Dalam Samar Hidup

Oleh: Sakinah Yusof, Tahun 4, Kuliah Perubatan, Universiti Ain Sham

Widad tersentak.  Jiwanya terasa galau. Tudung litup labuh yang dipakainya diperkemas kerana angin yang bertiup pada petang itu agak kencang. Otaknya ligat memikirkan jalan penyelesaian namun masih menemui jalan buntu.  Dalam hitungannya,  sudah lebih daripada sebulan Iman  menghilangkan diri. Semenjak Widad pulang ke tanah air,  dia  masih belum bertemu dengan Iman.

Widad bermonolog di dalam hati,  ‘Mungkin Iman sihat-sihat sahaja.  Kadang-kadang, ada baiknya aku berpisah dengan Iman.  Kata orang,  jika selalu bersama, akan timbul rasa bosan’.  Widad cuba menyedapkan hati atas kehilangan Iman. ‘Namun, mengapa jiwaku semakin resah?’  bentak hati Widad. Ternyata jiwanya resah tanpa Iman.

Iman sering menasihati Widad.  Katanya, ‘Hidup di muka bumi ciptaan Tuhan ini punya tujuan.  Mustahil Allah Yang Maha Esa menciptakan sesuatu dengan sia-sia.  Hatta seekor lalat pun,  punya fungsi dan faedahnya inikan pula manusia sebaik-baik ciptaan” . Setiap kalimat yang dilontarkan Iman meresap masuk memenuhi jiwanya. Terasa tenang sekali apabila diingatkan sebegitu oleh seorang teman. Widad inginkan kepastian, “Jadi,  apakah tujuan hidup manusia itu?”.  Iman tersenyum mesra dan kembali menyoal, “Widad rasa?”.  Soalan Widad berbalas dengan soalan.  “Bagi Widad,  hidup manusia ini adalah untuk mendapatkan yang terbaik dalam hidupnya.  Jika dia seorang pelajar,  dia mestilah menjadi pelajar terbaik.  Jika seorang pekerja, dia mestilah menjadi pekerja terbaik.  Senang kata,  terbaiklah”  balas Widad sambil menunjukkan tanda bagus.

Telatah Widad disambut dengan ketawa Iman,  “Widad,  Allah juga suka sekira hambanya melakukan yang terbaik dalam urusannya seperti sabda Rasulullah SAW, “ Sesungguhnya Allah menyukai apabila seorang hambanya melakukan sesuatu amalan,  dia melakukannya dengan bersungguh-sungguh”.  Namun melakukan yang terbaik,  bukanlah semata-mata tujuan hidup.  Firman Allah S.W.T :  “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu” (Al-Dzariyat: 56).  Al-Quran ibarat  manual yang Allah turunkan sebagai sumber rujukan buat hamba-hamba-Nya dalam menguruskan kehidupan.  Terang lagi bersuluh,  Allah nyatakan tujuan manusia diciptakan.  Jadi,  mengapa harus kita ingkar kepada tujuan hidup kita itu?”.

Penjelasan Iman beserta dalil membuat Widad tersedar dan mempersoal dirinya , ‘Adakah aku sudah memenuhi tujuan hidupku?’. “Jika begitu,  Iman kena tolong Widad untuk mencapai tujuan hidup yang hakiki itu” rayu Widad.  Sekali lagi,  Iman tersenyum mesra,  “Insya-Allah Widad,  kita bersama-sama berusaha mencari redhaNya.  Nah,  Iman ada hadiah untuk Widad”.  Widad menyambut bungkusan bewarna biru yang dihulur Iman, “Iman, hadiah apa ini?  Kenapa beri Widad?  Hari ini bukan hari lahir Widad”.  Iman memang tidak lekang dengan senyumannya ,  “Anggaplah hadiah itu sebagai peneman Widad jika Iman tiada.  Sifat iman manusia tidak seperti malaikat yang selalu menaik.  Iman manusia ada turun dan naiknya. Semoga buku ini dapat menguatkan Widad sekiranya Iman tiada di sisi Widad pada waktu itu.”

Suasana petang di kebun epal seluas 10 hektar itu sungguh menenangkan dan redup.  Widad menarik nafas dalam dan perlahan-lahan bersandar di bawah sepohon pokok epal rendang hasil titik peluh datuknya.  Kini kebun itu telah diwarisi oleh ayahnya semenjak datuk meninggal dunia dua tahun yang lepas.  Widad masih di situ,  bertafakur,  menikmati udara nyaman petang sambil mengenang setiap detik dia bersama Iman.  Buku ‘al-Munthalaq’ hadiah daripada Iman diselak-selak.  Matanya tertacap pada satu ayat yang ditanda highlight ,  “ Mereka yang menanam pohonnya,  kita yang menikmati hasilnya.  Seterusnya kita pula yang akan menanam pohon supaya buahnya boleh dimakan oleh generasi yang akan datang”.  Widad terpana. Ternyata ayat dalam buku itu bukan sekadar teori semata,  malah buktinya sedang terbentang luas di hadapan mata.

Widad bermonolog, ‘30 tahun dahulu, datuk  yang bersusah payah mengusahakan projek penanaman pohon epal di Malaysia.  Pada mulanya,  kelihatan mustahil kerana iklim Malaysia yang tidak sesuai dengan tumbesaran buah tersebut.  Namun hasil usaha gigih dan tidak kenal erti putus asa,  datuk berjaya membawa satu anjakan.  Kini,  Malaysia tidak lagi perlu mengimport buah epal .  Malah aku sebagai cucunya juga masih dapat merasakan hasilnya. Kebun epal inilah punca pencarian ayah ‘.  ‘Subhanallah…,’ terpacul spontan daripada mulut Widad.  Usaha orang terdahulu telah memudahkan orang zaman sekarang.

Widad membuat persamaan,  ‘Ironinya,  buah-buah iman yang kita peroleh kini adalah hasil titik peluh Rasulullah S.A.W dan para sahabat pada suatu ketika dahulu.  Baginda dan sahabat disakiti kerana ingin menyampaikan iman kepada semua penduduk Mekah malah sehingga ke generasi kini.  Jadi,  layakkah aku membiarkan iman itu hilang?  Tidak… aku akan mencari iman itu kembali.  Ya Allah,  kurniakanlah aku jalan untuk menemui Iman’.  Bait lagu yang Iman selalu nasyidkan berkumandang di gegendang telinga Widad.  Sungguh merdu alunannya.

Kita ini adalah angkatan musafir dalam hidup ini

Menjadi penghubung barisan yang mendatang dengan mereka yang telah lalu

Mereka yang terdahulu telah menunjukkan jalan ini kepada kita

Wajib pula kita menunjukkan jalan kepada generasi depan”

***

Manusia,  sesuai dengan namanya ‘nasit’ sering sahaja bersifat lupa.  Kadang-kadang manusia terlupa bahawa di dalam dirinya telah kehilangan sesuatu yang begitu berharga dek sibuk melayan keseronokan kehidupan dunia.  Namun,  ramai yang tidak menyedari hakikat keseronokan yang dikejar itu hanyalah bersifat sementara.  Oleh itu,  hanya manusia yang mempunyai sifat sedar dan berpandangan jauh sahaja yang akan memilih jalan menentang arus kerana dia menyakini kehidupan dan kebahagiaan yang abadi adalah di Firdausi.  Semoga Widad berjaya menemui Iman kembali.

Nota kaki :  Iman  =  sahabat yang selalu mengajak ke arah  kebaikan.

Comments

comments

Comments are closed.