CAFÉ CINTA- Gurindam Sukma

 

Tett…

You’ve got  1 message

From: Adam

“ Salam ‘alaik, Fara. Apa perkembangan  terkini mengenai gerak kerja daripada AJK akhawat? Semua urusan sebelum program dapat dijalankan dengan baik?”


Tett…

You’ve got  1 message

From: Fara

“Alhamdulillah, semua unit dapat menjalankan tugasan dengan baik.”

 

Tett…

You’ve got  1 message

From: Adam

“Semoga Allah balas setiap amal. Rehat secukupnya, Fara. Banyak lagi kerja menanti. Sudah  makan ubat hari ini?”


Fara tergamam. Dia menggumam istighfar yang panjang.

Kenapa mesej sang arjuna, berencam pelik ?

Ya Allah, jagalah kesucian cinta hatiku, hanya pada Mu.

***

Batu kerikil di jalanan, dikuis ke tepi.  Jam di tangan dikerling, sudah pukul 9 pagi gamaknya. Dahi Adam mula berkerut, temannya lewat 10 minit daripada masa yang telah dicanang.

Di mana dia sekarang? Biasanya dia on-time. Lincah sahaja kaki Adam bergerak menghala ke bangku batu, condong di pinggiran taman. Al-Quran dikeluarkan, helaian diselak. Tilawah hari ini, masih belum dicerna.

Fahmi tercungap-cungap keletihan. “Adam, sudah lama tunggu? Maalish, aku ada hal yang perlu diselesaikan.”

Adam menghadiahkan senyuman pada sahabat lamanya. “Tidak mengapa.. Orang busy, begitulah taranya. Bangku duduk ini, belum sempat berasap lagi. ”

Tangan yang dihulur, disambut erat. Lama rasanya tidak meluangkan masa, berkongsi masalah, dan seribu cerita.

Mereka tenggelam dalam kesyahduan, nikmat ukhuwwah.

***

Keheningan malam menghantar ketenangan, ke dalam jiwa. Dada langit yang gelap, dihiasi bintang-bintang bergemerlapan, menjadikan pemandangan indah tidak terlupakan.

Sejadah dihampar, Al-Quran mula dicapai. Dunia lenyap, ditenggelami air mata memohon keampunan daripada Nya.

“Istikarah telah aku lakukan berkali-kali bagi memohon petunjuk. Benarkah ini jawapannya, Ya Allah.”

Telefon bimbit dicapai padu, menggerakkan momentum dari atas meja.  Mesej ringkas dihantar kepadanya.

Hati mengharapkan jawapan secepat mungkin daripada empunya diri. Degupan jantung berdegup laju.

Hantukan soalan, mula menghambat benakku. “Benarkah, ini caranya?”

Telefon bimbit berbunyi.  Mesej masuk tidak diduga.

“Ya, Adam.boleh sahaja. Kita berjumpa di tempat biasa, jam 3 petang?” .

Segera aku membalas, “Baiklah,in sha Allah.”

***

Fahmi membuka bicara, merungkai jeda di pagi hari. “ Telefon bimbit engkau, berbunyi tadi. Aku duga, untaian mesej kerap menyinggah saban hari.”

Adam mengangkat kaki, bersila di atas kerusi batu. Dia melepaskan dengusan lembut, secara tidak sedar.

“ Aku tanya soalan, alih-alih bunyi yang aku dapat? Bro, are you okay?

Kening Fahmi terangkat, serius lagaknya memohon jawapan daripada Adam.

Adam tersengih, menduga kesabaran Fahmi sejenak. “ Relaxlah, aku tengah susun ayat ini. If aku salah cakap, nanti engkau salah faham pula”.

Fahmi mengoyak senyuman,  lantas Adam menjadi tidak keruan.

“ Eh, tiada angin, tiada ribut. Masakan, bisa tersenyum lebar? Pelik sungguh engkau, Mi.” Adam berkonklusi, mungkin Fahmi sedang mengingati gelagat anaknya di rumah.

Fahmi mempamerkan riak wajah yang nakal. “Aku tahu gelora yang menikam jiwa engkau. Sekilas ikan di laut, boleh di duga jantan betinanya.

Adam terdiam, seribu bahasa. Bahu Fahmi ditolak secara lembut. “ Amboi, persis ahli nujum lagaknya. Lantaran engkau terlampau arif, justeru aku tidak mahu berbicara.”

