Epilog Sang Tinta

Oleh:  Nadhirah Muhammad Yusuf , Tahun 5, Kuliah Perubatan, Universiti Kaherah.

 Amir berdiri pantas apabila melihat Cikgu Rosmah sudah berada di muka pintu kelas 2 Aman. “Bangun semua!”

Semua murid tahun 2 Aman menurut arahan ketua kelas, lantas menjawab salam yang dihulurkan oleh guru Bahasa Malaysia mereka.

“Assalamualaikum semua!”

Seragam satu suara bergema. “ Walaikumussalam, cikgu!”

Cikgu Rosmah mengeluarkan rotan panjangnya, memandang satu-persatu wajah anak-anak kecil di hadapannya.

“Letakkan latihan karangan yang cikgu berikan semalam di atas meja sekarang. Cikgu akan ke meja kalian, mula daripada barisan paling belakang.”

Nani sudah berpeluh. Dia mencari buku tulisnya di dalam beg merah yang sudah bertampal sana-sini. Tiada. Puas diseluk semua bahagian yang ada. Nani mengetap bibirnya. Matanya mula berkaca.

“Nani, di mana buku kamu?”

Nani pantas mendongak. Wajah Cikgu Rosmah sudah berada di hadapan mata. Mata Nani memandang rotan panjang itu. Namun, Nani hanya mampu menelan air liur.

“Cikgu, Nani sudah menyiapkan karangan tentang Ibu. Nani cakap benar, Nani tidak menipu. Tetapi, Nani tidak tahu ke mana buku Nani menghilang. Buku itu tiada di dalam beg Nani.”

Air mata Nani sudah mengalir laju, sambil memegang beg merah lusuh miliknya.

Cikgu Rosmah memandang sayu wajah anak nelayan itu. Dia mengesat air mata Nani. Rotan panjang diletakkan ke lantai. “Cikgu tidak suka kalau anak murid cikgu menipu. Baik, cikgu percayakan Nani. Tetapi cikgu mahu Nani tulis karangan itu semula. Nani, sila buat sekarang.”

Nani pantas mengambil penselnya. Pensel hadiah arwah ibunya, dan mengarang dengan mata yang masih basah.

“Terima kasih cikgu, kerana percayakan Nani.”

Sedang dua orang gadis di belakang kelas berbisik-bisik. Muka mereka mencebik.

“Tidak berjaya rancangan kita kali ini!”

***

Hari ini, Nani di Mesir. Memandang wajah penulis tersohor dihadapannya.

Cik Izzah Huzaira mengingatkan “ Mari menjadi penulis yang disayangi Tuhan.”

Nani menggenggam pensel daripada arwah ibu beserta karangan tentang ibu, 12 tahun lepas. Nafasnya mengalir bersama kata-kata semangat daripada Cikgu Rosmah.

“ Ya, aku mahu menjadi penulis yang disayangi Tuhan.”

Nani mula mencoret ilham daripada Tuhan.

Sang suria mengintai di balik jendela, tersenyum ceria menyerikan alam buana.

 

-TAMAT-

 

 

Comments

comments

Comments are closed.