Bujang oh bujang!

Oleh : Ahmad Nawfal bin Mohamad Fathel , Tahun Satu, Kuliah Syariah Al-Azhar Mesir

Tempat kedua pertandingan cerpen sempena karnival SENIMAN ’13

Bagi sesetengah orang, bujang adalah sebuah istilah yang geli untuk didengar. Setengah lagi merasakan, bujang adalah keindahan dan kedamaian. Paling teringin adalah bujang. Muncul banyak memori yang menggamit hati apabila disebut bujang.

Saya mengambil yang kedua adalah yang lebih dekat tanpa menafikan lansung yang pertama. Bujang yang tiada masam, tidak makan maggi, poket kosong, mahupun berfutsal siang malam, maka berhak untuk tidak dipanggil bujang. Namun, bujang yang terlalu bujang sebgini juga memang geli untuk digambarkan. Gambarkan sahaja apabila saya menyebut istilah ‘rumah bujang’ . Pasti hingga tandas yang kuning anda akan terbawa-bawa kengeriannya.

Begitulah juga saya dan ahli serumah yang lima ini. Masing-masing ada karakter yang masing-masing. Asas bujang memang ada, Cuma lebih kurang kebujangan itu yang membezakannya.

Lebihnya saya, adalah disebabkan seekor kucing comel yang gemuk yang selalu buat masalah pada Naim yang bukanlah seorang yang gemar sangat dengan binatang. Shawn nama diberi mengikut nama idola saya, Hasan. Bukan Syiah. Tapi seorang tokoh di Mesir zaman awal kejatuhan Turki Uthmaniyyah.

Tiga lagi adalah Zaki, Ismael dan Bilal. Ismael seorang pelajar perubatan manakala bilal dan Zaki adalah pelajar jurusan syariah islamiyah termasuk saya.

Begini, dalam apa-apa pun, mesti ada pertembungan antara dua. Kebanyakan disebabkan kemustahilan untuk haq dan batil ini untuk bercampur. Jadi baik dan buruk itu pasti berpisah dan tidak mungkin akan duduk semeja, makan setalam, tidur sekatil dan tinggal serumah. Berdasarkan contoh reality atau kartun, seperti power ranger dan Naruto  .Yang baik pasti akan menang dan jahat pasti akan tewas walaupun plot kemenangan pasti berliku.

Saya yang berada di antara Bilal dan Ismael, cuba menahan mereka dengan tangan saya. Rasa berderau dalam dada mereka “ Benda boleh selesai, selesai elok-elok. Kenapa perlu gaduh juga?”

Ismael yang memang sudah merah matanya tidak boleh berkata apa-apa. Jika dia berkata juga, semua orang tidak faham. Hampir dirasuk nampaknya.

“Macam yang kau kata tadi, benda boleh selesai cara baik, ada orang selesai cara kasar. Bagaimana kami tidak marah?” Zaki yang menjadi orang kanan Ismael, menengking yang di pihak sana.

Naim yang berada di sebelah Bilal menyambut “Kalau akhlak tu memang teruk, nak buat bagaimana.. layan teruk jugalah!” kata-kata Naim itu membuatkan Ismael kehadapan ingin menyerang Naim. Namun berjaya disekat oleh saya.

Orang sudah sampai Putrajaya, kamu semua masih cakap kotor lagi.

“Hoi. Apalah macam jerit-jerit macam bukan kawan lansung. Bukan benda besar, benda kecil. Isy! Apalah perlunya bergaduh macam ini?” saya separa menjerit. Dua-dua pihak menumpu kepada saya. Ismael masih merah matanya. Yang lain nampak lebih rasional.

Seperti biasa. Isunya hanyalah isu kecil. Bukan isu hilang RM10,000 atau malah isu hilang teman wanita. Isu sebelah pihak yang tidak beberapa kemas dan menggunakan prinsip bujang adalah masam dan selekeh. Apabila bertembung dengan satu lagi yang menjaga kebersihan, maka habislah. Ditambah dengan baik pula tegur salah cara.

Ini kes Men from Mars and Men from Venus. Salah komunikasi maka timbulah masalah.

Tetapi tanpa semua sedar, masalah paling besar adalah saya. Menjadi jambatan tengah antara dua dataran. Pasti dia yang paling menampung beban antara dua.

“kalau ya pun, janganlah bersepah sangat baju tu. Lepas rendam, terus sidai. Jangan biar seminggu terperap dalam besen. Busuk bilik air nanti” Bilal separa menjerit kepada Ismael.

“kau pun tak lebih tak kurang. Kalau ya pun nak tegur, janganlah sampai buang baju dalam tong sampah. Aku rasa kalau kau kena, kau mesti marah juga lah! ”

Naim mengajak Bilal ke bilik. Dia cuba menenangkan Bilal yang nampak kembali marah apabila mendengar kata-kata Zaki. Dia berpaling ke Zaki ketika menuju ke bilik.

“lain kali jagalah sikit kebersihan. Kalau tak nak pun jagalah sikit akhlak.”