Fahmi menggaru kepala. Dia ketawa spontan, melihat karenah Adam yang sungguh keanakan.

“Baiklah, aku nak beli air sebentar, dahaga rasanya.”

“Fahmi…”

Langkah Fahmi terhenti. Badannya kembali diatur, menghadap ke bangku batu tadi.

“ Aku rasa, aku mahu….”

Anggukan Fahmi, meleraikan kekusutan di raut wajahnya.

Adam terpempan, malu.

***

Mata yang letih menuntut rehat, kini kembali segar. Jantung berdegup kencang, aneh daripada biasa. Apakah perasaan ini. Kenapa mesej ringkas tadi, mengganggu lena?

Tangan Fara meraup muka,  keresahan hati kian memuncak. Isyarat dihantar ke anggota tubuh, supaya bangun.

Kaki diatur ke kolah, tirai resah mula dilunakkan dengan siraman wudhu’.

Esakan Fara semakin meninggi. “Apa yang telah aku lakukan? Diri ku telah menjadi fitnah buat si dia.”

“Ya Allah, ampunilah dosaku. Jauhilah diriku daripada menjadi alat suntikan syaitan yang durjana.”

Sang rembulan mengintai di jendela, turut menangis hiba.

***

Dua kali perjumpaan AJK Akhawat, Fara tidak hadir. Meskipun begitu , setiap gerak kerja terbaru yang disepakati dalam perjumpaan, Fara jalankan dengan sebaik mungkin.

Kak Sara pada awalnya, tidak bersetuju dengan keputusan Fara.

Namun, dia tidak lagi mempersoalkan pelepasan itu.

Kak Sara mula berpuas hati dengan hasil usaha Fara.

Dia mengelus lembut bahu si gadis berlesung pipit itu.

Serpihan azimat dibisikkan, lunak di telinga. “Perbaharui niat, ukhti ku.”

Fara menggangguk, tersenyum harmoni.

***

Laluan masuk telah diasingkan buat ikhwah dan akhawat. Mata Adam terhenti pada sepotong susuk tubuh. Pandangannya menunduk sedari tadi.

Perasaan bersalah, kembali menghantui Adam.

Ekor matanya segera dilarikan. Dia mula membasahi lidahnya dengan sekeping ayat Al-Quran.

Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan  memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.”

“Ya Allah, peliharalah diriku”.

Tepukan di bahu, menyedarkan Adam daripada lamunan. Pengarah Pusat sempat mengusik.

“Enta berdoa untuk keselamatan, bumi Mesir?”

Rona muka Adam, merah menyala. Perasaan malu, sukar diduga.

Dia lantas tertunduk,  mengiakan sahaja.

***

Ucapan tahniah nan kudus mengunjung tiba ke koklea Adam. Para ikhwah acap kali melepaskan kekaguman pada kejayaan program kendalian Adam, kali ini.

Adam hanya betah, menghadiahkan gugusan senyuman buat mereka. Mulut Adam laju sahaja ibarat bertih jagung, meminta para ikhwah agar mendoakan kethabatan nya beramal dengan ikhlas pada jalan ghurabaa’ .

Dia merendah diri.

Kalamnya sentiasa segar dengan penghargaan tertinggi.

“Segala kejayaan yang diperoleh pada hari ini, adalah hasil daripada usaha ikhwah dan akhawat yang tidak jemu mendoakan kudrat kami.”

Adam menala pandangan ke pintu hadapan dewan. Susuk tubuh Pengarah Pusat, sempat singgah di retina matanya.

Sang Pengarah menunjukkan isyarat ibu jari yang ditalakan ke atas. Adam menyungging bibirnya, memulangkan semula pujian itu kepada sang pencipta.

“ Haza min fadhli rabbi.”

Perut Adam mula berbunyi sayu, meminta simpati untuk diisi. Dia membuka langkah, ke café dewan.

Namun, ayunan sepatunya terhenti apabila bayangan wajah itu, kembali terlayar di minda.

Adam berasa serba tidak kena. Dia terus beristighfar atas kelalaian azali.

“Mengapa Fara sering muncul, dalam ingatan aku?”

“Apakah yang perlu, aku lakukan?”

 

 

-TAMAT-

Comments

comments

Comments are closed.