Hijrah Mahasiswa dan Hijrah Sahabat

Oleh: Hamzah Ahmad, Tahun 1, Kuliah Usuluddin, Universiti Al-Azhar (Kaherah).

“Arghh!”.

Satu tempekan terbentuk di bantal ketika membaling IPhone 4s miliknya. Suaranya yang kuat memecah kesunyian malam yang sejuk menggila itu. Hazwan seorang pemuda yang berada dan berketerampilan, berasal dari selatan tanah air. Dia merupakan pelajar tahun satu jurusan perniagaan di universiti tempatan.

Hazwan pantas mengambil semula telefon bimbitnya dan menekan pada skrin yang tertera ‘Messaging’ dan memilih kotak ‘Inbox’. Tertera nama Ustaz Qayyum pada mesej pertama dan Hazwan terus membacanya semula. Nafas kasar terhembus dari hidungnya.

“Kenapa mesti aku?”, monolognya keseorangan. Buku sirah Ar-Rahiq Al-Makhtum diambil dari atas mejanya dan terus dibaca pada muka surat bertanda.

Mus’ab bin Umair, nama yang tidak asing dalam sejarah Islam. Kekayaan dan kemegahan sudah menyelebungi hidupnya sejak kecil. Diberikan pakaian yang mahal dan wangian yang terbaik. Bahkan dianugerahkan ketampanan pada wajahnya dan tegap badannya sehingga digilai gadis-gadis di sekitar Mekah. Semuanya lengkap. Apa lagi yang tiada?

Iman. Ya. Itulah jawapannya. Tiadanya iman maka terhapuslah segala nikmat yang lain kerana iman itu adalah paksi. Kerana iman itulah menyebabkan Mus’ab bin Umair memilih untuk meninggalkan segala kemewahannya hanya kerana iman. Memang sangat gila untuk seseorang yang memiliki kehidupan yang hampir sempurna, tiba-tiba meninggalkannya begitu sahaja hanya kerana iman. Hijrahnya satu pengorbanan yang besar yang tidak mampu dilakukan oleh orang biasa. Tidak mampu dilakukan oleh orang Islam kecuali mereka yang ‘Mukmin’.

Peristiwa hijrah sudah banyak diceritakan dalam buku-buku sirah. Hijrah Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabatnya sudah acap kali kita dengar apabila masuknya bulan Muharram dalam kalander Islam. Persoalannya sejauh mana suasana hijrah zaman dahulu mampu diterjemahkan dan diaplikasikan serta menjiwai peristiwa tersebut dalam diri dan masyarakat Islam amnya. Bukan setakat meriah menyambut Maal Hijrah setiap tahun tetapi prestasi penghijrahan diri dan pengorbanan yang dilakukan tidak sehebat dan semeriah sambutannya.

Hari ini, setiap kali masuknya tahun baru samada Masihi atau Hijrah, pasti akan terdengar dialog seperti:

“Tahun ini aku azam nak capai straight A dalam SPM”.

“Saya nak dapat nombor satu dalam kelas”

“Bisnes tahun ini mesti lagi bagus dari tahun lepas”

Dan bermacam-macam lagi dialog seumpamanya. Tetapi, kebanyakan daripada mereka hanya hangat-hangat tahi ayam apabila masuknya bulan-bulan baru yang lain. Di mana kata-kata mereka pada awal tahun dahulu. Nabi S.A.W bersabda :

“Orang-orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan segala apa yang Allah telah melarang daripadanya” (Riwayat Bukhary dari Abdullah bin Umar RA)

Kesungguhan dan tekad yang kuat ada pada ciri-ciri pemuda. Pemuda ialah aset penting dalam transformasi sesebuah organisasi atau badan-badan tertentu. Jatuhnya pemuda, maka jatuhlah identiti sesebuah organisasi tersebut. Maka, pemuda ialah aset penghijrahan umat yang mampu menggerakan sesuatu ketamadunan. Berdasarkan sejarah terdahulu, hampir kesemuanya ketamadunan umat digerakkan oleh para pemuda. Para sahabat telah menunjukkan contoh terbaik kepada kita dalam penghijrahan yang berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah. Firman Allah Taala:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Al-Baqarah: 218].

Lalu Hazwan menutup buku sirah yang dibacanya lantas menelefon seseorang. Terdenngar bunyi nada dering di sebelah sana dan terhenti apabila diangkat.

“Assalamualaikum ustaz, saya bersedia untuk melakukan tugas tersebut”.

Sambil tersenyum, Hazwan terus menuju ke pintu biliknya dan mengambil jaket hitamnya lantas disarungnya. Dia membayangkan langkahnya seperti para sahabat terdahulu yang telah mengorbankan segala-galanya hanya untuk menegakkan kalimah Allah. Kalendar hijrah di atas mejanya dicapai. Hari menunjukkan tarikh hari terakhir Zulhijjah. Hazwan mengangguk sendirian. Bingkas Hazwan bangun dan mencapai beg di atas katil.

“Tahun ini aku akan berhijrah!”.

Comments

comments

Comments are closed.