Ismael menyambung “ kau pun sama lah!”

Saya hanya menghembus nafas. Kali ini lebih dalam

Banding dengan Muhannad at-Tohir memang tiada apalah mereka ini. Jika dibandingkan dengan Justin Bieber juga mereka tewas. Paling kurang budak perasan comel itu sudah kaya dan ada perkara besar yang sudah dibuat. Banding dengan Magnus Carles juga mereka kalah.

Mudah sahaja, tiada benda besar dalam kepala, baju kotor sudah dianggap perkara paling besar.

Sebelum kejadian tadi, Memang sudah banyak berlaku kejadian bergaduh seperti itu. Isu tidak masak, isu kebersihan, isu hilang barang dan pelbagai lagi.

Pernah sekali saya mengajak Zaki dan Ismael keluar untuk diajak berbincang. Dengan harapan dapatlah membuka paradigma mereka untuk berfikir di luar kotak hidup mereka. Namun hampa. Alasan bujang juga yang paling kuat.

“Habis, selama-lamanya mahu menjadi bujang masam macam ini?” soal saya dengan nada yang lebih serius selepas saya berpusing-pusing bertopik-topik untuk sampai ke sini. Sambil di tangan ada segelas air tebu beharga satu geneh .

Dengan selesanya Ismael menjawab, “Jangan tergesa-gesa akhi., gunung di hadapan tak lari. Sampai masa kami berubah, kami janji kami akan berubah. Sampai masa kahwin kami kahwin insyaallah”

“betul.. betul “ kata Zaki membenarkan tanpa menoleh ke arah saya. Tertumpu pada Air Mangga dicampur susu berharga lima geneh . Ismael juga dapat air yang sama. Terpaksa saya minum air segeneh kerana memberi peluang kepada mereka berdua menikmati air yang lebih mahal dan sedap. Bodek bahasa mudahnya.

“tapi sampai bila?. Masa muda, masa yang mahal, paling kurang berubahlah perlahan-perlahan. Mungkin dari segi penyusunan masa atau kebersihan.. boleh insyaAllah. Aku yakin kau boleh berubah.”

SLURRP!  Bunyi air Zaki sudah habis. Paling tidak tahan sekali apabila Zaki dengan tidak kesahnya meminta tambah Air Mangga bercampur susu. Panasnya, soalan saya tidak pula dijawabnya.

Saya juga mencuba mengajak Naim dan Bilal. Namun yang sempat bersama Bilal sahaja kerana Naim sibuk kelas talaqi hampir setiap malam. Pening juga kalau setiap hari bergaduh. Mungkin jika diubah pihak yang baik ini, mungkin mudah kerja perdamaian rumah saya. Hasilnya menyedihkan juga. Berhadapan dengan orang yang agenda yang salah ternyata lebih merumitkan.

“kenapa nak salahkan ana pula, mereka yang buat masalah dulu. Enta nak salahkan kami pula?”

Saya seluruhi muka dia, “bukan macam itu, orang yang lebih faham akan nampak sesuatu perkara lebih besar dari orang biasa. Banding mereka berdua, antum lebih arif. Jadi sepatutnya antum lebih matang dalam selesaikan satu isu.”

“tak semudah itu akhi. “

Saya mengangkat kening. “Apa yang tak mudah?”

“Kami sebenarnya susah sikit dengan orang yang pengotor. Saya bukan tak boleh nak kotor Cuma tak kena la rasanya nak masuk dengan orang seperti ini”

Semestinya saya menggeleng. Mengenangkan duit yang dikeluarkan membawa dia ke taman-taman sejauh ini, memang menghampakan. Sungguh sempit pemikiran bujang seorang ini.

Pening kepala memikirkan lima orang bujang memang sukar. Lagi ikut kepala sendiri. Tapi jujur, saya tidak menyalahkan mereka. Masing-masing ada karakter bujang yang tersendiri. Saya tidak kisah Ismael kerana bersikap sebegitu. Sebenarnya memang susah seorang yang belum berkahwin ingin menjaga kekemasan. Saya juga tiada masalah dengan Bilal dan Naim yang lebih baik. Malah saya yakin mereka boleh berubah.

Namun selepas beberapa minggu, mereka masih tidak berubah. Pening kepala dibuatnya. Pelbagai cara dilakukan namun hasil bukan seperti yang diimpi. Saya tertekan. Hampir ingin meninggalkan rumah dan pergi mencari rumah yang lain. Rumah yang ideal dan kena dengan kepal sendiri.

Buat masa ini, teman yang lebih rapat adalah shawn. Kamu semua ingin bertegang pergilah bertegang. Biarlah Shawn yang menjadi kawan saya. Tidak perlu bujang yang masam atau bujang yang terlalu semangat menjaga kebersihan.

Saat bujang adalah saat nikmat. Kenapa perlu rumitkan?

Semakin lama semakin saya berubah. Saya tidak bergaul dengan mereka, saya tidak kesah apa yang mereka lakukan. Kerap membuang masa. Kehidupan makin selekeh. Bilik berselerak dengan baju yang hampir tiga minggu tidak dibasuh. Secara fizikalnya masam, otak pula makin lembap.

