Tinta Peperiksaan

exam2

 

Oleh : Fathiyah Solehah Ismail, Persediaan Ulum Islamiah Azhar, Kaherah

Iman ibarat roda yang berputar. Sekejap diatas, sekejap dibawah. Apakah khabar iman di sana? Di dalam jasad nun jauh di satu tempat bernama hati. Semoga sentiasa membara semangat juang seiring dengan suasana persekitaran kita yang penuh dengan bahang perjuangan untuk sebuah keadilan.

Pejam celik, kita sudah  menghampiri fatrah imtihan, terasa seakan semalam baru melepaskan rindu bersama keluarga di tanah air tercinta dan  sekarang kita sedang membawa segunung harapan buat mereka. Ramai yang bertanya tentang tips kejayaan, rata-rata kita boleh melontarkan satu persatu tips kejayaan.

Namun, persoalannya kejayaan dari segi apa? Kecemerlangan yang bagaimana kita mahukan? Adakah kecemerlangan di atas kertas atau ilmu yang mampu di manfaatkan?

Bak kata pepatah arab

العلم في الصدور لا في السطور

(Ilmu itu di dada bukan di kertas).

Kita ingin membentuk seorang muslim yang berjaya luaran dan dalaman kerana itulah natijah dari ilmu yang benar-benar meresap ke dalam hati. Mari sama-sama kita mendalami satu persatu persediaan sebelum dan semasa imtihan yang juga dapat kita praktikkan dalam kehidupan seharian :

 

PERSIAPAN FIZIKAL

Secara lumrahnya fizikal kita merupakan aset terpenting dalam hidup. Wajib bagi kita yang menyedari bahawa jasad ini hanyalah pinjaman dari Allah untuk menjaganya sebaik mungkin. Jagalah kesihatan dengan istiqomah beriadhah dan menjaga pemakanan yang bersih dan halal. Sebelum mengulangkaji, pastikan badan kita sedia dan selesa seperti mandi. Malah, kita juga harus memberikan hak badan dengan tidur secukupnya. Awas ! Jangan pula tidur berlebihan kerana ia mengakibatkan lesu dan lemah fikiran.

العَقْلُ السَّلِيمُ في الجِسمِ السَّلِيْمِ

PERSIAPAN ROHANI                                                                                                         

Secara fitrahnya kita hidup kerana adanya roh di dalam jasad. Sewajarnya kita memberikan perhatian lebih kepada rohani. Tuntutan hak rohani merupakan sesuatu yang sukar untuk dilihat kerana ia melibatkan hubungan dengan sang pencipta dan hamba. Kadangkala ia merupakan rahsia antara keduanya. Sebagai muslim dan mukmin yang percaya qada’ dan qadar Allah, kita harus yakin bahawa kejayaan itu dari Allah bukan pada banyaknya waktu menelaah buku semata-mata. Kadangkala kita terlalu mengejar buku dari mengejar Allah. Sebagai contoh, usai solat fardhu kita seringkali terus meluru mencari buku berbanding dari mengerjakan solat sunat yang mampu menampung kekurangan amalan yang pertama di tanya di hari kebangkitan kelak. Sedangkan, kejayaan utama adalah di hari kebangkitan itu nanti. Tambahan, banyakkanlah berpuasa dan bersedekah kerana doa orang yang berpuasa mustajab dan sedekah membuka pintu rezeki.

 

PERSIAPAN MENTAL DAN EMOSI

Sebagai muslim, kita seharusnya memiliki sifat-sifat peribadi muslim yakni tersusun dalam urusannya. Perancangan dan jadual belajar yang sistematik mampu untuk menjadikan seseorang itu boleh melakukan masuliyah atau tanggung jawab yang lain. Seorang tokoh ada mengungkapkan ; “tanggungjawab lebih banyak dari waktu yang ada”. Perancangan yang berkesan juga mampu membuatkan emosi seseorang sentiasa tenang kerana dia sudah jelas agenda yang ingin dilakukan sepanjang hari.

 

Akhir kalam, tanamkanlah dalam hati bahawa kecemerlangan yang ingin dicapai tidak lain dan tidak bukan adalah untuk kecemerlangan  ummah. Berbanggalah  kita kerana kita sudah memiliki nikmat iman  dan islam yang meyakini tempat pergantungan yang Maha Besar dan Hebat. Sama-sama kita menjadi contoh dan mencontohi mereka yang sudah berjaya dalam urusan dunia dan akhiratnya untuk terus mengibar panji khalifah islam di atas muka bumi ini.

 

 

وَقُلْ رَبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍوَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ

اجْعَلْ لِي مِنْ لَدُنْكَ سُلْطَانًا نَصِيرًا

“Dan katakanlah: “Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku dengan kemasukan yang benar lagi mulia,
 serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia;
dan berikanlah kepadaku daripada sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku.”

 

 

 

Bersama membangun mahasiswa agenda.

 

Comments

comments

Comments are closed.