Menggenggam Ijazah, Menjulang Risalah

 

 

Oleh : Amar Ismat Bin Mohd. Nasir , Kuliah Usuludin , Al-Azhar  Kaherah 

[ Pemenang Tempat Pertama SENIMAN’13 Kategori Artikel ] 

 

“Mahasiswa Azhar tak ada kualiti!” bisik seorang majikan.

“Doktor dari Mesir ni semua benda tak tahu! Macam mana boleh dapat certificate ni?” Keluh jururawat yang bertugas di sebuah hospital kerajaan.

Biasa terdengar perbualan seperti ini? Jika biasa, jaga-jaga! Takut-takut ada yang bakal menjadi penerus legasi tempang ini.

Isu kualiti sang mahasiswa Melayu Mesir bukan isu yang asing di negara. Bahkan sudah menjadi perhatian sekian lama. Cuma, apa tindakan sang mahasiswa untuk mengharumkan kembali nama Melayu di Al-Azhar dan Mesir secara umumnya?

 

BEGIN WITH THE END IN YOUR MIND

Ini salah satu konsep yang ditekankan oleh Dale Carnegie. Rupanya, Rasulullah juga sudah mengemukakan teras yang sama apabila menekankan tentang kepentingan niat. Permulaan yang mengakar kukuh akan menghasilkan pohon mencakar langit ketujuh.

Mahasiswa Mesir perlu jelas terhadap beberapa persoalan semasa mula melangkah  ke kuliah, antaranya; Siapakah mereka 10 tahun yang berikutnya? Ke mana ilmu yang diperolehi ini akan dicurahkan? Apakah keperluan masyarakat dengan ijazah ini? Sejauh mana risalah Islam ini akan dijulang dengan genggaman segulung ijazah ini?

Apabila persoalan-persoalan ini yang ligat bermain dalam fikiran sang mahasiswa, maka kita akan memerhatikan corak kehidupan yang amat berbeza dalam agenda seharian mahasiswa. Setiap inci hidupnya adalah satu bentuk ta’abbudi (menzahirkan perhambaan) pada Allah, dan ijazah itu termasuk daripada inci-inci tersebut. Sang mahasiswa tidak memahami, melainkan untuk bersungguh-sungguh dalam meraih ijazahnya itu, kerana dia tahu ijazah itu adalah antara jalan bagi beliau untuk mendapat sijil pengiktirafannya yang sebenar di hari Akhirat nanti.

 

PRACTICE MAKES PERFECT

Visi yang jelas, tidak akan bermanfaat tanpa latihan yang kerap. Sang mahasiswa perlu proaktif dalam melengkapkan diri untuk menjadi seorang doktor, sama ada doktor kepada pesakit atau doktor masyarakat secara umum. Kuliah, bacaan, penulisan, sparring,  dan study group perlu dilazimi untuk membekalkan sang mahasiswa dengan kelengkapan yang secukupnya untuk era pasca siswazah di hari kemudian.

 

FINAL TOUCH

Setelah semua ini dilakukan, hadaplah pada Tuhan Yang Maha Esa. Pintalah agar Dia mengurniakan yang terbaik buat sang mahasiswa. Barangsiapa yang Allah inginkan padanya kebaikan, maka Allah akan memahamkannya tentang agama (Islam). Jika risalah akan tertegak dengan segulung ijazah daripada sang mahasiswa, maka Allah tidak akan berlaku zalim pada hamba-hambaNya. Kejayaan itu hampir, insya-Allah buat hamba yang yakin akan kudrat-Nya.

 

Walaupun terdapat pelbagai unsur luar seperti kuliah yang kurang kondusif, suasana masyarakat yang kurang selesa yang kadang kala membantutkan perjalanan sang mahasiswa Mesir, itu tidak sepatutnya dijadikan alasan. Setiap tempat dan ketika ada mehnah dan tribulasinya. Yang penting, Allah hanya  akan memberi petunjuk dan hikmah itu kepada mereka yang bersungguh mendapatkannya.

 

Ayuh sang mahasiswa, mari genggam ijazah, dan julang risalah!!!

 

Comments

comments

Comments are closed.