Kunci

Oleh: Noor Husna Abu Khair, Tahun Satu, Kuliah Syariah Al-Azhar

“Orang-orang yang mempunyai kesesatan di hati, mereka akan mengikut sesuatu yang mengelirukan dengan tujuan menimbulkan fitnah dan menyelewengkan pentafsirannya.” (Ali-Imran: 7)

Danial menyapa Ajim sambil menepuk bahu, “Kau tahu apa dah jadi sekarang di Malaysia?”

Ana baru balik dari Mesir, manalah ana tahu,” jawab Danial dengan selamba.

Inilah situasi mahasiswa sekarang. Semasa di Mesir, belajar bersungguh-sungguh hingga makan pun tidak sempat, malah tidak sempat buka berita walau sekejap tanda cakna isu negara sendiri. Facebook jangan ditanya, 24 jam terbuka pun tiada masalah.

Apabila nikmat pemberian Allah SWT kita tidak gunakan dengan sebaiknya, inilah yang akan terjadi. Bertuahnya kita kerana Allah memberi peluang yang besar bagi melanjutkan pelajaran di Mesir, bumi barakah ini. Bumi yang padanya beribu tahun dahulu, para anbiya’ menyampaikan risalah Islam yang indah tiada tara. Bumi tempat lahirnya para mujahid dan pemuda-pemuda muslim bagi terus membawa panji-panji Islam, yang sekiranya tidak kita sambung perjuangan itu, maka ia akan luput dan tenggelam ditimbus oleh budaya puak penentang.

“Pertempuran dan perpecahan yang berlaku tidak pernah menguntungkan mana-mana pihak dalam negara melainkan musuh negara…” (Dr Muhammad Badie’, Mursyidul Am Ikhwan Muslimun)

Fenomena hiburan luar kawalan, fahaman yang pelbagai; syiah, liberal, kewujudan persatuan-persatuan aneh seperti Sisters in Islam dan sebagainya, dilihat kini sebagai satu ancaman terhadap tanah air kita, Malaysia. Boleh sahaja kita menuding jari menyalahkan pihak luar sebagai punca perpecahan. Namun, perlu juga selalu kita renung ke dalam diri. Tanyakan pada diri kita sendiri; apa yang sudah kita lakukan, dan apa pula yang belum kita lakukan bagi memartabatkan Islam di tanah air sendiri.

Kunci utama kemenangan Islam adalah pegangan utuh pada Al-Quran dan As-sunnah Nabi Muhammad SAW. Islam bukan sekadar suatu sistem kepercayaan, malah ia adalah sebuah sistem bagi meluhurkan jiwa dan mengasuh manusia membudayakan sikap-sikap yang terpuji dengan panduan dan bimbingan akhlak serta akidah. Islam adalah sistem maha lengkap yang merangkumi hal ehwal ekonomi, sosial, satu kumpulan sivil, undang-undang jenayah, dan sebagainya.

****

Sabda Nabi Muhammad SAW ketika menggali parit dalam peperangan Khandak yang bermaksud: “… Konstantinopel( kini Instanbul ) akan jatuh ke tangan Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya sebaik-baik tentera…” ( Hadith riwayat Imam Ahmad)

Baginda adalah Sultan Muhammad Al-Fateh yang terkenal dengan keperibadian seorang pemuda yang sangat menjaga solat fardhunya sehari semalam, tahajud dan juga rawatib sejak baligh hinggalah saat akhir nafas di bumi Allah ini. Bahkan baginda turut memperolehi tentera yang turut tidak pernah meninggalkan solat wajib sejak baligh dan separuh dari mereka tidak pernah sekali meninggalkan solat tahajud sejak baligh. Itulah si anak muda yang berumur21 tahun yang dijanjikan Rasulullah SAW.

Itu kisah si anak muda bernama Muhammad Al-Fateh. Kisah terbilang yang dapat kita contohi bagi melakar sejarah diri yang ingin kita tinggalkan, supaya diwarisi dengan bangganya oleh kaum keluarga, masyarakat, dan seluruh umat Islam tentunya. Persiapkan diri dengan berpandukan sistem yang sudah disediakan dengan sempurnanya oleh Allah, iaitu Islam, mudah-mudahan kebahagiaan dunia dan kenikmatan syurga menjadi milik kita.

“Katakanlah (wahai Muhammad kepada umat Islam dan dunia), “Sekiranya kamu mencintai Allah, ikutlah (jalan) aku, nescaya kamu akan dicintai Allah dan Dia ampunkan dosa-dosa kamu.” (Ali Imran: 31)

Terkenang kembali rentetan ringkas, sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam usaha baginda untuk menyebarkan Islam. 23 tahun adalah satu tempoh yang sangat singkat jika kita lihat pada kejayaan membangunkan sebuah tamadun Islam yang gemilang satu masa dahulu. 13 tahun perjalanan dakwah baginda di bumi Mekah dengan dibebani ujian dan dugaan yang bertimpa-timpa, serta liku kehidupan baginda dalam usaha menyebarkan Islam.

