MUMTAZ untuk Ummah
“Ayuh, mumtaz untuk ummah!”
Slogan “Mumtaz Untuk Ummah” sering dilaung-laungkan bagi menaikkan semangat untuk belajar. Namun benarkah mumtaz yang dikecapi itu untuk kepentingan ummat dan hanya kerana Allah atau semata-mata untuk berbangga diri? Tepuk dada tanya diri!
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka “ (13:11)
Mungkin ramai yang tertanya-tanya apa yang dimaksudkan dengan “mumtaz untuk ummah” yang sebenarnya. Jom kita menyelusuri kisah seorang tokoh perubatan Islam zaman silam yang boleh dijadikan contoh dalam kehidupan seharian.
Ibnu Nafis
Nama penuh Ibnu Nafis adalah al-Din Abu al-Hasan Ali Ibn Abi al-Hazm al-Qarshi al-Dimashqi. Selain itu, beliau dikenali dengan nama panggilan “The Second Avicenna (Ibnu Sina Kedua)”, yang diberikan oleh para pengagumnya. Ibnu Nafis lahir pada tahun 610H di Damaskus dan meninggal dunia di Al-Qaherah pada tahun 687H. Beliau seorang yang sangat menjaga waktu dan setiap saat akan mencatat idea-idea dan buah fikiran pada waktu yang bukan kebiasaan. Bahkan, dari segi merawat penyakit, Ibnu Nafis lebih hebat daripada Ibnu Sina. . Beliau adalah orang pertama yang menemui salur darah.
Antara buku-buku yang ditulis oleh beliau adalah Al-Kitab al-Syamil Fi al-Tibb (tentang ensiklopedia perubatan), Syarh al-Hidayah (ulasan terhadap karangan Ibnu Sina tentang perubatan), Kitab al-Muhadhdhab fi al-Kuhl (mengenai opthalmologi), buku dalam bidang usul fiqh, fiqh, Bahasa Arab, hadis, balaghah, dan lain-lain lagi. Beliau seorang yang serba boleh dalam menguasai pelbagai bidang ilmu.
Membuat nota
Dalam membuat catatan dan menulis kitab, beliau hanya menulis tanpa perlu merujuk mana-mana buku. Semua maklumat telah tersemat di dalam kepalanya. Terus mengalir laju selari dengan gerakan tangannya untuk menulis. Bagi menjimatkan masa, beliau telah menyediakan pen yang banyak disebelahnya ketika membuat catatan. Sekiranya pen tersebut telah kehabisan dakwat, tidaklah perlu membuang masa walau beberapa minit untuk mencari pen yang baru bagi meneruskan catatan.
Apabila sesuatu ilmu itu dipelajari dengan bersungguh-sungguh dan diiringi dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah pasti Allah akan memudahkan jalan baginya. Senang mengingati maklumat dan mudah baginya untuk mempraktikkan apa yang telah dipelajarinya
Bagi beliau, masa itu sangat berharga sehinggakan tidak sanggup masa dibazirkan dengan mencari sebatang pen untuk menulis! Inilah antara ciri-ciri mumtaz yang patut kita semaikan dalam diri.
Berjaga malam
Pernah satu ketika, Ibnu Nafis bersama-sama seorang sahabatnya iaitu Ibnu Wasil berjaga malam bagi membuat catatan ilmu. Mereka berjaga sehingga ke waktu subuh. Pada ketika itu, Ibnu Wasil telah keletihan kerana berjaga malam, merah matanya menahan mengantuk namun Ibnu Nafis dengan penuh khusyuk masih lagi menulis tanpa penat.
Wajarlah kita untuk mencontohi sifat Ibnu Nafis yang sangat tekun dalam mendalami ilmu. Sangat berbeza dengan keadaan kita pada hari ini. Untuk meluangkan masa beberapa jam bagi menuntut ilmu sudah tidak mampu apatah lagi untuk berjaga malam. Bahkan di dalam kuliah ada di antara kita berperang dengan diri sendiri untuk menahan mata dari mengantuk yang secara automatiknya hilang sebaik sahaja pensyarah keluar.
Mencatat idea tanpa mengira masa dan tempat
Pada suatu hari ketika di bilik persalinan, Ibnu Nafis tiba-tiba telah meminta kertas dan pen daripada orang yang ada di situ untuk mencatat idea yang baru muncul. Tempat dan masa tidak menjadi penghalang baginya untuk menulis. Ajaib! Lihatlah bagaimana prinsip hidup yang dipegang oleh Ibnu Nafis. Prinsip ini yang menjadikan beliau seorang yang banyak memberi sumbangan dalam bidang perubatan malahan kepada agama Islam itu sendiri tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pemikiran.
Jika ingin dibandingkan zaman dahulu dan zaman sekarang ianya seperti langit dan bumi. Sangat jauh berbeza. Zaman kini walaupun teknologi berkembang maju, maklumat hanya di hujung jari, tempat yang selesa namun tidak digunakan sebaiknya. Masa yang ada terbuang begitu sahaja tanpa ada pengisian
Halal dan Haram
Ketika saat-saat terakhir hidupnya, Ibnu Nafis telah diserang oleh satu penyakit. Sahabat-sahabat yang terdiri dari kalangan doktor pakar perubatan telah berbincang dan membuat kesimpulan bahawa sekiranya beliau ingin sembuh, yang dapat mengubatnya hanyalah dengan menggunakan arak. Namun, Ibnu Nafis menolak saranan itu sambil berkata, “Aku tak ingin bertemu Allah Taala sedangkan pada tubuhku ada secebis daripada arak”.
Betapa beliau sangat menjaga batas-batas halal dan haram. Ya, itulah yang sepatutnya kerana apa-apa sahaja yang masuk ke dalam tubuh badan kita akan menjadi sebati dan menjadi darah daging. Ingatlah “ Ilmu itu cahaya dan cahaya tidak akan masuk ke dalam hati yang bermaksiat”. Jaga diri insyaAllah Allah akan menjaga kita.
Kesimpulan
Para ilmuan zaman silam telah membuktikan slogan Mumtaz Untuk Ummah adalah satu realiti! Kita perlu senaraikan ciri-ciri mumtaz yang bagaimanakah yang menjadi impian kita untuk disumbangkan kepada ummah, bangsa dan negara. Tidak perlu untuk menunggu orang lain mulakan. Semuanya atas diri kita sendiri. Masih belum terlambat untuk bermula. Kalau bukan kita siapa lagi.
Apalah gunanya bertahun-tahun menuntut ilmu namun tidak ada satu pun yang dapat kita sumbangan atau kita manfaatkan untuk kepentingan Islam. Apalah nilainya di sisi Allah sekiranya ilmu yang dipelajari semata-mata untuk mendapat kerja di dunia.
Islam itu syumul, dengan kesyumulan Islamlah maka lahirnya tokoh-tokoh sarjana yang menguasai pelbagai bidang ilmu. Berusahalah sebaiknya diiringi dengan niat yang ikhlas kerana Allah. Ayuh kita mula!
Penulis : Nurul Husna binti Hashim, Tahun 6 Perubatan University Ain Shams