Cakna Penting?

egypt_003
Oleh: Izzat, Kuliah Syariah Universiti Al-Azhar Kaherah

Dunia Islam yang kian bergolak kini menolak untuk saya menukilkan beberapa cebisan rasa hati yang tak mampu lagi dipendam dan disimpan dalam benak ini. Siapa lagi yang mampu diam apabila saudara seaqidahnya ditindas, dihalau, dibunuh, dibakar?

Ingin saya mulakan dengan beberapa persoalan;

Bagaimana suasana dunia yang anda lihat sekarang?

Bagaimana keadaan umat Islam yang anda kenal dan ketahui sekarang?

Setakat mana cakna kita terhadap saudara-saudara kita sama ada yang ditindas mahupun yang sedang bersenang lenang dalam rumah mewah??

Apa yang kita cakna sebenarnya?

Cakna(prihatin) yang kita mahukan sebenarnya bukanlah cakna juz’iyyah atau cakna sebahagian sahaja. Cakna kita pada keseluruhan umat Islam. Mungkin yang hanya difahami daripada cakna itu adalah cakna pada umat Islam yang ditindas sahaja namun hakikatnya ia mestilah merangkumi keadaan keseluruhan umat Islam. Tidak kira pangkat, harta, jawatan, bangsa dan sebagainya.

Cakna pada saudara yang ditindas, mereka yang kebuluran, mereka yang hidup mewah, mereka yang sedang ingin memahami Islam, masyarakat sekeliling kita, pemerintah, ahli keluarga, rakan sekerja dan sebagainya. Seseorang muslim itu tidak sempurna caknanya jika hanya pada sebahagian saudaranya sahaja (contoh: Palestin sahaja). Ia menjadi sempurna apabila kita cakna pada saudara seIslam yang jauh (contoh: Palestin, Mesir, Syria) mahupun dekat (masyarakat di Malaysia).

Sebagaimana cakna Rasulullah pada para sahabat. Baginda bukan sahaja mengambil berat terhadap sahabat yang berada di sekelilingnya bahkan sahabat yang mengembara jauh juga baginda ambil tahu. Bagaimana keadaan penduduk Yathrib sebelum hijrah nabi, bagaimana keadaan sahabat di Habsyah berhadapan dengan raja Najasyi dan sebagainya. Dan sudah pasti keadaan sahabat sekeliling baginda amat baginda ketahui dan prihatin. Tepat sekali hadith baginda Ar-Rasul;

من لم يهتمّ بأمر المسلمين فليس منهم

Barangsiapa yang tidak mengambil berat tentang urusan kaum Muslimin, maka bukanlah dia di kalangan mereka(muslimin) ]

Dunia kini hanya di hujung jari. Perkembangan teknologi semakin lama semakin memudahkan manusia. Hanya klik sahaja seluruh dunia mampu ditelusuri. Tapi dengan kemudahan itu, tidak ramai yang menjadikannya sebagai media maklumat keadaan dunia Islam kini. Tetapi ramai yang lebih ‘prefer’ kepada meluahkan perasaan, berkongsi suka duka di laman sosial dan terkurung dalam dunia mereka sendiri. Dunia Islam yang sedang bergolak di luar, suasana umat Islam di Malaysia dan sebagainya seolah-olah fatamorgana kerana dianggap tiada kaitan terhadap dirinya sendiri. Dunianya kecil dan semakin kecil disebabkan dirinya sendiri. Sibuk ‘post’ tentang diri sendiri, sibuk menatap gambar-gambar dirinya dan rakan-rakan. Dimana Palestin di hatinya? Dimana agenda perjuangannya? Dimana letaknya perjuangan umat Islam di bumi lain dalam hidupnya?

Akhirnya kita berbalik kepada tujuan kehidupan kita sendiri. Akhirnya kita berbalik kepada cara hidup Rasulullah S.A.W. Bagaimana baginda menjadi qudwah kepada umat. Bagaimana ketika baginda menghadapi sakaratul maut, baginda sanggup meminta agar ditimpakan kesakitan sakaratul maut umatnya kepada baginda sendiri. Dan tentunya sangat menyayatkan hati kita apabila kata-kata terakhir baginda ialah ummati, ummati, ummati. Kita sendiri tidak akan menafikan bahawa hidup baginda seluruhnya untuk umat.

Saya bukanlah orang yang paling cakna dan anda bukanlah orang yang tidak cakna pun pada isu umat. Cumanya yang perlu diamati ketika ini adalah apa keutamaan kita saat ini. Apa yang rakan kita dan masyarakat sibuk-sibukkan ketika ini. Dengan munculnya laman sosial, mungkin lebih ramai yang sibuk meluahkan perihal diri berbanding mengambil tahu hal umat Islam.

Akhirnya harapan ini terpikul di bahu kita. Kita sendiri yang berperanan untuk menggerakkan rakan mahupun masyarakat amnya. Sebarkan isu semasa dunia Islam, dalami ijtihad-ijtihad terkini, fahami isu sebenar krisis umat Islam, bantulah saudara seaqidah kita dalam bentuk apa sekalipun. Setiap dari kita adalah wartawan yang menceritakan perihal umat Islam pada masyarakat. Kita tidaklah ketinggalan zaman jika kita tidak mengikut ‘trend’ masa kini tapi kita dianggap ketinggalan zaman jika kita tidak tahu isu semasa.

 

Palestin, Mesir, Syria, Malaysia, Mindanao, Rohingya.. Ada tahu berita?

 

Comments

comments

Comments are closed.