumkan nama Islam kerana saya adalah Muslim. Saya akan dapat pahala kalau itu yang saya niatkan. Kalau saya tidak niatkan untuk Islam, seperti yang saya katakan tadi, ia hanyalah kerja-kerja pencarian penyakit.

Seorang pemuda yang telah menempa syahid dalam hidupnya ; Muhannad at-Tohir ada menukilkan satu kata-kata;

“Islam itu hebat. Tidak akan terpikul melainkan orang-orang yang hebat!”

Nak jadi hebat, kena belajar bersusah-susah dari semua aspek.

Biar lah kita jadi tambatan umat yang semakin tenat ini. Semoga kita tidak senasib dengan Yahudi yang dilaknat Allah kerana tidak menyampaikan risalah Allah (rujuk Al-Baqarah: 159)

Kalau kita bersungguh mencari Allah, Allah akan tunjukkan jalanNya. Itulah yang Dia sendiri tekankan dalam surah Al-Ankabut ayat 69.

 

Salam imtihan!

 

 

Penulis :
Sumaiyah Rushdan, Tahun 2 fakulti Perubatan al-Azhar Kaherah 

Comments

comments

Comments are closed.