Hinggakan Bilal dan Naim menegur saya. Dahulu saya yang sakan menegur orang, kini saya ditegur kerana masalah-masalah kecil. Mula-mula tidak selesa, tetapi lama-lama kelamaan rasa seronok pula timbul!

Saya menghayati erti bujang yang sebenar dengan bantuan Zaki dan Ismael. Rutin ditukar dengan diisi wayang dan futsal yang kerap. Jiwa bujang menyerap masuk dalam diri saya dalam tempoh beberapa minggu ini sahaja.

Enak, sangat enak!

Enak ketika kita mengenal erti bujang yang sebenar. Jika ini erti bujang yang sebenar, mengapa perlu mencari erti bujang yang lain?

Pernah sekali saya mengutuk Bilal kerana menganggap kehidupanya sangat membosankan.

“Janganlah terlalu stress, hidup ini tenang” malah saya menambah rasa “aku tak sangka ada orang yang boleh hidup macam kau. Tak tau bahagian mana hidup kau yang best ..”

Marah bilal mendengar cemuhan saya. Kalau bukan kerana Naim yang menghalang, sudah tentu dihentam saya pada ketika itu Saya berani berkata begitu kerana begitu yakin hidup saya sekarang ini adalah yang terbaik.

Cuma Alhamdulillah, saya diselamatkan Allah. Situasi bujang senang ini tidak terlalu lama dalam kamus hidup saya. Semuanya gara-gara Shawn yang mati pada suatu hari. Tanpa siasat, saya terus mencari Naim dan menumbuk mukanya, kerana Naim seorang sahaja yang tidak menyukai kucing saya. Sebagai seorang yang tidak biasa bergaduh, tumbukan ke muka Naim adalah tumbukan yang paling kuat yang pernah dilakukan.

Pergelutan besar berlaku di rumah. Seolah bom yang menanti letup, semuanya bergaduh sakan. Paling teruk semestinya antara Bilal dan Ismael. Penuh mulut Bilal dengan darah. Ismael memang membantai habis Bilal dan akhirnya kami yang lain pula terpaksa meleraikan.

Kesan daripada itu, kami berpisah. Bilal dan Naim  berpindah ke rumah lain. Tinggal menetap di rumah hanya ada Saya, Ismael dan Zaki.

Tidak kena. Itulah perkataan yang paling tepat merungkaikan perasaan saya.

Bujang yang difahami Ismael ternyata bujang yang berbeza dengan kefahaman saya. Saya menemui rasional saya kembali dan berpindah hanya sebulan tinggal dengan Ismael. Zaki juga keluar dua minggu selepas saya keluar kerana tidak tahan dengan perangai Ismael.

Bujang, bujang juga. Namun jika rumah terlalu kotor hingga hancing, siapa yang sanggup tahan.

Akhirnya, dengan resolusi baharu, saya dan Zaki memasuk rumah yang didiami oleh Naim dan Bilal. Cerita lama kami tolak ke tepi bersama. Dengan keyakinan bahawa bujang boleh berubah, kami membina rumah kami bersama-bersama.

Zaki juga masih dengan dirinya yang sama. Maksudnya, ada nilai bujang yang kuat. Banyak situasi, selepas ditegur, barulah zaki mengambil peduli.

Pernah sekali selepas pulang dari kuliah, saya perasaan satu suasan baru di sebalik Zaki. Beliau membuka baju dan meletakkan dalam almari, beg di atas kerusi, penghembus wangian automatik yang dibelinya menggunakan duit sendiri, tilam yang kemas bercadar dengan selimut di hujung tilam.

“jadi awak ada definisi baru tentang bujang,?” Bilal bertanya kepada saya.

“tidak, masih sama. Bujang kalau tidak masam bukan bujang. Kalau bukan selekeh bukan bujang”

“bujang dididik? Atau so called bujang ditarbiyyah?”

Saya ketawa. “ah, itu bonus. Selepas dididik mestilah ada istimewa. Mestilah bujang yang profesionalis, matang, berdaya saing, kehadapan, malah menjaga kebersihan”

Bilal senyap. Dan menyambung.

Mp>

“Awak tahu bagaimana kisah sebenar kucing awak, Shawn mati?”

Menggeleng. “bagaimana?”

Naim kata, sehari sebulan Shawn mati, Shawn masuk dalam bilik air dan minum air perap baju Ismael yang sudah sebulan. Terus.. esok mati”

Saya menahan gelak walaupun dalam hati sebenarnya rindu pada Shawn dan juga rasa nak pukul Ismael.. “serius?”

Bilal mengangguk dan berkata “Naim yang cerita. Tapi rasanya masuk akal juga. Air yang beracun memang siapa-siapa minum pun meninggal” ketawa bilal apabila beliau menyebut perkataan racun melambangkan air perap yang terlalu kotor.

Saya hanya senyum panjang. Bujang oh bujang!

Comments

comments

Comments are closed.