Lembabnya dakwah!

Missing-Malaysia-Airlines-MH370-prompts-social-media-help

Di corong-corong radio, portal-portal berita, siaran-siaran televisyen kini gempar dengan kehilangan pesawat MAS MH370. Pelajar-pelajar Malaysia mahupun rakyat Malaysia di mana-mana ceruk dunia mesti tidak terlepas dari persoalan berkaitan kehilangan MH370 termasuklah mahasiswa di Mesir ini. Ada yang simpati dengan kehilangannya dan ada juga yang pelik dengan gelagat bomoh di KLIA kian hari. Macam-macam.

Tapi saya cuba mencari makna lain dari peristiwa itu. Fikiran menerawang mencari akal yang telah diadun acuan manhaj tarbawi dakwi bertahun-tahun.

”Dakwah itu seperti kapal terbang??“ cetus hati kecil saya.

Saya berfikir mendalam mencari kaitan antara kapal terbang dan dakwah.

Dalam kapal terbang selalunya tiada apa-apa yang hendak dilakukan melainkan tidur, dengar muzik sikit dan baca buku.

 

Perkaitan: Kapal Terbang

Manusia di luar kabin akan nampak kapal terbang bergerak terlalu perlahan lebih-lebih lagi mereka yang melihat dari jauh. Sayup-sayup pemandangan lembabnya pergerakan kapal terbang di langit. Bahkan, penumpang yang duduk di dalam kapal terbang tersebut sendiri merasakan kapal terbang yang mereka naiki sangat perlahan. Hasil dari pandangan ke luar. Manakan tidak, semuanya ditipu pandangannya kerana menilai dari jauh.

 

Tetapi hakikatnya pemandu(pilot) kapal terbang itu sendiri yang mengetahui kelajuannya. Sangat laju tak terkalahkan Ferarri. Hanya kakitangan kapal tersebut yang mengetahui kelajuan kapal terbang itu. Orang yang arif tentang kapal terbang juga pasti mengiyakan. Tanyalah si pilot kelajuannya.

Perkaitan: Dakwah

Manusia yang tidak terlibat dalam dakwah akan melihat perkembangan dakwah ini sangat perlahan dari segi ahlinya mahupun aktivitinya. Mereka hanya menilai dari jauh dan sebenarnya tidak bercampur pun dengan ashabud dakwah ni. Bahkan terkadang, orang-orang biasa yang mengikuti program dan aktiviti dakwah tarbiyah juga akan merasakan perlahannya dakwah ni. Mahu selesaikan masalah aqidah sahaja sudah banyak program yang dijalankan. Belum termasuk bab-bab lain. Hasil pandangan mereka terhadap pertumbuhan dakwah tarbiyah yang dilalui dari dalam. Adapun juga yang sedar, tidaklah seramai mereka yang tidak sedar.

 

Hakikat pertumbuhan dan pergerakan dakwah tarbiyah sebenarnya sukar ditafsir oleh manusia biasa. Hanya mereka yang terlibat dalam dakwah tarbiyah sendiri yang merasakan perkembangannya melaju. Sama ada dari segi pertambahan ahli mahupun timbunan program yang dirancang. Meraka rasakan semakin lama semakin bertambah manusia yang tertarik terhadap dakwah tarbiyah Islamiyah. Mereka sangat bersyukur atas janji yang Allah letakkan ini, bahawa Allah akan membantu mereka yang membantu agama-Nya.

” Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu. ” (Muhammad:7)

” Masa depan adalah untuk agama ini. ”
(Penulis kitab Tafsir Di Bawah Naungan Al-Quran)

 

Sejenak Sirah Nabawiyah

Zaman Rasulullah adalah cerminan yang sangat tepat dengan perkara ini. Orang kafir awalnya merasakan dakwah Islam ini takkan menjejaskan mereka kerana perkembangannya yang sangat perlahan ditambah ahlinya yang sangat sedikit dan tiada kuasa dan pengaruh besar terhadap masyarakat sepertimana yang telah dinukilkan dalam kitab Sirah Raheeq Makhtum di fasa awal dakwah nabi. Ada juga sahabat yang merasakan dakwah ini perlahan dan makin malap apabila dicampur tangan musyrikin. Ada juga yang meminta Rasulullah untuk berdoa akan kemenangan umat Musilimin. Muka Rasulullah merah padam menjawab permintaan sahabat itu. Jawab baginda “Umat terdahulu diseksa disikat dengan besi panas sehingga menembus urat dan tulang namun semua itu tidak memalingkan mereka dari Islam.” Cahaya Islam ketika itu seakan tidak kelihatan.

“ Dan orang-orang kafir sentiasa memerangi kamu sehingga mereka mahu memalingkan kamu dari agama kamu jika mereka mampu melakukannya (yang demikian itu). (Al-Baqarah:217).

Tetapi pemimpin dakwah ini, Rasulullah S.A.W sendiri merasakan perkembangan ini semakin positif. Bilangan orang Islam bertambah, mereka juga faham dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah. Mungkin ada yang menafsir bahawa dakwah awal Rasulullah di Mekah hanya mampu menarik hati beberapa orang sahaja ke dalam Islam. Tetapi binaan aqidah yang kukuh inilah sebenarnya yang menguatkan Islam itu sendiri. Mereka bukan angka kosong.

“ Jika kamu mendapat luka , maka sesungguhnya kaum Musyrik itupun mendapat luka seperti kamu. Dan demikianlah , kami pergilirkan hari-hari (menang dan kalah) antara manusia supaya Allah mengatahui orang yang benar-benar tetap iman mereka dan memilih antara kamu para Syuhada’. Dan Allah tidak suka kepada orang berlaku zalim.” (‘Ali Imran:140)

Yakinlah saudaraku, walaupun dakwah ini dipandang rendah dan kelihatan seperti tidak menampakkan sinarnya, namun ia akan terus menapak sehingga hari kiamat. Ia tidak bergantung pada bilangannya. Sesiapa yang tidak bersama, merekalah yang rugi. Mereka(manusia luar) tidak tahu bahawa sinar dakwah Islamiah ini semakin berkembang dan melaju. Mereka hanya menilai dari jauh. Tetapi mereka akan fahami dan ketahui apabila mereka bersama dengan dakwah ini.

Kaitan yang sangat rapat antara kapal terbang dan dakwah. Amat menarik jika boleh diolah lagi, Moga bermanfaat.

 

Izzat, Kuliah Syariah, Universiti Al Azhar Kaherah

 

Comments

comments

Comments are closed.