Namun, di sanalah tapak asas terbinanya susuk individu Muslim yang menjadi pasak terpenting bagi Islam. Seterusnya, dakwah baginda SAW diperluaskan di bumi Madinah. Di sana baginda SAW menumpukan pembinaan dakwah kepada pembinaan dan pembaikan akhlak dalam kalangan umat Islam.  Walaupun begitu, pendidikan keimanan masih lagi diteruskan kerana itulah yang paling utama.

****

Antara tujuh susunan amal yang perlu kita lalui sebagai Muslim, di muka bumi Allah ini dan salah satu kunci menaikkan daulah Islamiah di persada dunia kelak juga tanda kecintaan kepada Sang Pencipta, Allah SWT.

Pertama

Pembentukan individu muslim. Agar kuat tubuh badan, akhlak, fikiran dan bermanfaat kepada orang lain.

Kedua

Membentuk keluarga muslim. Dengan kaedah menjaga adab-adab yang telah digariskan Islam dalam membentuk kehidupan di rumah, bermula dari memilih pasangan, membantu pasangan dan menunaikan hak dan kewajipan, samada dalam pendidikan anak-anak serta membesarkan mereka di atas prinsip Islam.

Ketiga

Membimbing masyarakat dengan menyebarkan dakwah kepada mereka dengan membanteras segala kemungkaran dan menggalakkan pengamalan akhlak-akhlak yang mulia.

Keempat

Membebaskan tanah air Islam dari sebarang kekuasaan dan pengaruh orang asing yang bukan Islam samada dari aspek politik mahupun ekonomi dan ruhi.

Kelima

Memperbaiki kerajaan menjadi kerajaan Islam sebenar, anggotanya dari kalangan orang Islam, mereka menunaikan amal-amal fardhu, tidak melakukan maksiat dan melaksanakan hukum hakam dan ajaran Islam.

Keenam

Mengembalikan struktur antara bangsa bagi umat Islam dengan memerdekakan tanah air, menghidupkan zaman kegemilangan, merapatkan jurang perbezaan ilmu dan menyatukan keputusannya sehingga membawa kepada kembalinya Khilafah Islam yang telah hilang.

Ketujuh

Memimpin dan membimbing alam dengan meluaskan dakwah Islam ke segenap ceruk ruang, ke seluruh pelusuk dunia.

Imam Hasan Al-Banna menyeru:
“ Wahai barisan pejuang Islam, medan perjuangan anda yang pertama ialah diri sendiri, yakni hawa nafsu. Jikalau anda berhasil menaklukinya, nescaya dengan mudah anda akan menakluki musuh-musuh yang lain. Tetapi kalau tidak mampu menaklukinya, jangan harap anda dapat menakluki musuh-musuh yang lain.”

Pembinaan individu muslim boleh dilihat sebagai batu bata yang paling utama atau fasa yang terpenting dalam pembinaan sebuah negara Islam. Sebelum otak kita berfikir untuk mendirikan rumah tangga atau membina sebuah keluarga bahagia, kita berhenti sejenak koreksi diri, “Adakah aku cukup baik dalam pembinaan diriku sendiri?” Ataupun jika terfikir ingin membina daulah Islamiah, pembinaan diri harus diutamakan terlebih dahulu. Tertegaknya Islam bukanlah dari usaha yang remeh, seperti kita duduk sambil menggoyangkan kaki. Tetapi usaha ini memerlukan sebuah kesungguhan, pengorbanan yang tinggi dalam diri setiap individu. Islam tidak akan tertegak jika individu dalam masyarakat bermasalah.

Kesimpulannya, setiap individu Muslim perlu melakukan persediaan yang rapi sebelum berusaha ke arah membina daulah Islamiah.

Imam Hasan Al-Banna berkata:

“Saudaraku, janganlah engkau berputus asa, kerana putus asa bukan akhlak seorang muslim. Ketahuilah bahwa kenyataan hari ini adalah impian kelmarin, dan impian hari ini adalah kenyataan hari esok. Waktu masih panjang, hasrat akan terwujudnya kedamaian masih tertanam dalam jiwa masyarakat kita. Meskipun fenomena-fenomena kerusakan dan kemaksiatan menghantui kita. Yang lemah tidak akan lemah sepanjang hidupnya dan yang kuat tidak akan selamanya kuat.”

 

 

Comments

comments

Comments are closed.