5 Tips Memulakan Kuliah

Oleh : Haidar Mahmud , Tahun 4 , Kuliah Syariah Islamiyyah 

 

 

Bagaimana Ingin Bermula

“Pengakhiran yang gemilang bermula dari permulaan yang cemerlang”

Saban tahun bumi Mesir penyambut kehadiran ribuan pelajar bagi meneruskan pengajian mereka samada dalam bidang pengajian Islam mahupun bidang perubatan . Setiap kali bermulanya semester baru , pasti kelihatan muka-muka baru yang mana di raut wajah mereka jelas terpancar sebuah harapan dan keazaman yang menggunung untuk memulakan episod baru di bumi barakah , bumi para anbiya’ ini.
Kesungguhan untuk menghadiri sesi kuliah sungguh hebat walaupun di sana terdapat seribu satu halangan yang boleh saja dijadikan alasan untuk tidak hadir ke kuliah. Semangat mereka untuk menuntut ilmu sungguh hebat sehingga sanggup menempuh seribu satu kepayahan bagi mendapatkan apa yang diinginkan .

Namun , apabila berlalunya masa , hari berganti hari , minggu berganti minggu bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun , sering sahaja kelihatan mereka yang dahulunya datang dengan penuh keazaman yang membara kini hanya tinggal debu tidak menyala . Ponteng kelas sudah menjadi kebiasaan . Pelajaran seringkali diabaikan . Keutamaan hidup hanya pada keseronokan dan perkara-perkara yang melalaikan . Jadi, di manakah silapnya ? Ke mana hilangnya semangat mereka itu ? Di manakah semangat yang penuh berkobar di dada mereka ?

Itulah salah satu peri pentingnya bagi kita untuk sentiasa koreksi diri dan merenung kembali saat kaki kita menjejakkan kaki ke bumi anbiya’ ini . Dengan sentiasa melihat kembali kebelakang , muhasabah semula cita-cita , kita akan lebih teguh untuk terus melangkah kehadapan .

Tips bagaimana hendak bermula .


1. Andai cita-cita kita hanya sekadar untuk memastikan anak anda pandai mengaji atau hanya sekadar untuk dapat kerjaya yang menyenangkan . Pulanglah .

Pastikan cita-cita anda besar . Anda adalah harapan masyarakat.Gunakan peluang anda di Mesir untuk mencedok segala khazanah yang bernilai dari segi duniawinya mahupun ukhrawinya. Pastikan anda tahu apa yang ingin dicapai sepanjang keberadaan anda di sini .

 

2. Orang yang menang adalah mereka yang ikhlas .

Ikhlaskan niat anda sentiasa kerana Allah . Andai apa pun yang melanda , nescaya semangat anda tidak akan luntur bahkan semakin membara . Keikhlasan niat anda juga memastikan sejauh mana penguasaan anda terhadap ilmu . Jangan belajar hanya sekadar untuk peperiksaan . Pastikan niat anda sentiasa diperbaharui di permulaan di pertengahan dan di pengakhiran setiap perkara .

 

3. Musuh Islam yang tersusun lebih hebat dari orang Islam yang tidak tersusun .

Pastikan anda menyusun masa anda . Letakkan sasaran apa yang ingin dicapai untuk setiap tahun.Seimbangkan diri dalam setiap perkara . Isi masa yang terluang dengan perkara-perkara yang boleh mengembangkan potensi diri . Buat jadual . Letakkan agenda hidup .

 

4. Serigala membaham biri-biri yang keluar dari kawanannya .

Bergaullah dengan masyarakat sekeliling.Lazimi berjemaah di masjid dan juga majlis-majlis ilmu Pilihlah kawan yang memberi tauladan yang baik.Wujudkan suasana persekitaran yang baik dan positif . Nescaya ia akan sangat membantu dalam menempuh cabaran di bumi Mesir ini .
5. Orang yang bijak , tidak akan terjatuh ke dalam lubang yang sama sebanyak dua kali .

Sentiasa muhasabah diri . Tidak mengulangi kesilapan yang sama . Sedar akan amanah yang terpikul di bahu anda. Kenangkan harapan ibu ayah , keluarga , masyarakat dan negara . Hasil yang baru tidak akan diperolehi dengan menggunakan cara yang lama dan sama . Usaha , doa dan tawakkal .

Bumi mesir ini menjadi saksi terkorbannya jiwa-jiwa yang lemah dalam mengharungi dugaan dan cabarannya. Ramai yang tertewas , namun di sana juga ada jiwa-jiwa yang berjaya menempuh onak dan duri dan menjadi orang yang hebat . Jadi , pilihan itu di tangan anda . Bermulalah dengan cemerlang dan harapkanlah pengakhiran yang gemilang .

 

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ
وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Comments

comments

Comments are closed.