Apreasiasi Sang Ratu

Oleh : Syahidah Abdul Halim, Tahun 3, Kuliah Perubatan, Universiti Mansurah.

Indah saat itu

Jiwaku dibawa terbang

Tinggi

Melangit ke ufuk maya

Bagaikan tiada bayang lagi

Memusat di pasak bumi

 

Jasadku melayang pergi

Tangisan itu aku bisukan

Dakapan hangat itu aku leraikan

Sentuhan gelora itu

Aku matikan

Kekasih palsu yang mengasyikkan

 

Seolah aku menari

Dalam buaian asmara

Kekasih baru

Kekasih nan Tinggi

 

‘Jangan kau pergi lagi’

Engkau pinta

‘Jangan kau berpaling lagi’

Engkau rayu

‘Engkau tidak punya kekasih selain Aku’

Tarianku terhenti

‘Walau kau pergi, Aku tetap di sini menanti’

 

Oh kekasih!

Aku tidak akan

Turun lagi ke bumi

Aku tidak akan

Lepas dari lirik-Mu

Aku mahu

Sentiasa dalam pangkuan-Mu!

 

Oh kekasih!

Ku relakan hatiku

Dalam simpanan-Mu

Kemas

 

Gelap

 

Mimpi itu

bertandang lagi

Hanyut sarafku

Ternoda pedomanku

Kabur pandanganku

Kelabu

 

Mengapa renggutan ini?

Mengapa

Acapkali begini aku diperlakukan

Mengapa

Kau masih di sini?

Wahai kekasih palsu

Mengapa

Kau kembali?

Elita kuasa ghairah

Mendakapku erat

Asyik

 

Lepaskan

Lepaskan

 

Saat ini

Aku lemas

Aku keliru

Bukan

Bukan dia yang bertandang

Tetapi

Aku yang menyerah

Kekasih palsu

 

Saat ini

Aku menangis

Kapan

Aku kembali bahagia

Tinggi

Dalam gelora yang memuncak

Dingin

Dalam mencari rentak tarian

Di hujung  mata

Kekasih itu

Yang Maha Satu

 

Sirna ini

Merenjis kisah

Aku bahagia dalam pesona jemari-Mu

 

Comments

comments

Comments are closed.