Pengorbanan dan Kemuliaan

882112_619776024715679_1234130335_o

Kefahaman yang jelas dan kekuatan hubungan ubudiah antara hamba dengan Allah akan melahirkan sebuah jiwa yang merdeka. Hakikat kemerdekaan ini hanya dapat dirasai oleh para daie yang berjaya membebaskan diri daripada memikul perasaan tamak kepada dunia dan mendorong mereka untuk berkorban.

Bai`ah mereka akan teruji ketika berhadapan dengan sekatan pemerintah yang zalim dan penyiksaan yang menggerunkan. Tetapi mereka dikira berjaya sekiranya kebenaran itu disuarakan walaupun tubuh mereka sengsara akibat seksaan. Dan perkara ini hanya akan dirasai oleh mereka yang melaksanakannya sahaja.

Mari kita lihat peristiwa yang pernah berlaku terhadap Bilal bin Rabah. Bayangkanlah dalam keadaan cuaca yang sangat panas, di atas padang pasir dan ditanggalkan baju, beliau ditimpakan di atas badannya sebiji batu besar. Hanya satu sahaja syarat yang diletakkan kepada Bilal r.a, iaitu memuji al-latta dan al-uzza. Tetapi Bilal faham bahawa sunnah kesetiaan di dalam Islam dan nabi itu lebih utama berbanding dengan kesakitan fizikal yang sementara.

Contoh seterusnya yang berlaku pada zaman sekarang. Tahun lepas, seorang anak perempuan pimpinan harakah Islamiyah di Mesir terbunuh akibat tembakan di kepala dalam sebuah hospital di Mesir dan akhirnya beliau mendapat syahidah di situ. Lebih jelas lagi lakaran sejarah yang sedang diukir oleh para pejuang di Mesir, Syria, Palestin, dan lain-lain akhirnya sedang giat dilaksanakan.

Adakah kita semua sangkakan bahawa Bilal r.a tidak tahu bahawa tetapnya beliau di dalam kalimah tauhid itu akan mengoyakkan kulit-kulitnya? Adakan kita semua sangkakan bahawa seorang anak pimpinan harakah Islamiyah tidak tahu bahawa penglibatannya di dalam demonstrasi di Mesir akan menyebabkan peluru menembusi kepalanya? Adakah para pejuang lain di serata dunia tidak tahu bahawa tampilnya mereka di barisan pertempuran akan menyebabkan mereka kehilangan segalanya?

Tidak sekali-kali. Saya yakin mereka semua menyedari risikonya. Tetapi itulah yang telah diajar oleh Khalid Al-Walid. Beliau berkata kepada tentera Parsi: “Sesungguhnya aku datangkan kepada kalian satu kaum yang cintakan kematian melebihi daripada kecintaan kamu kepada kehidupan”.

 

MasyaAllah, demikianlah gaya hidup seorang Daie.

Umat ini tidak mungkin akan kembali semula kepada Islamnya kecuali dengan dakwah yang ditegakkan prinsipnya pada pengorbanan jiwa. Ketika bermulanya pengorbanan, secara langsung kemenangan itu sedang dilakar. Jika tidak, dakwah ini tiada nilainya. Dakwah ini hanya akan menjadi seperti persatuan-persatuan kebajikan yang lain yang hanya menguruskan kebajikan masyarakat. Dan akhirnya tumpuan akan diberikan di dalam majlis-majlis ucapan awam.

Imam Ahmad telah diberikan pilihan untuk mengambil rukhsah (kerana masih memiliki isteri dan anak-anak) sebelum dikenakan sebatan. Perkara ini juga disokong oleh Ahmad bin Daud. Tetapi Imam Ahmad menjawab: “Wahai Abu Said, kalau beginilah cara fikirmu, engkau sebenarnya telah berehat.

Begitu juga dengan penulis kitab Tafsir Di Bawah Naungan Al-Quran. Ketika saat akhir diberi pilihan antara hidup dan tali gantung:   ”Jari telunjuk ini yang menjadi saksi setiap kali di dalam sembahyang bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Allah tidak mungkin sama sekali akan menulis coretan yang hina dan mengampu-ampu. Jikalau sememangnya aku layak dipenjara, aku reda menerimanya. Tetapi jikalau aku dipenjara dengan zalim, aku sama sekali tidak akan tunduk memohon belas kasihan daripada orang yang zalim”

Saya yakin, para daie yang sakit hatinya melihat situasi umat islam hari ini yang ditekan dan direndahkan tidak akan berdiam diri. Mereka tidak akan membiarkan diri mereka larut dengan keseronokan bersama isteri dan anak-anak. Mereka juga akan memastikan bahawa diri mereka teguh terhadap janji setia terhadap Jemaah.

Jadi sejauh mana kesungguhan kita semua untuk menjual diri di jalan Allah? Kerja ini menjadi mulia kerana ianya menuntut kepada beberapa pengorbanan. Pengorbanan perasaan ketika bermulanya langkah, pengorbanan kenikmatan di dalam aspek kehidupan. Terakhir merupakan kemuncak tertinggi pengorbanan iaitu pengorbanan jiwa ketika menamatkan langkah.

Dakwah dan jihad sama sekali tidak mempercepatkan ajal. Begitu juga sebaliknya, duduk berehat tanpa dakwah dan jihad tidak akan melambatkan ajal. Yang pasti, kedua amalan baik ini akan mengangkat ahlinya ke syurga Firdaus.

Halangan-halangan remeh seperti serangan yang dilakukan di alam maya yang melibatkan perasaan masih lagi belum boleh menandingi ikatan tali gantung para pejuan harakah. Takkan itu pun sudah lemah? Berjihadlah atau kita akan disingkir dari kehidupan. Sekiranya disingkirkan, Allah akan mengganti dengan kaum yang lebih baik. Ini adalah sunnah dan aturan Allah terhadap hambanya yang beriman.

“Jika anda bercita-cita untuk mati sebagai seorang syahid, maka matilah dari sekarang”. (dengan berkorban sepenuh jiwa dan raga untuk dakwah ini)

 

Mohammad Azzam Anwar Bin Mohd Mathurudi

Kuliah Ulum Islamiah Tahun 1 Univ Al-Azhar

Comments

comments

Comments are closed.